Boleh Atau Tidak Penghidap Lelah Berlari?


- 8 May 18
View 144 : Today 1

Aktiviti lasak seperti berlari sentiasa dihindari pesakit asma kerana khuatir serangan penyakit itu.

Advertisement

Tambah pula bagi individu yang pernah melalui episod serangan asma selepas melakukan aktiviti kecergasan, mereka berdepan trauma dan terlalu takut menyertai sebarang kegiatan fizikal.

Namun, Pegawai Perubatan Awam, Dr Mohamad Fadli Khairie dalam artikelnya, Asma: Saya boleh berlari ker? dimuat naik menerusi laman Facebook Medical Mythbusters Malaysia menyatakan kajian saintifik membuktikan sebaliknya.

Satu kajian sistematik dan analisis meta membuktikan mereka yang mempunyai tahap aktiviti fizikal yang tinggi boleh mengurangkan kadar berlakunya serangan asma.

“Malah dalam ulasan jurnal perubatan lain mengatakan walaupun aktiviti fizikal tidak banyak mengubah fungsi paru-paru tetapi ia dapat meningkatkan fungsi jantung dan kadar maksimum pengambilan oksigen, sekali gus mengurangkan potensi untuk mendapat asma,” katanya.

Kata Dr Fadli, pesakit asma yang berhasrat terbabit dalam aktiviti aktif seperti larian perlu meneliti beberapa perkara antaranya:

1. Memastikan asma anda terkawal. Sekiranya pesakit sering mendapat serangan, pergilah berjumpa doktor. Dapatkan rawatan dan mulakan rawatan pencegahan. Pam pencegahan perlu diambil tanpa culas, janji temu juga perlu dipenuhi. Lama-kelamaan doktor boleh mengurangkan kekerapan rawatan dan dos ubat mengikut tahap asma.

2. Kenal pasti apa yang menyebabkan serangan asma. Adakah cuaca sejuk? Debunga? Alahan? Selesema? Kalau cuaca sejuk di luar, buatlah aktiviti di dalam rumah atau kenakan pakaian yang boleh memanaskan badan. Kalau alahan pastikan anda mengelak dengan sumber penyakit itu.

3. Mulakan dengan perlahan dan tingkatkan kelajuan. Kalau baru mula berlari, mulakan dengan berjalan sebelum tingkatkan kelajuan secara beransur-ansur. Tetapi bagi pesakit sudah biasa berlari, jangan terus memecut. Sebaliknya mula perlahan-lahan, kemudian naikkan kelajuan mengikut rentak larian.

4. Sesetengah orang dapat serangan asma apabila berlari dalam jangka masa lama. Sekiranya anda begitu, gunakan strategi ‘jalan-lari-jalan’. Lari untuk beberapa minit, kemudian jalan untuk beberapa minit dan lari kembali.

5. Pentingnya sesi memanaskan dan menyejukkan badan. Sebelum melakukan aktiviti pastikan panaskan badan terlebih dulu. Kalau pam pelegaan warna biru membantu, boleh ambil sebelum bermula aktiviti.

6. Sentiasa bawa pam pelegaan/pam biru/mdi salbutamol setiap kali berlari. Beritahu rakan mengenai penyakit asma dan di mana anda menyimpan pam berkenaan. Setiap kali mendaftar untuk larian, pastikan anda memaklumkan kepada penganjur untuk langkah berjaga-jaga.

7. Berhenti lakukan aktiviti sebaik menyedari tanda-tanda ini: Batuk-batuk, lelah, tidak mampu bercakap atau dada berasa ketat. Cepat ambil pam pelegaan sebelum simptom menjadi lebih buruk.

Dr Fadli turut menambah aktiviti larian riadah boleh membantu pesakit mengawal asma mereka dengan lebih baik.

“Lebih banyak anda lakukan aktiviti fizikal, lebih banyak anda berlari, lebih baik kawalan asma anda. Paula Radclife iaitu pemenang tempat pertama beberapa siri maraton dan juga pemegang rekod dunia maraton wanita juga menghidap asma.

“Kalau kita kata asma sebagai penghalang, bagaimana dia boleh menang? Macam mana saya tahu semua ini? Saya juga ada asma!” katanya.

* Sumber Facebook Fadli Khairie & Medical Mythbusters Malaysia

View 144 : Today 1
Advertisement