Poligami : Ikut Nafsu Atau Syariat?

Kebenaran untuk berpoligami diberikan Islam dengan mengikut syarat-syaratnya. Ia bukanlah sebagai terjahan naluri ‘ego’ kerana wujud perspektif seseorang yang berkahwin lebih dari seorang pada suatu masa ‘hebat’ kerana berjaya menakluki dan mencairkan hati lebih seorang wanita.

Persoalan yang ditetapkan oleh agama tidak menjadi pertimbangan utama kerana konsep keadilan itu juga telah dipersimpangkan sebagai ‘sama rata, sama rasa’. Contoh yang jelas ialah bagaimana keadilan itu antaranya dari segi “pembahagian giliran, pembahagian nafkah dan sebagainya.”

Sebelum Islam, konsep berpoligami banyak berkisar atas keinginan seseorang lelaki. Dunia seolah-olah diterajui sepenuhnya oleh lelaki dan dikenali sebagai patriarki. Apabila Islam diturunkan, poligami tidak diharamkan tetapi diletakkan syarat ketat, iaitu berlaku adil.

Islam mengadakan peraturan perkahwinan dan menggariskan batas tertentu untuk poligami dan menjadikan bilangan paling banyak (maksimum) wanita yang boleh dikahwini dalam satu-satu masa ialah empat orang dengan syarat individu itu mempunyai kemampuan yang cukup serta boleh berlaku adil kepada isteri-isterinya.

Islam telah menentukan keperluan individu dan masyarakat dan menentukan ukuran kepentingan kemaslahatan manusia seluruhnya. Hak lelaki berpoligami dalam lslam bukan persoalan hak lelaki ke atas wanita. Tetapi, ia adalah hak Allah SWT terhadap makhluk-Nya. Hak ini bukan dipaksakan Allah. Ia peruntukan yang diharuskan dengan bersyarat ke atas lelaki yang ingin berpoligami.

Ini bermakna, ada sebab yang munasabah Islam memberikan keharusan untuk lelaki berkahwin lebih seorang dan tidak boleh berlandaskan naluri seks semata-mata sebagaimana menjadi faktor lelaki masa kini menambah bilangan isteri.

Bagi membangunkan keluarga memerlukan kesiapan mental, fizikal dan ilmu. Itulah sebabnya ada ketetapan bahawa sebelum berkahwin perlu menjalani kursus praperkahwinan, tetapi setelah berkeluarga tidak disyaratkan pula menjalani kursus keibubapaan.

Itulah sebabnya, banyak keluarga berantakan manakala perkahwinan semakin bermasalah sehingga dari segi statistiknya amat mencemaskan. Rasa takut sebenarnya punca mengapa ramai mengambil keputusan untuk melewatkan perkahwinan dan kecenderungan ini semakin membesar dalam masyarakat.

Perkongsian dalam keluarga mestilah bermula dengan keazaman kuat membina keluarga bahagia dengan menepis ego dan merapatkan jurang perbezaan psikologi. Tidak perlu terikut-ikut dengan gaya perkahwinan selebriti, kerana pengaruh itulah banyak menjadikan pasangan rapuh dan rawan penceraian.

Apa pun, sepatutnya kita perlu menyatakan pendirian yang sederhana dalam menanggapi masalah poligami ini. Kita tidak perlu melenting kuat dan menolak serta-merta sekiranya poligami menjadi pilihan terakhir bagi menyelesaikan masalah keluarga mahupun masalah sosial. Pasti ada hikmah yang terkandung di dalamnya.

Kita juga tidak boleh menerima secara total pelaksanaan poligami yang mempunyai peluang besar untuk disalahguna oleh kaum lelaki dan disalah erti maksud sebenar tujuan poligami. Perlu ada sebab musabab yang kukuh yang tiada jalan keluarnya bagi membolehkan poligami dilaksanakan sebagai cara terakhir.

Poligami mempunyai kemanisan yang tersendiri jika berjalan secara bijaksana, tetapi kebanyakannya menjadi ‘neraka dunia’ jika ia diasaskan atas keinginan seksual suami semata-mata dan berlangsung tanpa restu isteri pertama.

Kemampuan kewangan haruslah menjadi ukuran utama untuk berpoligami kerana sebagai seorang lelaki, adalah dayus jika mengharapkan isteri menyara kehidupan berkeluarga, kecuali dalam keadaan suami berhadapan dengan penyakit dan kecacatan fizikal atau mental.

Maka setiap orang yang berhasrat berpoligami, hendaklah menghormati apa sebenarnya institusi keluarga. Ia bukanlah perhitungan berdasarkan idealisme semata-mata, ia amalan yang amat memerlukan kesabaran, kebijaksanaan dan hakisan sempadan ego diri.