Masalah Penghadaman Semasa Bulan Ramadan

Sepanjang Ramadan, akan timbul beberapa masalah penghadaman yang lazim, namun anda boleh mencegahnya dengan beberapa langkah yang akan dikongsi.

Apabila seseorang itu berpuasa, lemak dan karbohidrat yang tersimpan di dalam tubuhnya akan digunakan sebagai suatu sumber tenaga. Pada masa yang sama, kadar metabolik asas kita akan menjadi lebih perlahan bagi menjimatkan sebanyak tenaga yang boleh semasa berpuasa. Suhu tubuh dan paras gula kita juga akan menurun semasa berpuasa.

Sebenarnya, puasa baik untuk sistem penghadaman kerana akan ‘merehatkan’ dan menjadikannya lebih efektif. Kajian saintifik juga telah mencadangkan bahawa pergerakan peristaltik usus akan menjadi lebih kuat dalam tempoh ini. Dalam pada masa yang sama, detoksifikasi sistem penghadaman juga akan berlaku semasa berpuasa.

Pilihan makanan yang tidak sihat, makan secara berlebihan, makan dengan gelojoh dan tabiat makan lain yang tidak sihat semasa berbuka puasa merupakan punca lazim timbulnya isu penghadaman di bulan Ramadan.

Peningkatan keasidan gastrik yang dirasai semasa berpuasa dimanifestasikan sebagai sensasi panas terbakar di dalam perut, rasa berat perut dan rasa masam dalam mulut.

Kebanyakan masalah kesihatan semasa musim berpuasa kemungkinannya berpunca daripada pengambilan diet yang tidak sihat atau akibat daripada terlebih makan dan kurang tidur.

Tiga masalah yg sering berlaku yg melibatkan masalah perhadaman ialah refluks (angin), sembelit dan muntah serta cirit-birit disebabkan oleh keracunan makanan.

Refluks, angin atau dyspepsia merupakan keadaan di mana pesakit akan mengadu sakit perut, kembung dan pedih ulu hati, loya, muntah dan rasa kurang selesa.

Ini berlaku apabila asid daripada perut telah naik ke atas saluran bawah esofagus. Masalah ini kerap berlaku terutama sekali selepas makan dalam kuantiti yang banyak. Sembelit! Semasa bulan puasa, keadaan ini berlaku kerap dalam bulan puasa kerana faktor kekurangan air dan tidak mengambil makanan secara seimbang.

Apa yang sering berlaku adalah kebanyakan dari kita mengambil banyak makanan dengan karbohidrat tinggi tanpa mengutamakan makanan yang mengandungi serat seperti bijirin, buah dan sayur-sayuran. Gastroenteritis akut (muntah dan cirit birit). Ini sering berlaku di waktu bulan Ramadan kerana kebanyakan kita sering membeli makanan daripada luar.

Disebabkan sesetengah gerai kurang mengutamakan kebersihan dan mutu makanan, maka ini boleh membawa kepada keracunan makanan dan menyebabkan gejala muntah dan cirit birit. Kebersihan dan penjagaan pemakanan dengan sebaiknya adalah sebahagian dari ajaran Islam, terutamanya semasa berpuasa.

1.Mencegah Reflux – Kebanyakan pesakit akan bertambah baik apabila berpuasa kerana kandungan asid dan simptom (gejala) akan berkurangan. Bagi pesakit yang masih dalam rawatan, dinasihatkan untuk meneruskan pengambilan ubat manakala yang mengalami sakit yang berterusan dinasihatkan untuk berjumpa doktor. Cara pencegahan adalah mengelak makan yang berlebihan, makanan berlemak dan berhenti daripada merokok.

2.Mencegah Sembelit – Kita perlu mengambil makanan yang seimbang, secara amnya, mengamalkan pemakanan yang sihat seperti mineral dan vitamin (buah dan sayur-sayuran), serat, bijirin dan pengambilan air sebanyak lima hingga lapan gelas sehari, iaitu pada waktu berbuka dan juga sewaktu bersahur.

3. Mencegah Gastroenteritis akut (muntah dan cirit birit) – Bagi mengelak masalah ini, kita digalakkan untuk menyediakan makanan di rumah dan menjaga tahap kebersihan. Bagi yang ingin membeli, amatlah digalakkan untuk mengutamakan kebersihan persekitaran makanan tersebut dijual. Anda perlu mengambil pelbagai jenis makanan secara seimbang dan sederhana serta berdasarkan Piramid Panduan Makanan.