Adakah Kerja Syif Membahayakan Kesihatan?


- 1 May 18
View 247 : Today 1

Selain bebanan tugas yang melampau di tempat kerja atau permainan politik pejabat yang mengganggu perasaan, bekerja secara syif atau giliran juga boleh membahayakan kesihatan seseorang individu.

Advertisement

Kerja syif boleh ditakrifkan sebagai pekerjaan yang mempunyai dua atau tiga jadual berbeza yang dilakukan kumpulan pekerja yang berlainan secara berganti-gantian dalam tempoh 24 jam. Setiap syif mempunyai tempoh waktu kerja tertentu, mengikut kitaran 8 atau 12 jam termasuk waktu rehat.

Kerja secara syif biasanya berlaku dalam bidang yang memerlukan tenaga kerja secara berterusan selama 7 hari seminggu dan 365 hari setahun tanpa henti, seperti proses pengeluaran atau pembuatan di kilang, khidmat kawalan keselamatan dan kesihatan.

Berbeza dengan waktu kerja normal dari pagi hingga ke petang atau awal malam, kerja syif sebenarnya melanggar jam biologi yang dicipta dalam badan manusia. Waktu yang sepatutnya digunakan badan untuk berehat dan tidur pada waktu malam hingga pagi digunakan untuk membuat aktiviti yang memerlukan tenaga serta tumpuan.

Dalam jangka masa panjang, bekerja secara syif boleh menyebabkan gangguan kepada seluruh sistem tubuh seperti tekanan perasaan, kurang tidur, kelesuan dan penyakit kardiovaskular kerana tubuh perlu menyesuaikan keadaan di antara malam dengan siang.

Para pekerja mudah menjadi perengus,cepat marah, dan mengalami kesukaran untuk fokus lalu menyebabkan perasaan mudah marah. Ini adalah salah satu isu-isu kesihatan mental yang berkaitan dengan kerja syif. Ia juga dikenali sebagai gangguan ritma harian.

Ia juga mengganggu hubungan sosial kemanusiaan seperti hubungan suami isteri, keluarga dan kemasyarakatan. Banyak aktiviti pada waktu siang yang terganggu apabila individu terbabit tidak dapat menghadiri kerana terpaksa bekerja atau ingin berehat.

Jika anda tidak dapat bertukar kepada pekerjaan waktu biasa, mendapatkan rehat yang secukupnya untuk tidur yang lebih berkualiti walaupun singkat mungkin boleh membantu menjaga kesihatan anda.

Teruskan ativiti harian seperti bersenam, bersama keluarga dan juga pastikan tubuh mendapat bekalan nutrisi yang secukupnya. Ini dapat meningkatkan lagi tahap kesihatan dan juga kekebalan badan terhadap penyakit. Kurangkan atau elakkan sepenuhnya alkohol, kafein dan rokok yang boleh menganggu waktu rehat yang diperlukan.

Advertisement