Merawat Masalah Berdengkur


- 13 Jun 18
View 121 : Today 1

Adakah ahli keluarga atau rakan-rakan pernah memberitahu yang anda berdengkur sewaktu tidur? Dengkuran berlaku apabila udara tidak dapat bergerak secara bebas melalui hidung, kerongkong, tekak atau saluran pernafasan semasa tidur. Ramai beranggapan berdengkur ketika tidur disebabkan seseorang itu mendapat tidur yang nyenyak namun ia tidak tepat.

Advertisement

Dari istilah perubatan, dengkur yang normal tidak mengganggu kualiti tidur seseorang dan tidak berbahaya, namun jika masalah dengkur kerap berlaku, ia boleh memberi kesan kepada pasangan, ahli keluarga dan juga rakan sebilik.

Bagaimanapun, seseorang perlu memberi perhatian serius jika mengalami keletihan melampau dan rasa mengantuk yang tidak dapat dikawal pada waktu siang kerana masalah itu mungkin bukan hanya dengkur biasa.

Ini kerana berdengkur juga petanda kepada apnea tidur obstruktif (OSA) iaitu salah satu halangan pernafasan yang berpotensi mengancam nyawa dan memerlukan rawatan perubatan. Jika tidak ditangani dengan cepat dan tepat, masalah yang sering dianggap remeh ini dapat mengundang pelbagai penyakit berbahaya dan membawa maut.

Mendapat tidur mencukupi selama tujuh ke lapan jam amat penting untuk setiap orang kerana pada waktu siang, paru-paru dan jantung bekerja kuat dan ketika tidur barulah fungsi dua organ ini dapat diperlahankan. Apa yang membimbangkan apabila ada halangan untuk bernafas ketika tidur menyebabkan udara tidak boleh memasuki paru-paru dan badan kekurangan oksigen atau hipoksia.

Badan akan sedar keadaan ini dan menghantar isyarat pada otak untuk paru-paru dan jantung menarik nafas lebih kuat. Disebabkan tidak cukup oksigen, paru-paru dan jantung yang sepatutnya berehat ketika tidur memaksanya bekerja keras daripada normal. Ini menyebabkan OSA berlaku dan penghidap sentiasa terjaga untuk bernafas semula kerana pernafasan terhenti seketika.

OSA biasanya menunjukkan pelbagai gejala dan paling umum ialah dengkuran keras diikuti kerap terjaga semasa tidur sama ada disedari pesakit atau sebaliknya.

Kesan tidur yang berkualiti rendah membawa kepada keletihan, mengantuk berlebihan, sakit kepala pada awal pagi, prestasi yang lemah di tempat kerja atau sekolah, peningkatan dalam kemalangan jalan raya, hilang tumpuan, mati pucuk dan gangguan hormon bagi wanita.

Malah, komplikasi OSA yang paling serius dan boleh membawa maut ialah penyakit berkaitan kardiovaskular seperti tekanan darah tinggi, kencing manis, lemah paru-paru, strok dan serangan jantung yang juga penyebab terbesar kematian.

Oleh itu, pentingnya kesedaran terhadap gangguan pernafasan berkaitan tidur bahawa penyakit ini sering berlaku dan kesan penyakit ini boleh membawa maut jika tidak dikenal pasti dan dirawat awal.

Risiko yang lebih tinggi jika pesakit berlebihan berat badan, perokok dan mereka yang berusia. Ramai tidak peduli dengan keadaan mereka dan menganggap ia tidak berbahaya serta tidak menyedari kesan dan komplikasi akibat OSA. Pentingnya mengetahui sama ada pesakit mengalami OSA adalah untuk mencegah komplikasi penyakit kronik yang membawa maut.

Ramai yang masih kurang kesedaran mengenai penyakit ini dan pengetahuan mengenainya juga amat rendah. Sebenarnya OSA boleh diatasi, dicegah dan dirawat sekiranya pesakit menyedari masalah mereka dan segera mendapatkan nasihat dan rawatan. Rawatan OSA terbahagi kepada dua iaitu perubatan dan pembedahan. Perubatan membabitkan diagnosis penyakit melalui pemeriksaan endoskopi untuk melihat sebarang halangan dalam tekak, peti suara, kerongkong dan saluran pernafasan.

Ini diikuti ujian tidur atau polisomnogram (PSG) untuk mengetahui tahap keparahan keadaan pesakit melalui kadar pernafasan, oksigen dalam darah, gelombang otak dan kaki serta gerakan mata.

Ujian itu nanti akan menunjukkan jenis masalah dengkur dan tahapnya. Jika perlu pesakit akan diberi alat bantuan pernafasan, aliran udara positif berterusan (CPAP) untuk membolehkan pesakit bernafas dengan baik semasa tidur.

Dalam banyak kes ringan OSA, mengubah gaya hidup yang lebih sihat seperti pengurangan berat badan, berhenti merokok, tidur mengikut masa dan menjaga pemakanan dapat membantu mengurangkan penyakit itu.

Langkah pembedahan pula akan diambil jika pesakit didapati mengalami beberapa keadaan seperti kemunculan polip di saluran pernafasan atau di peti suara, alahan dan tonsil yang besar di tekak.

OSA boleh menyebabkan beberapa masalah termasuk:

• Gangguan pernafasan yang panjang semasa tidur (lebih daripada 10 saat) disebabkan oleh sebahagian atau keseluruhan salur udara yang tersumbat.

• Kerap terjaga dari tidur tanpa disedari.

• Tidur yang tidak nyenyak. Penghidap OSA tidak akan dapat mencapai tidur nyenyak kerana mereka perlu menjaga otot tekak supaya cukup tegang untuk mengekalkan aliran udara.

• Tekanan pada jantung. Penghidap OSA kronik selalunya mudah mendapat penyakit darah tinggi dan boleh menyebabkan pembesaran jantung (kardiomegali) dan mempunyai risiko yang tinggi diserang penyakit jantung dan juga strok.

• Tidur malam yang tidak berkualiti, ini boleh menyebabkan sentiasa rasa mengantuk pada waktu siang dan mengganggu kualiti hidup.

• Kadar oksigen yang rendah dalam darah. Ini menyebabkan salur darah menyempit di dalam paru-paru dan menghasilkan hipertensi pulmonari.

• Sakit kepala berpanjangan.

• Kegemukan.

• Keletihan dan mengantuk berlebihan pada waktu siang.

View 121 : Today 1
Advertisement