Bahaya Steroid Anabolik Pada Tubuh


- 8 May 18
View 161 : Today 1

Darwin Chambers satu nama yang cukup gah dalam arena olahraga antarabangsa. Pelbagai kejayaan cemerlang diraih oleh pelari pecut Britain itu dalam setiap kejohanan berprestij.

Advertisement

Antara kejayaan terbesarnya ialah memenangi pingat emas Sukan Komanwel 1998 di Kuala Lumpur dalam acara 4×100 dan pingat emas acara 60 meter pada Kejuaraan Tertutup Eropah 2009.

Malah, Chambers merupakan pemegang rekod Eropah dalam acara 60 meter dengan catatan masa 6.42 saat. Bagaimanapun, prestasinya mula dipersoalkan selepas disahkan mengambil steroid anabolik untuk meningkatkan lariannya.

Steroid ialah sejenis sebatian organik daripada jenis lipid terpenoid. Steroid anabolik pula merupakan sejenis kumpulan hormon yang berkait dengan hormon testosteron.

Rentetan itu, Chambers digantung mengambil bahagian dalam semua acara bermula sejak tahun 2006 hingga 2013. Dia juga diarahkan untuk memulangkan kembali pingat dan wang tunai yang dimenanginya sejak tahun 2002.

Chambers merupakan salah seorang daripada puluhan atlet terkemuka yang terlibat dalam pengambilan steroid.

Steroid sering disalahgunakan oleh atlet yang taksub dengan kemenangan untuk membina kekuatan otot badan. Menurut sejarah, steroid ditemui pada tahun 1930. Penemuan tersebut merupakan satu kemajuan besar dalam bidang perubatan.

Bahan kimia berkenaan mampu merangsang pertumbuhan tulang, merawat kelewatan akil baligh, masalah kelamin kaum lelaki dan pembesaran otot.

Malah, ia juga menjadi menyelamat hidup bekas Presiden Amerika Syarikat John F. Kennedy yang mengalami penyakit kelenjar Addison iaitu sejenis penyakit yang menyebabkan tubuh kekurangan pengeluaran hormon steroid dalam badan.

Hakikatnya, pengambilan steroid tidak hanya terhad kepada atlet profesional dan pesakit, malah dalam kalangan mereka yang mengimpikan bentuk badan sasa.

Pengambilan steroid dipercayai mampu meningkat tumbesaran otot dengan lebih cepat berbanding hanya menumpukan pada rutin senaman di gimnasium.

Steroid yang sering menjadi pilihan ialah jenis anabolik. Ia dipercayai mampu meningkatkan pengeluaran protein pada sel-sel badan, membina sel tisu dan otot badan.

Para saintis mula mengesan fungsi steroid sebagai ejen pembesaran otot secara mendadak selepas kejayaan ujian terhadap haiwan di makmal.

Hasil kajian maka bermulalah era penyalahgunaan steroid anabolik dalam kalangan atlet terutama mereka yang membina otot. Biasanya, steroid diambil dalam bentuk tablet, suntikan, sapuan, minuman dan ubat sedut.

Bagaimanapun, ramai yang tidak sedar pengambilan steroid mampu memberi kesan sampingan apatah lagi jika digunakan tanpa kawalan.

Pensyarah Sains Sukan, Universiti Malaya, Dr. Rizal Mohd. Razman berkata, faktor utama yang mempengaruhi golongan bina badan mengambil steroid adalah disebabkan terpengaruh dengan ahli lama. Disebabkan itu, ramai ahli gimnasium baharu mengambil pil steroid yang boleh diperoleh pada harga serendah RM1 sebiji.

Ahli terapi senaman terkenal Zaki Khan dalam blognya menjelaskan, pengambilan steroid anabolik mampu mengubah tingkah laku seseorang menjadi lebih agresif.

Pertumbuhan jerawat pada badan, reaksi alahan terhadap kehadiran protein asing, merencatkan pembesaran janin dan keguguran rambut antara kesan yang dapat dilihat dengan mata kasar, tetapi ketagihan steroid anabolik ini boleh memberi impak lebih buruk.

Salah satunya ialah kerosakan buah pinggang kerana organ tersebut berfungsi menapis dan menyingkirkan bahan sampingan dalam badan termasuk steroid melalui air kencing. Kerosakan buah pinggang berlaku apabila pengguna steroid menghidap hipertensi.

Steroid juga boleh mengganggu aliran darah dalam badan. Gangguan tersebut akan menyebabkan kerosakan otot jantung sekali gus meningkatkan risiko mati mengejut.

“Steroid adalah ubat-ubatan moden yang ‘kotor’ dan paling tidak senonoh,” ujar bekas profesor di Universiti California, Amerika Syarikat, John Mill.

Sumber : Kosmo

View 161 : Today 1
Advertisement