5 Tip Kekal Positif Dalam Pekerjaan

Sebagai manusia biasa, kadang-kala akan timbul perasaan bosan dan tidak bermotivasi dalam pekerjaan anda. Tentu anda pernah mengalami rasa malas hendak ke pejabat atau mahu saja lari dari tempat kerja anda. Banyak faktor yang mendorong kepada perasaan malas serta bosan ini. Berikut lima tips bagaimanakah mahu kekal positif di tempat kerja

1.Ikhlaskan niat bekerja
Tanyalah diri, kenapa aku bekerja? Mahu cari duit? Nak sara keluarga? Bosan duduk saja? Pelbagai alasan boleh diberikan. Cuma satu alasan yang betul dan tepat iaitu untuk melaksanakan amanah Allah. Pekerjaan anda sama ada sebagai guru, kerani, penoreh getah, buruh kasar atau apa juga pekerjaan yang halal di sisi syarak adalah termasuk dalam kategori ibadah. Jika anda niatkan ikhlas kerana melaksanakan amanah Allah, anda akan mendapat pahala dalam setiap apa juga tindakan yang anda lakukan ketika melaksanakan pekerjaan anda.

2.Tekad untuk jadi lebih baik
Kalau Mat Jenin boleh berangan mahu jadi kaya dan lebih kaya, apakah anda hanya sekadar mahu kekal di takuk lama bertahun lamanya? Tekadkan azam, jalinkan semangat, sentiasa berusaha dan bertindak agar kedudukan anda bertambah baik dari hari ke hari, tahun ke tahun. Jadikan pekerjaan anda medan persaingan secara sihat agar hidup anda pada masa depan lebih baik.

3.Tanamkan minat dan suka bekerja
Tidak semua individu beruntung peroleh pekerjaan yang diidamkan. Kehendak semasa, mendorong individu memohon dan menerima pekerjaan yang tidak pernah diimpikan. Bersyukurlah sebab anda diberi peluang dengan menanam azam dan semangat dalam diri untuk menyayangi pekerjaan tersebut dan berusaha untuk berikan yang terbaik. Jika minda anda positif, hasilnya juga akan positif.

4.Anggap pekerjaan sebagai cabaran untuk diri
Pekerjaan bukan mainan, malah bukan juga bebanan. Jadikan pekerjaan anda sebagai satu medan untuk mencabar keupayaan diri. Mungkin ia bukan bidang anda tetapi bila anda diberi jawatan bererti anda diberi kepercayaan. Lantas, buktikan majikan anda tidak salah meletakkan kepercayaannya kepada anda.

5.Bertindak demi kecemerlangan
Apabila anda punya azam untuk lebih berjaya, susun strategi agar pekerjaan anda menjadi lebih baik dan mendapat pengiktirafan majikan. Bertindak dengan cara yang baik, dibenarkan syarak dan norma masyarakat.