‘Buah Dada’ Lelaki (Bahagian 2)


- 22 Mar 18
View 579 : Today 1

Lelaki yang mengalami sindrom Buah Dada Lelaki (Bahagian 1) biasanya bimbang jika ia boleh menyebabkan kanser buah dada. Namun tidak perlu khuatir kerana benjolan benigna ginekomastia tidak akan berubah menjadi kanser kerana ia tiada kaitan dengan kanser. Bahkan ia juga tidak akan menyebabkan masalah kesihatan lain kecuali saiznya boleh menjadi semakin besar dan menyebabkan individu yang menghidapnya merasa malu.

Advertisement

Buah dada lelaki secara umumnya boleh dikategorikan sebagai besar jika garis pusatnya melebihi empat sentimeter iaitu ukuran daripada hujung ke hujung bahagian yang bengkak. Ia boleh dirasa dengan tangan; seperti ada benjolan yang anjal di bawah puting. Dalam sesetengah kes yang serius, buah dada lelaki boleh membesar sehingga melendut ke bawah.

Benjolan ginekomastia berbeza dengan barah buah dada kerana ia apabila dipicit ia lembut, anjal dan berasa sakit, manakala benjolan akibat kanser pula keras. Lelaki yang mengalami masalah ini disarankan menjalani pemeriksaan mamogram atau biopsi bagi memastikan pembesaran buah dada mereka bukan disebabkan barah.

Rawatan untuk ginekomastia tertakluk kepada puncanya tetapi secara umumnya ia terbahagi kepada dua, iaitu rawatan bukan pembedahan dan pembedahan. Ada banyak kes ginekomastia tidak memerlukan rawatan seperti yang dialami kanak-kanak atau remaja akil baligh kerana saiz buah dada mereka akan susut sendiri secara perlahan-lahan dalam masa beberapa bulan bagi kanak-kanak dan tiga hingga empat tahun bagi ginekomastia puberti (baligh).

Rawatan bukan pembedahan adalah untuk ginekomastia yang disebabkan pengambilan ubat, penyalahgunaan dadah dan pengambilan alkohol secara berlebihan. Bagi ginekomastia yang berpunca daripada pengambilan ubat atau dadah, buah dada akan kembali ke saiz asal apabila pengambilan ubat dihentikan. Seandainya ia berpunca daripada penyakit hati, maka pesakit perlulah menjalani rawatan untuk merawat penyakitnya terlebih dulu kerana itu yang lebih utama berbanding saiz buah dada.

Jika masalah ini disebabkan kegemukan atau obesiti, cara terbaik untuk menanganinya ialah menurunkan berat badan secara sihat, iaitu melalui amalan pemakanan yang betul dan bersenam, walaupun mereka boleh menjalani rawatan sedut lemak. Apabila berat badan berkurang, lemak yang berkumpul pada tisu buah dada juga akan hilang secara perlahan-lahan dan dada akan tampak lebih berotot.

Sebaliknya jika pembesaran buah dada itu berpunca daripada kekurangan hormon (akibat masalah pada testis), doktor akan memberikan ubat atau suntikan hormon untuk mengembalikan semula keseimbangan hormon androgen dan estrogen. Kaedah pembedahan pula ada dua, iaitu rawatan sedut lemak atau pun pembedahan pembentukan semula buah dada. Kebanyakan kes diatasi dengan pembedahan kerana ramai yang datang berjumpa doktor selepas tiga atau empat tahun mempunyai benjolan pada dada. Lebih lama ia dibiarkan, benjolan akan menjadi lebih keras dan ia tidak boleh disusutkan dengan pengambilan ubat.

Rawatan sedut lemak hanya boleh dilakukan jika buah dada tidak terlalu besar atau terlondeh yang menandakan ada banyak lebihan kulit pada buah dada. Jika terlalu besar, lebih baik jalani pembedahan pembentukan semula buah dada.

Kaedah rawatan sedut lemak yang ada di negara kita kini amat baik kerana ia bukan saja bertindak menyedut lemak tetapi turut menyedut tisu buah dada. Ada orang bimbang apabila menjalani rawatan sedut lemak, lama kelamaan lemak akan berkumpul semula di bahagian dada. Perkara ini sangat jarang berlaku kerana tempat terakhir untuk lemak berkumpul pada badan lelaki ialah di bahagian buah dada. Pembesaran buah dada boleh berlaku semula jika seseorang itu menghidap penyakit seperti di atas atau kekurangan hormon lelaki.

Walaupun begitu, pembedahan hanya dijalankan ke atas calon yang layak saja iaitu mereka yang benar-benar sihat, cukup umur (tidak lagi mengalami tumbesaran), tidak menghidap penyakit berbahaya seperti kanser, sirosis hati dan kencing manis. Bagaimanapun, pesakit kencing manis masih boleh menjalani pembedahan jika penyakit mereka terkawal.

Adakah ginekomastia mempunyai kaitan dengan makanan seperti yang didakwa sesetengah pihak? Pseudo-ginekomastia mungkin ada kaitan dengan makanan dan masalah itu akan hilang jika pengambilan sesetengah jenis makanan dihentikan. Bagaimanapun, dakwaan yang hormon tumbesaran yang disuntik pada ternakan boleh menyebabkan ginekomastia adalah tidak benar. Ini kerana pembesaran buah dada adalah disebabkan hormon estrogen yang berlebihan bukannya hormon tumbesaran.

Bagi lelaki yang ingin menjalani rawatan mengecilkan buah dada, pastikan mereka menjalani pemeriksaan kesihatan terlebih dulu. Pastikan juga doktor yang mereka temui itu menjalankan pemeriksaan kesihatan ke atas pesakit bagi memastikan pesakit cukup sihat untuk menjalani rawatan sedut lemak atau pembedahan. Ini kerana jika ada kanser buah dada, sel kanser boleh tersebar ke bahagian badan yang lain ketika rawatan sedut lemak dilakukan.

Advertisement