6 Tip Asas Pengurusan Kewangan Peribadi


- 15 May 18
View 181 : Today 1

Hubungan kita dengan wang sering berkembang. Dengan jumlah tanggungjawab dan komitmen yang bertambah selari dengan usia yang makin meningkat, selera dan keperluan kita untuk wang juga bertambah. Tetapi adakah pengetahuan dan pengurusan kewangan kita juga kian meningkat? Berikut adalah 6 tip asas pengurusan kewangan yang boleh anda lakukan bermula hari ini.

Advertisement

1. Pendidikan kewangan bukanlah suatu subjek di sekolah tetapi ianya merupakan satu kemahiran yang boleh dipelajari dan diamalkan. Anda boleh mempelajari tentang pengendalian kewangan dari blog, laman web, buku-buku, dan rakan-rakan atau keluarga yang lebih arif. Lebih banyak anda pelajari, lebih banyak akan anda ketahui tentang topik kewangan.

2. Kebanyakan rakyat Malaysia tidak mempunyai simpanan wang. Menurut Institut Penyelidikan Khazanah, hanya 11% rakyat Malaysia mempunyai simpanan yang cukup untuk menghadapi kegawatan ekonomi. Bagi memastikan kewangan anda stabil, anda perlu berdisiplin dengan menyimpan sejumlah wang dari gaji anda setiap bulan. Contohnya jika anda boleh menyimpan RM100 sebulan, anda perlu melakukannya secara konsisten. Meskipun jumlah itu kecil, adalah penting untuk bermula hari ini agar anda dapat melihat keuntungannya di kemudian hari. Jika anda merasakan sukar untuk mengeluarkan sejumlah wang dari gaji bulanan untuk simpanan, cuba cara lain seperti simpanan automatik atau dengan menyimpan setiap wang kertas RM5 yang anda terima – ini juga satu cara “memaksa” diri anda untuk menyimpan.

3. Apabila anda memiliki wang simpanan yang mencukupi (lazimnya jumlah gaji bulanan di antara tiga dan enam bulan), tiba masanya untuk mengambil satu langkah ke hadapan dan meningkatkan wang anda melalui pelaburan. Terdapat pelbagai jenis pelaburan di pasaran, seperti pelaburan jangka pendek dan juga panjang, unit amanah dan Skim Persaraan Swasta (SPS). Anda perlu mempertimbangkan beberapa faktor seperti toleransi risiko, masa yang anda ada untuk memantau pelaburan anda, dan juga matlamat hidup dan keutamaan – sama ada anda sedang menyimpan untuk perubahan gaya hidup, perkahwinan, pendidikan, rumah baru atau persaraan.

4. Pengecualian cukai pendapatan adalah satu cara yang membantu mengurangkan tekanan kewangan harian. Secara amnya, pengecualian diberi kepada mereka yang menanggung ibu bapa yang berumur atau anak-anak yang bersekolah. Namun, kita selalu terlepas pandang akan topik pemaksimum pelaburan untuk meraih faedah dari pulangan cukai ini. Dengan merancang pelaburan anda dan mengisi borang pengecualian cukai dengan betul, anda boleh memaksimumkan pulangan anda, lebih-lebih lagi dengan perluasan pengecualian cukai untuk gaya hidup, yang kini termasuk bayaran keahlian gimnasium dan bil bulanan Internet.

5. Kita melakukan pelbagai perkara untuk memastikan kita berada dalam keadaan fizikal yang baik, sama ada bersenam di gimnasium atau pergi mendaki bukit di hujung minggu. Namun begitu, walau sebaik manapun kita menjaga diri sendiri, kadang-kala perkara yang tidak diinginkan masih boleh berlaku seperti jatuh sakit dan terpaksa dimasukkan ke hospital. Dengan peningkatan kos perubatan, pastikan anda mempunyai pelan untuk waktu kecemasan, sama ada kad perubatan perseorangan atau polisi perubatan dari majikan anda. Melalui pelan perubatan bulanan, anda akan memiliki satu perlindungan perubatan yang lengkap untuk saat kecemasan dan tujuan rawatan.

6. Jika anda pencari nafkah utama keluarga, adalah tanggungjawab anda untuk memastikan keluarga anda boleh berdikari apabila anda tiada lagi di sisi mereka. Ini amat penting lebih-lebih lagi jika anda mempunyai anak yang kecil atau ibu bapa yang lanjut usia, kerana mereka bergantung hidup kepada anda untuk sokongan kewangan. Pelan perlindungan nyawa yang lengkap memastikan keluarga anda menerima sejumlah wang sekiranya anda hilang upaya kekal atau jika anda meninggal dunia.

View 181 : Today 1
Advertisement