Kaitan Kegemukan Dengan Bau Badan


- 12 Jun 18
View 58 : Today 1

Masalah bau badan sering dikaitkan dengan kegemukan, adakah ia benar? Menurut satu kajian perubatan, masalah bau badan tidak terhad kepada individu yang mengalami kegemukan sahaja namun mereka memiliki kecenderungan lebih tinggi untuk menghidapi masalah pengeluaran keringat berlebihan (hiperhidrosis) dan bau badan busuk (bromhidrosis).

Advertisement

Kegemukan atau obesiti berkait rapat dengan masalah hormon androgen dalaman yang mempengaruhi aktiviti dua jenis kelenjar berkenaan serta populasi mikro organisma pada permukaan kulit.

Terdapat beberapa penyakit yang dikategorikan sebagai penyumbang kepada masalah bromhidrosis seperti kencing manis, sindrom metabolik, gangguan fungsi ginjal, kegagalan fungsi hati, trichomycosis axillaris (jangkitan di bahagian ketiak) dan erythrasma (penyakit kulit).

Walaupun masalah bau badan busuk tidak boleh dirawat sepenuhnya, tetapi ia boleh dikawal. Antara rawatan disarankan adalah suntikan botox pada kulit yang bermasalah, namun ia hanya berkesan selama empat bulan dan suntikan ini perlu dilakukan secara berulang.

Antara rawatan lain boleh dilakukan ialah pembedahan mengeluarkan kelenjar peluh seperti simpatektomi endoskopik yang menggunakan alatan kecil khas untuk mengeluarkan saraf di dada yang berhubung dengan kelenjar di bawah ketiak. Dikatakan keberkesanan prosedur ini mampu bertahan antara lima hingga 10 tahun.

Rawatan minimal iaitu elektrosurgeri pula dilakukan menggunakan jarum kecil yang membolehkan doktor mengeluarkan kelenjar peluh.

Pembedahan reseksi kulit pula bermula dengan pemotongan di dalam bahagian ketiak bagi memudahkan pakar bedah mengenal pasti kedudukan tepat kelenjar, namun ia meninggalkan parut pada permukaan kulit.

Pada masa sama, penghidap masalah bromhidrosis juga digalakkan melakukan beberapa langkah mudah untuk mengurangkan aktiviti bakteria pada kulit.

Antara saranannya, penggunaan sabun antibakteria berbanding sabun berbau wangi untuk mengawal jumlah bakteria khususnya di bahagian badan tertentu. Selain itu, disarankan juga memilih krim mandian berbanding sabun pepejal.

Bagi mereka yang mempunyai bulu atau rambut berlebihan terutama di bahagian pelipat, digalakkan mencukurnya kerana rambut bertindak memerangkap lebih banyak bakteria dan peluh sekali gus meningkatkan masalah bromhidrosis.

Cuaca yang panas dan gaya hidup aktif membuatkan pakaian cepat diresapi keringat. Oleh kerana masalah bau badan berpunca daripada proses pemecahan sebum oleh bakteria, penghidap bromhidrosis digalakkan menukar pakaian lebih kerap.

Meskipun mandi bukanlah penyelesaian utama bagi masalah bau badan, namun penghidap bromhidrosis dinasihatkan mandi dengan lebih kerap, sekurang-kurangnya dua kali sehari.

Tip kurangkan masalah bau badan:

1. Kurangkan pengambilan sumber makanan yang boleh menggalakkan aktiviti kelenjar peluh apokrin dan ekrin dan merembeskan peluh yang berbau seperti bawang putih, bawang merah, alkohol, kafein, nikotin, merokok dan sebagainya.

2. Cuci selalu bahagian kulit badan yang lembap seperti pelipat, ketiak dan celah paha.

3. Meningkatkan pengambilan probiotik (bakteria kulit yang berguna) supaya ia lebih tinggi kepadatannya dan dapat mendominasi permukaan kulit. Bakteria lactobascilllus mengeluarkan glikogen dan aseton mengeluarkan bau yang menyenangkan di samping mengawal pertumbuhan mikroflora yang tidak sihat.

4. Menggunakan pewangi atau penyembur badan.

5. Memakai baju jenis kain yang lembut, mempunyai ciri pengudaraan yang baik dan tidak kedap.

Advertisement