Hukum Bercumbuan Pada Siang Hari Bulan Ramadan


- 2 Jun 18
View 1,780 : Today 1

Jimak atau bersetubuh dengan sengaja walaupun tanpa keluar air mani membatalkan puasa berdasarkan firman Allah di dalam surah al-Baqarah ayat 187. Begitu juga mengeluarkan air mani (istimna’) dengan bercumbu, dengan menggunakan tangan dan sebagainya. Sekiranya orang yang berpuasa sengaja melakukan perkara itu, batal puasanya. Tetapi sekiranya ia berlaku di luar kawalannya, tidak batal.

Advertisement

Oleh itu hukum bercumbu dan bercium pada waktu siang bulan Ramadhan bagi mereka yang cepat naik syahwahnya sama ada lelaki atau perempuan adalah makruh tahrim, iaitu makruh yang hampir-hampir kepada haram kerana ia mendedahkannya kepada merosakkan puasa.

Bagi mereka yang tidak cepat naik syahwahnya, yang baik baginya ialah meninggalkannya demi menutup pintu ke arah merosakkan puasanya. Aisyah r.a. berkata: “Rasulullah s.a.w. telah menciumku sewaktu baginda s.a.w. berpuasa. Siapakah di kalangan kamu yang dapat menguasainya nafsunya sebagaimana Rasulullah s.a.w. menguasai nafsunya?” Riwayat Muslim

Ulama berkata: maksud kata-kata Aisyah r.a. ialah sepatutnya kamu menjauhi daripada bercium dan jangan menyangka bahawa diri kamu seperti Nabi s.a.w. yang boleh melakukannya. Ini kerana baginda s.a.w. mampu menguasai dirinya dan dapat menjamin perbuatan mencium itu tidak akan menjadi menyebab keluar air mani, sedangkan kamu tidak dapat menjaminnya.”

Di dalam “Sunan” daripada Abu Hurairah r.a., seorang lelaki bertanya Rasulullah s.a.w. tentang hukum bersentuhan kulit bagi orang yang berpuasa, maka Nabi s.a.w. memberikan kelonggaran kepadanya. Kemudian datang pula lelaki lain bertanyakan soalan yang sama, maka Nabi s.a.w. melarangnya. Selepas itu diketahui bahawa yang baginda berikan kelonggaran itu adalah lelaki tua dan larangan selepas itu pula adalah untuk lelaki muda.

Advertisement