Kemurungan Di Kalangan Lelaki


- 9 Apr 18
View 332 : Today 1

Adalah menjadi suatu tanggapan umum bahawa masalah emosi dan perasaan adalah sesuatu yang sinonim dengan golongan wanita. Airmata, kesedihan dan rintihan menjadi simbolik masalah emosi yang sering dikaitkan dengan kaum hawa.

Advertisement

Sedangkan golongan lelaki, digambarkan sebagai tonggak kepada kekuatan kaum wanita, keluarga dan orang yang dilindunginya. Lelaki digambarkan harus kuat emosinya, tidak patut nampak air matanya dan tidak wajar berkeluh kesah. Maka kerana itu jarang kita dengar kisah lelaki kemurungan, berkongsi perasaan, meluah keresahan. Kebanyakkannya lebih mudah memendam rasa, menelan bulat-bulat masalah yang dihadapi sendirian.

Kalau benarlah itu tanggapannya, mengapa sering kali kita dengar kisah tragis lelaki yang nyawanya berakhir di kaki lima bangunan, sungai-sungai dari tebing jambatan mahupun yang tergantung dari tali-tali buatan sendiri? Apakah kisah-kisah tragis bunuh diri tersebut menggambarkan kekuatan emosi dan perasaan seorang lelaki? Adakah benar lelaki kebal dari kemurungan?

Seperti yang banyak kali diterangkan, kemurungan merupakan masalah kesihatan mental yang serius. Ia tidak sepatutnya disalah anggap sebagai sekadar ‘kesedihan sementara’ataupun ‘mainan perasaan orang lemah jiwanya’. Kemurungan sememangnya tidak mengenal jantina.

Pelbagai faktor biologi, psikologi dan sosial yang menyumbang kepada kemurungan boleh turut terjadi dikalangan lelaki. Masalah keturunan; penyakit seperti kanser; masalah rumahtangga, kewangan, kerjaya dan peribadi; masalah ketagihan bahan larangan; masalah penderaan dan buli; masalah peralihan fasa hidup seperti pencen, penceraian dan sebagainya; adalah antara isu-isu dalam kehidupan seorang lelaki yang boleh menyumbang kepada masalah kemurungan.

Adakah lelaki mengalami kemurungan sama seperti wanita?

Secara umumnya, gejala-gejala kemurungan seperti perasaan sedih, putus asa, hilang minat dan gangguan fungsi hidup seperti masalah tidur, selera makan, tenaga dan hilang nafsu seksual merupakan gejala yang serupa dialami tidak kira jantina.

Namun kajian menunjukkan lelaki lebih mudah menyembunyikan gejala kemurungan. Apa yang biasanya dilihat oleh orang terdekat adalah kesan emosi yang terpendam, terjelma sebagai perasaan mudah marah, cepat leenting, bertindak menyalahgunakan bahan terlarang ataupun bertindak agresif.

Secara umumnya, kajian kualitatif di kalangan lelaki yang mengalami kemurungan menunjukkan lelaki boleh menunjukkan gejala seperti cuba mengelak dari orang/situasi; ‘numbing’atau hilang perasaan; ‘escape behaviour’ seperti perilaku ‘tunjuk perasaan’; agresif atau perasaan ingin mati dan mencederakan diri. Manifestasi yang sedikit berbeza ini menyebabkan adakalanya kemurungan sukar dikenalpasti dikalangan kaum Adam ini.

Apa yang lebih membimbangkan, lelaki yang mengalami kemurungan adalah empat kali lebih berisiko membunuh diri berbanding pesakit wanita.

Apa yang boleh dilakukan jika tanda-tanda kemurungan ada pada anda?

a.Luahkan dan berkongsi masalah dengan keluarga/kenalan.
b.Dapatkan bantuan sekiranya masalah anda mula membebankan
c.Libatkan diri dalam aktiviti sosial, agama dan sepertinya
d.Beriadah dan beraktiviti sihat
e.Elakkan merokok/penggunaan bahan terlarang
f.Lakukan aktiviti positif seperti membantu orang lain
g.Pelajari teknik relaksasi

Dapatkan penilaian dan rawatan profesional sekiranya anda mengalami gejala kemurungan seperti yang dinyatakan diatas. Mendapatkan bantuan TIDAK bermakna anda lemah. Berkongsi masalah tidak menjadikan anda ‘kurang lelaki’ berbanding orang lain. Ia sebenarnya adalah petanda anda seorang yang bertanggungjawab terhadap diri dan orang disekeliling anda. Ia adalah tindakan terbaik seorang lelaki.

Advertisement