Memahami Faedah Dan Bahaya Ketum


- 14 May 18
View 171 : Today 1

Ketum merupakan alternatif yang berpotensi untuk menggantikan methadone bagi rawatan ketagihan dadah jenis opiate. Methadone yang dibawa dari Itali kini digunakan untuk merawat penagih dadah, menelan belanja yang agak tinggi serta mempunyai banyak kesan sampingan kepada kesihatan seksual lelaki dan boleh menyebabkan mengantuk. Sedangkan ketum tidak menyebabkan kesan-kesan tersebut.

Advertisement

Ketum juga boleh mengubati penagih dadah jenis ATS (Amphetamine-Type- Stimulants). Penemuan ini penting kerana belum ada rawatan untuk penagih ATS (syabu dan pil kuda) di mana sehingga kini hanya rawatan kaunseling digunakan untuk mengekang masalah berkaitan penggunaannya.

Salah satu keputusan daripada pelaksanaan kajian penggunaan ketum mendapati bahawa tiada pengguna ketum yang mempunyai masalah disebabkan penggunaan ketum. Bagi penagih dadah, tujuan mereka menggunakan ketum adalah untuk menghilangkan ketagihan dadah jenis opiate dan pil kuda.

Individu yang telah biasa mengambil ketum, dilihat tiada masalah untuk berfungsi dalam masyarakat kecuali penagih dadah (dalam masa yang sama mengambil ketum). Ini menunjukkan tiada kesan negatif hasil daripada penggunaan ketum dalam jangka masa panjang.

Oleh itu, kajian dan penyelidikan lanjut tentang ketum perlu dilaksanakan untuk melihat sejauh mana kegunaan dan manfaatnya. Malah, hasil kajian sama ada kebaikan atau keburukannya perlu disampaikan kepada masyarakat melalui medium yang bersesuaian.

Dos dan piawaian yang tepat dalam pengambilan ketum perlu dilihat sebagai salah satu aspek penting dalam menilai manfaat dan mudaratnya sepertimana pengambilan ubat-ubatan atau farmaseutikal yang lain. Walaupun ketum berkesan dalam merawat ketagihan dadah, dikhuatiri pengambilan yang tiada kawalan dan keterlaluan boleh memberikan kesan ketagihan terhadap bahan ini. Ini kerana ketum mengandungi bahan alkaloid seperti mitragynine, mitraphylline dan 7-hydroxymitragynine (bahan hiperaktif) yang menyebabkan seseorang yang mengambilnya dalam kadar yang berlebihan menjadi ketagih.

Kepelbagaian biodiversiti dalam negara kita perlu dimanfaatkan sebaiknya. Daun ketum dikatakan menjadi bahan perubatan tradisional sebagai minuman pemulih tenaga bagi wanita yang lepas bersalin, rawatan mengeluarkan angin dalam badan dan merawat sakit sendi serta belakang. Selain dijadikan sebagai alternatif untuk mengawal kadar gula dalam darah, ketum digunakan sebagai ubat anti kemurungan.

Menurut perspektif Islam, mudarat (mafsadah) yang lebih besar perlu dielakkan berbanding manfaat. Walau bagaimanapun, pertimbangan yang sewajarnya perlu diharmonikan dan tidak hanya melihat dari satu sisi keburukan mahupun kebaikan.

Oleh itu, isu ketum ini perlu dilihat secara holistik dan tidak bersifat mengikat serta menghukum khususnya melibatkan pandangan, fatwa mahupun undang-undang di samping keperluan melaksanakan penyelidikan secara berterusan.

Kemungkinan kehebatan dan manfaat ketum dapat digunakan untuk merawat penagih-penagih di Malaysia. Jika mendapat kebenaran dari pihak berkuasa, persediaan secara tradisional mungkin boleh dilaksanakan untuk mendapat manfaatnya dengan mengawal kepekatan dan piawaian dos yang betul menerusi proses penyediaan dan kawalan kualiti yang teratur.

Sekiranya manfaat perubatan kepada masyarakat diambilkira, isu kawalan untuk mengelakkan penyalahgunaannya perlu dilaksanakan walaupun agak mencabar supaya tidak diambil kesempatan oleh individu yang tidak bertanggungjawab. Tumbuhan tersebut perlu dikawal penanamannya tanpa mengehadkan untuk penggunaan penyelidikan dan perubatan. Sudah pasti langkah ini memerlukan mekanisme yang telus dan tuntas agar tidak merumitkan pembasmian isu dadah yang sedia ada.

Penyelidikan tentang potensi ketum perlu dilaksanakan secara lebih mendalam dan menyeluruh bukan sahaja untuk melihat kepentingan, kebaikan dan manfaat tetapi juga perlu meneliti keburukan dan kemudaratan daripada penggunaannya. Namun, dalam masa yang sama kita tidak boleh mengabaikan khazanah yang dimiliki oleh negara kita yang mungkin mampu mendatangkan manfaat yang tidak ternilai untuk menyelesaikan masalah kesihatan, ekonomi dan sosial rakyat.

Kebimbangan tentang kemudaratannya boleh diatasi sekiranya kajian saintifik dilaksanakan secara padu dan berkesan tanpa ada sekatan dan keterhadan sumber (daun ketum) dan dana penyelidikan. Seterusnya pendedahan hasil-hasil dapatan amat penting dalam menyediakan maklumat yang tepat dan telus kepada masyarakat. Di samping itu, penggunaan ketum perlu dikawal untuk mengelakkan penyalahgunaan yang memudaratkan.

View 171 : Today 1
Advertisement