Kebaikan Solat Kepada Tubuh Manusia


- 6 Jun 18
View 137 : Today 6

Selain puasa yang sudah diketahui umum memberi kebaikan kepada sistem badan manusia, ibadah sembahyang juga bukan semata-mata ibadah wajib untuk mendapat pahala tetapi mengandungi manfaat yang besar untuk kesihatan tubuh badan manusia.

Advertisement

Hasil kajian pihak Akademi Pengajian Islam Kontemporari (ACIS) UiTM Pasir Gudang mendapati kesan pergerakan solat terhadap kesihatan manusia yang dilakukan sejak beberapa tahun yang lalu.

Menurut Prof. Ir Dr. Fatimah Ibrahim daripada Universiti Malaya, ketika me­ngangkat tangan dalam takbiratulihram, kuantiti oksigen bertambah dengan banyak masuk ke dalam paru-paru dan kuantiti darah beroksigen mengandungi nutrien yang dibawa oleh sel-sel badan turut bertambah. Ini kerana ketika mengangkat tangan ke paras bahu, bidang dada diluaskan dan tulang belakang diseimbangkan. Dengan cara ini kapasiti udara dalam paru-paru akan bertambah secara semula jadi.

Ketika meletakkan tangan di antara pusat dan dada setelah takbiratulihram, menjadikan individu yang solat di kedudukan paling stabil dan tenang. Ini kerana pada ketika itu sendi siku, pergelangan tangan dan otot dalam keadaan rehat sepenuh­nya. Dalam kedudukan itu darah mampu mengalir dengan lancar, cecair dalam sendi bertambah, bahkan boleh mengelak risiko diserang penyakit sendi reumatik atau kaku sendi.

Melalui pergerakan rukuk secara sempurna pula, pergerakan bendalir dalam badan akan me­ngalir dengan sempurna. Otot di bahagian depan tubuh mengalami pengecutan dan otot di bahagian belakang akan mengalami proses pengenduran. Kedudukan tangan di atas lutut semasa rukuk mampu menetapkan tulang tempurung pada posisi sebenar. Disebutkan juga, kegagalan melakukan rukuk de­ngan sempurna menyebabkan kan­dungan kolestrol me­ningkat, berisiko sakit pinggang dan mengganggu sistem kardiovaskular atau jantung.

Selain itu, melalui kaedah sujud dan duduk untuk tahiyat dengan membengkokkan jari kaki menghadap ke arah kiblat mampu menurunkan kandungan kolesterol badan serta meningkatkan jisim sel badan kepada paras lebih tinggi. Berdasarkan kajiannya juga, seseorang yang tidak membengkokkan jari kaki ke arah kiblat berisiko mendapat penyakit jantung, strok dan ke­gemukan akibat pengecutan tisu otot yang kemudiannya dipenuhi oleh gumpalan lemak badan.

Posisi sujud juga dapat me­nguatkan otot leher, tengkuk, lengan dan otot bahu. Ini kerana semasa sujud, keseimbangan posisi tulang belakang berlaku dan pengaliran darah beroksigen ke otak bertambah. Hasilnya keupayaan otak untuk berfikir juga bertambah dan melambatkan pro­ses keletihan otak. Solat yang berupaya menurunkan berat badan, merawat masalah mati pucuk, mencegah penyakit jantung dan merupakan senaman regangan yang paling efektif dan berkesan.

Sehubungan itu, tidak ada alasan bagi kaum Muslimin untuk meninggalkan sembahyang. Malah kesanggupan segelintir yang sanggup berbelanja besar membeli peralatan senaman mahupun berjam-jam melakukan aerobik dan bersenam di gimnasium boleh digantikan dengan melazimi solat fardu lima waktu dan ditambah dengan banyak melakukan solat-solat sunat yang kini terbukti bermanfaat untuk kesihatan tubuh badan manusia.

Untuk tujuan itu juga umat Islam diajak mempelajari kaedah solat yang sempurna sebagaimana diajarkan oleh baginda Nabi Muhammad SAW sehingga diterima dengan sempurna dan beroleh kebaikan dunia dan akhirat. Ini dapat dilakukan dengan menghadiri kuliah-kuliah fardu ain yang banyak dianjurkan oleh pihak masjid dan surau di seluruh negara.

Tanpa ilmu dan pengetahuan solat yang sempurna, boleh jadi seseorang tidak beroleh apa-apa daripada solatnya. Lebih buruk lagi apabila dihumbankan ke dalam neraka akibat tidak bersungguh-sungguh dan lalai melakukan solat pada waktu yang ditetapkan.

Melalui kajian-kajian seperti ini terbukti betapa solat mempunyai hikmah yang tersurat dan tersirat yang membuka peluang penyelidikan dan kajian lebih mendalam. Ia juga jelas menunjukkan kebesaran dan keagungan Allah SWT kepada makhluknya dengan mewajibkan solat lima waktu sehari semalam berserta manfaat untuk kelangsungan kehidupan manusia.

Advertisement