Jangan Pandang Remeh Masalah ‘Bahu Beku’

Pernahkah anda mengalami masalah untuk mengangkat satu tangan ke atas semasa hendak menyarung pakaian atau mencapai barang di tempat yang tinggi? Atau tidak boleh menggerakkan salah satu lengan anda ke semua arah sama ada ke depan, belakang, sisi apatah lagi gerakan berputar?

Advertisement

Jika pernah, keadaan ini dikenali sebagai bahu beku atau frozen shoulder. Pesakit yang mengalami kesakitan ini akan berasa lenguh pada bahagian bahu, pangkal tengkuk, kebas lengan dan tangan serta tidak kuat untuk memegang barang.

Bahu beku terjadi apabila kapsul sendi bahu menjadi tebal disebabkan oleh proses inflamasi di dalam sendi bahu glenohumeral. Ini menyebabkan sendi bahu yang disokong sendi glenohumeral tidak dapat digerakkan sepenuhnya ke semua arah.

Masalah bahu beku selalunya berlaku di sebelah bahu sahaja pada satu-satu masa. Namun, faktor masa dan kecederaan lain mungkin menyebabkan sesetengah pesakit menderita sakit di kedua-dua belah bahu.

Radang dalam sendi menyebabkan kapsul sendi yang longgar menjadi ketat kerana terlekat antara satu sama lain. Ruang sendi bahu semakin mengecil, kapsul melekat dan ligamen mengetat pada kedudukan rehat.

Keadaan ini mengehadkan keupayaan bahu untuk bergerak dan menyebabkan bahu membeku. Sindrom bahu beku juga berpotensi terjadi apabila seseorang tidak menggunakan bahunya yang sakit atau menggunakannya sekali-sekala sahaja.

Apabila digerakkan, pesakit akan berasa sakit. Jadi, mereka lebih selesa menggunakan tangan yang sebelah lagi. Oleh kerana lama tidak digunakan, ia boleh menyebabkan keradangan.

Sekiranya seseorang mendapat kecederaan seperti patah tangan atau menjalani pembedahan tetapi tidak menggerakkan tangan seperti yang diarahkan doktor, keadaan bahu beku juga boleh terjadi.

Menurut kajian pakar ortopedik, pesakit kencing manis mempunyai risiko sehingga empat kali ganda mengalami sindrom bahu beku berbanding individu biasa. Malah ia juga lebih sukar untuk sembuh.

Di Malaysia, kira-kira 15 hingga 20 peratus daripada penduduknya menderita masalah bahu beku. Faktor lain bahu beku termasuklah usia iaitu berumur 40 tahun ke atas, penyakit sistematik seperti tiroid, kardiovaskular dan Parkinson.

Walaupun begitu, penyakit bahu beku boleh pulih sendiri selepas mengalami kesakitan dalam jangka masa panjang. Untuk rawatan yang lebih berkesan, pesakit boleh mendapatkan terapi fizikal seperti regangan dan senaman tetapi dengan syarat ia dilakukan pada peringkat awal lagi.

Advertisement