Tiada Lagi GST Bermula 1 Jun 2018?


- 16 May 18
View 140 : Today 1

Kementerian Kewangan memaklumkan, bekalan barang dan perkhidmatan yang dibuat di Malaysia serta diimport dengan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) pada kadar enam peratus akan dikenakan GST pada kadar sifar berkuat kuasa 1 Jun ini. Langkah itu akan terpakai di seluruh negara sehingga dimaklumkan kelak.

Advertisement

“Penetapan berkenaan tidak meliputi barang dan perkhidmatan yang disenaraikan di Perintah Cukai Barang dan Perkhidmatan (Pembekalan Dikecualikan) 2014 yang kekal dikecualikan daripada GST.

“Sehubungan itu, semua peniaga yang berdaftar perlu mematuhi penetapan pengenaan kadar sifar ini. Pada masa sama, peniaga yang berdaftar juga masih tertakluk kepada semua peraturan semasa yang ditetapkan, antaranya berkenaan pengeluaran invois cukai, penghantaran penyata cukai di dalam tempoh bercukai yang ditetapkan dan tuntutan kredit cukai input.

Peniaga juga perlu memastikan harga barang dan perkhidmatan yang ditetapkan adalah mematuhi Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011 setiap masa, menurut Kementerian Kewangan dalam satu kenyataan hari ini. Untuk penjelasan lanjut, hubungi Jabatan Kastam Diraja Malaysia di talian 1 300 88 8500 atau 03-78067200 (Pusat Panggilan Kastam).

Sebelum itu, Tan Sri Zeti Akhtar Aziz berkata Malaysia mampu untuk memenuhi keperluan perolehannya walaupun selepas memansuhkan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) dengan meneliti keutamaan terhadap projek-projeknya, meningkatkan kecekapan sektor awam, mengelakkan pembaziran dan meneroka sumber pendapatan baharu.

Bekas Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM) itu juga menyatakan keyakinan terhadap ekonomi negara yang boleh dipandu ke arah yang betul dan tempoh masa 100 hari adalah mencukupi untuk menyediakan sesuatu yang jelas dan melakukan pengubahsuaian serta perubahan diperlukan.

Gabenor wanita pertama yang menerajui bank pusat berkenaan selama 16 tahun itu adalah anggota Majlis Penasihat Kerajaan yang ditubuhkan oleh Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, pada Sabtu.

Dipengerusikan oleh bekas Menteri Kewangan, Tun Daim Zainuddin, turut sama di dalam majlis itu adalah Bekas Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif PETRONAS, Tan Sri Mohd Hassan Marican; Pakar Ekonomi, Prof Jomo Kwame Sundaram dan Ahli Perniagaan, Tan Sri Robert Kuok.

View 140 : Today 1
Advertisement