Merancang Diet Untuk Pesakit Kencing Manis

Menurut kajian Daftar Diabetes Negara, kegemukan melampau atau obesiti merupakan faktor utama yang menyebabkan kencing manis (diabetes) jenis 2 (Type II). 80 peratus orang dewasa yang menghidap kencing jenis 2 adalah gemuk dan ini bermakna kegemukan dan kencing manis memang saling berhubug kait.

Namun berdasarkan satu kajian yang dijalankan dan diterbitkan di dalam BMJ Open Diabetes Research & Care, menunjukkan pengurusan kencing manis yang betul akan dapat menurunkan berat badan, sekali gus menurunkan paras gula dalam darah.

Kajian yang dilakukan di dalam negara itu menunjukkan, pelan pengurusan kencing manis yang mengambil kira budaya dan tingkah laku pesakit seperti bagaimana dia berdiet dan tabiat makan, boleh membantu mencapai matlamat kesihatan yang mereka mahukan.

Melalui kajian yang dijalankan Universiti Perubatan Antarabangsa (IMU) dengan sokongan syarikat pemakanan dan kesihatan sedunia, Abbot, sesi pemantauan telah dilakukan terhadap 230 pesakit diabetes jenis 2 dengan tujuan untuk memahami kesan algoritma (urutan) pemakanan ke atas kesihatan pesakit-pesakit ini.

Para peserta dibahagikan kepada dua kumpulan iaitu satu yang menerima diet tersusun, termasuk pelan menu harian, penggunaan formula khusus untuk diabetes sebagai pengganti makanan, kaunseling dan motivasi serta peningkatan aktiviti fizikal.

Manakala satu kumpulan lagi menerima pelan makanan berkalori rendah yang serupa menggunakan makanan biasa dan senaman yang sama banyak serta perundingan diet biasa.

Sepanjang tempoh enam bulan kajian berkenaan dilakukan terhadap pesakit-pesakit, didapati kumpulan yang menerima pelan diet dan gaya hidup tersusun mengalami penurunan berat badan lebih besar (purata 5.8 kilogram), penurunan indeks jisim tubuh (BMI) sebanyak 3 peratus dan pengurangan lemak badan serta pengurangan ukur lilit pinggang.

Rancangan penjagaan yang disesuaikan dengan budaya dan keadaan di Malaysia turut mengambil kira perbezaan dalam gaya hidup dan penyediaan pelan makanan yang disusun rapi untuk pesakit.

Ini memudahkan proses pesakit membuat keputusan dan menggunakan penggantian makanan bagi mematuhi diet berkalori rendah yang dicadangkan untuk membantu mereka menurunkan berat badan.

Sebelum ini, sekumpulan doktor dan pakar diet di seluruh dunia termasuk Abbott, telah mencipta algoritma pemakanan dinamakan di dalam komuniti perubatan sebagai algoritma pemakanan khusus untuk pesakit diabetes (IDNA). Ia merangkumi pelan makanan berkalori rendah yang tersusun, penggantian makanan khusus untuk pesakit dan usaha meningkatkan aktiviti fizikal.

Di negara ini, hanya 80 pesakit diabetes mematuhi pelan diet yang disediakan oleh pakar diet, pastinya ini menyukarkan mereka mencapai sasaran menurunkan berat badan 5 sehingga 10 peratus dalam tempoh enam bulan dan mengurangkan pengambilan jumlah kalori dengan menggabungkan penggantian makanan dan lain-lain.

Pengurusan diabetes pesakit boleh menjadi rumit kerana membabitkan diet yang dirancang rapi, aktiviti fizikal dan pemantauan tahap gula secara berkala. Berat badan yang berlebihan atau obes memburukkan lagi keadaan kerana ini meningkatkan rintangan kepada tindakan insulin di dalam tisu yang mengakibatkan hiperglisemia, yang menyukarkan usaha untuk merawat pesakit dalam kumpulan ini.

Kencing manis yang tidak dikawal boleh mendatangkan beberapa komplikasi kesihatan jangka pendek dan jangka panjang seperti komplikasi pada mata, saraf, buah pinggang dan jantung. Bagaimanapun dengan amalan diet dan gaya hidup yang tersusun menguruskan diabetes, kita boleh meningkatkan pematuhan pesakit kepada perubahan diet mereka dan menghentikan komplikasi berkaitan penyakit diabetes.

Pelaksanaan berkesan pelan penjagaan peribadi yang menerapkan terapi pemakanan perubatan menerusi pelan makanan berkalori rendah dan tersusun, telah menunjukkan kawalan gula yang lebih baik dam menurunkan risiko komplikasi diabetes jenis 2.