Kencing Berbuih : Bila Anda Perlu Bimbang?

Kencing berbuih boleh menjadi petanda sama ada anda mempunyai masalah kesihatan, terutama yang berkaitan dengan buah pinggang.

Jika ia berlaku sekali sekala air kencing berbuih adalah satu keadaan yang normal. Jika ia berterusan, ia mungkin tanda yang anda sedang mengalami kerosakan buah pinggang. Selalunya, tanda ini hanya terhasil pada tahap akhir masalah buah pinggang.

Anda perlu melihat petanda-petanda lain yang dapat memberi petunjuk kepada doktor sama ada anda berpenyakit atau tidak, sekiranya kencing berbuih berlaku lebih dari sekali.

Selalu merasa letih, bengkak pada kaki dan tangan, rasa loya dan/atau muntah, kurang selera makan, air kencing yang keruh dan penghasilan air kencing yang semakin kurang adalah petunjuk yang boleh diambil kira untuk diagnosis.

Selalunya pesakit yang mengalami masalah ini, air kencingnya akan diambil untuk dianalisa. Pesakit yang mempunyai masalah buah pinggang selalunya akan mempunyai protein dalam air kencingnya. Jika air kencing tersebut normal, maka pesakit tidak perlu risau dengan apa yang berlaku

Jika pesakit mempunyai protein dalam air kencing, pengambilan darah diperlukan untuk melihat fungsi buah pinggang sama ada ia normal ataupun tidak.

Terdapat beberapa punca yang menyebabkan kencing berbuih iaitu;
1. Kelajuan air kencing yang terhasil jika air kencing dibuang ketika pundi kencing terlalu penuh dan menyebabkan air berkocak. Ini akan menyebabkan kencing tersebut berbuih.
2. Air kencing yang pekat kerana kurang minum air dan ini akan memudahkannya lagi untuk membentuk buih.
3. Kehadiran protein dalam air kencing akan menyebabkan kencing tersebut lebih mudah untuk membentuk buih. Terdapat beberapa penyakit yang menyebabkan protein dalam air kencing seperti kencing manis, tekanan darah tinggi, nephrotic syndrome, kencing kotor, kegagalan buah pinggang dan beberapa jenis penyakit yang lain
4. Ejakulasi berbalik (retrograde ejaculation) iaitu proses ejakulasi akan menyebabkan sesetengah air mani naik ke dalam pundi kencing.

Biasanya kencing berbuih adalah perkara normal yang tidak perlu dirisaukan. Keadaan ini boleh dirawat dengan mengambil air dalam kuantiti yang banyak daripada biasa. Namun, disarankan berjumpa doktor jika terdapat tanda-tanda berikut;

Mempunyai simptom seperti bengkak kaki, tangan, muntah-muntah, kurang selera makan dan merasakan badan lemah, kencing masih berbuih setelah beberapa hari, air kencing keruh dan mempunyai darah atau pesakit mengalami ejakulasi yang menghasilkan air mani yang sedikit.

Ubahsuai dari : TheDiagnosa