Amalan Kesihatan Dan Makanan Bagi Lelaki Berumur

Apabila seseorang mencapai usia 50 tahun, pelbagai perubahan berlaku kepada mereka. Bagi wanita, apa yang nyata adalah pada tahap ini mereka akan menghadapi menopause. Namun bagi lelaki mereka juga menghadapi keadaan sama apabila tahap testesteron mereka semakin menurun. Ini memberikan beberapa perubahan pada tubuh badan dan pemikiran.

Advertisement

Masalah prostat adalah satu kebimbangan yang sering mengganggu kaum lelaki pada usia ini. Prostat adalah kelanjar sebesar kacang walnut yang terletak di bawah salur kencing dan juga sekitar urethra dan ia mendatangkan ketidak selesaan. Satu pertimbangan yang agak penting pada usia ini adalah kesihatan tulang. Osteoporosis adalah keadaan di mana kadar galian yang rendah pada tulang boleh membawa kepada peningkatan risiko terhadap kecederaan patah tulang.

Terapi Penggantian Hormon adalah satu kaedah rawatan yang dicadangkan kebanyakan doktor untuk mereka pada usia ini bagi memperlambatkan kehilangan kalsium daripada tulang. Kesihatan jantung dan salur darah menjadi semakin penting apabila umur seseorang itu meningkat, tambahan pula kajian mendapati penyakit jantung adalah pembunuh nombor satu.

Nutrien bagi mengawal jantung dan salur darah boleh diambil secara berterusan dan ini termasuklah minyak ikan yang mana dapat meningkatkan kesihatan dan elastisiti salur darah. Secara amnya, antioksidan adalah nutrien berharga yang dapat mengurangkan kesan negatif radikal bebas di dalam tubuh. Radikal bebas adalah bahan reaktif yang berupaya memusnahkan sel membrane, tisu dan organ.

Usia 60-an sering dilihat sebagai dekad perubahan dalam kehidupan seseorang yang juga menyaksikan perubahan bagaimana seseorang itu melihat dirinya. Bersara daripada pekerjaan mewujudkan keperluan untuk melakukan pengubahsuaian utama dalam hidup yang mana tidak mudah untuk dicapai.

Walaupun usia ini sering dikaitkan dengan kehidupan yang aktif, tetapi pemeriksaan doktor yang teratur seharusnya digalakkan bagi membantu mengekalkan kesihatan optimum.Sukatan ubatan ada masanya perlu diubah, jadi adalah perlu untuk seseorang itu mempunyai hubungan baik dengan doktornya bagi memeriksa keperluan sesuatu ubatan dan makanan tambahan serta sukatannya.

Selalunya, peningkatan umur menyebabkan penurunan upaya sistem penghadaman. Masalah seperti kembung dan sembelit adalah biasa. Mengekalkan diet seimbang melalui pengambilan banyak buah-buahan segar dan sayur-sayuran menyediakan nutrien antioksidan yang membantu, di samping mengambil banyak serat.

Golongan berumur 60-an terutamanya lelaki, sering menganggap diri mereka berada pada tahap kecerdikan memuncak. Mereka lebih fokus kerana tiada gangguan dalam hidup seperti masalah membesarkan anak, memikirkan tentang kerjaya dan masalah sosial.Mungkin terdapat sedikit kelemahan dalam mengingati semula sesuatu perkara, tetapi otak orang tua penuh dengan pengalaman.

Mengamalkan senaman pada usia ini meningkatkan kekuatan dan fungsi fizikal, malah ada kalanya keupayaan fizikal mereka yang berusia 60-an adalah lebih baik daripada sesetengah mereka yang berusia 30-an. Bagaimanapun, senaman yang dilakukan tidak perlu terlalu berat yang mana berjalan dan berenang sudah cukup baik dan lebih baik daripada berjogging dan sebaiknya dilakukan selama 30 minit setiap kali sebanyak tiga atau empat kali seminggu.

Ketika menginjak usia 70-an, ia adalah satu dekad di mana pengalaman serta fahaman yang boleh dikongsi dengan generasi muda dan adalah penting untuk anggota masyarakat menghargai sumbangan golongan ini. Gen memainkan peranan penting pada tahap kesihatan dan rupa yang mana seseorang itu boleh kelihatan tua walaupun baru berusia 30-an atau kelihatan muda pada usia 75 tahun.

Pada usia 70-an, apa yang diperlukan golongan ini adalah makanan yang baik yang mana ia membantu mengurangkan tahap ditimpa penyakit. Apabila usia meningkat seseorang itu tidak sentiasa berasa dahaga walaupun badan memerlukan air.Justeru mereka pada usia ini perlu mengambil cecair pada kadar antara 1,650 ml hingga 2,500 ml sehari.

Dementia adalah antara kebimbangan pada kebanyakan orang tetapi pada usia 70-an, hanya kira-kira 10 peratus manusia yang menghadapi masalah ingatan dan sebahagiannya pula berpunca daripada masalah Alzheimer. Bagi golongan pada usia ini beberapa perkara di bawah dapat membantu mereka dalam menghadapi usia ini. Antaranya:-

Mengambil makanan berkhasiat untuk menambah kekurangan di sana sini.
Mengambil multivitamin bagi memastikan pelbagai jenis nutrien ada pada diet mereka.
Ambil banyak makanan tinggi protein atau mengambil makanan tambahan amino asid.
Makan banyak buah-buahan dan sayur-sayuran
Makan sekurang-kurangnya tiga kali sehari

Advertisement