Bahaya Disebabkan Makan Berlebihan (Bahagian 1)

Kesan sampingan dan bahaya makan minum berlebihan diakui oleh pakar perubatan bahawa punca penyakit yang diidapi oleh masyarakat manusia dan ada yang membawa kematian khususnya masyarakat moden hari ini, ia berpunca daripada banyak makan daripada kekurangan makanan. Penyakit-penyakit seperti darah tinggi, lemah jantung, kencing manis dan lain-lain semuanya berpunca daripada lebih makan atau tidak mengawal makanan dengan cara yang betul.

Nabi SAW mengingatkan bahawa; “Tiada suatu tempat yang dipenuhi oleh anak Adam yang lebih buruk daripada perutnya. Cukuplah bagi anak Adam itu memakan sekadarnya. Hendaklah kamu mengisi perut dengan hanya sepertiga ruang makanan dan sepertiga lagi dengan air dan sepertiga lagi dengan nafas (ruang udara)”; Riwayat At Tirmizi dan Ahmad.

Hadis di atas di samping menganjurkan agar menghadkan kadar makan dan minum, Nabi SAW juga mengingatkan tentang bahaya perut jika ia diisi dengan tanpa hadi. Difahamkan daripada hadis di atas juga bahawa perut kita hanya selamat jika ia diisi dengan makanan satu pertiga sahaja. Tetapi jika ia dipenuhi dengan makanan melebihi ruang itu, maka kemungkinan besar ia merbahaya kepada kesihatan kita sendiri.

Imam Al Ghazali dalam kitab bertajuk Minhajul ‘Abidin menjelaskan terdapat 10 bahaya berpunca daripada lebihan makanan. Di antara bahaya-bahaya makan minum tanpa had itu ialah;

1. Dalam sebuah hadis yang agak masyhur bahawa Nabi SAW mengingatkan; “Hati anak Adam ditempa bentuknya mengikut makan dan minum”. Ertinya bentuk dan sifat hati itu berpunca daripada makan minum. Dalam Al Quran pula Allah mengingatkan agar jangan makan makanan secara belebihan sehingga walau pun dengan makan minum yang halal. Firman Allah, maksudnya; “Makan minumlah kamu, tetapi jangan berlebihan” –(Surah Al ‘Araf ayat 31). Hukama’ pula ada berkata; “Perut itu umpama kuali yang berada di bawah hati, bila ia mendidih asapnya akan terkena pada hati. Jika banyak asap, ia akan kotor dan menjadi hitam”. Ertinya bahan kimia daripada makanan itu menghasilkan toksid yang boleh membinasakan hati dan jantung.

2.Seorang yang sentiasa kenyang sentiasa lupa daratan. Segala pancainderanya, seperti mata, telingan, lidah dan kemaluannya cenderung untuk melakukan perkara haram. Tetapi bila perut lapar, semua anggota menjadi aman dan tenteram daripada runtutan maksiat, hatta perkara fudhul (tidak berfaedah). Menurut Imam Al Ghazali, setiap perbuatan, ucapan serta tindak-tanduk seseorang lebih banyak dipengaruhi oleh makan minum. Jika makan yang haram, maka yang terhasil daripada anggota dan pancainderanya adalah perkara haram juga. Jika makan yang halal, yang terhasilnya adalah perkara baik dan manfaat serta keuntungan di dunia dan akhirat. Tapi jika makan belebihan, walaupun halal, ia mendatangkan kesan sampingan yang memudharatkan pula.

3.Benar sekali apa yang disebut oleh Imam Ad Daraqutni; “Bila engkau ingin sesuatu dari keperluan dunia dan akhirat, maka janganlah engkau makan dahulu sehingga perkara yang engkau ingin itu tercapai atau berhasil. Kerana makan itu akan merubahkan fikiran menjadi lemah.Bukti itu telah dialami oleh banyak orang yang mempraktikkannya”.

4.Banyak makan menyebabkan badan menjadi berat, mata mengantuk, anggota badan lesu dan lemah. Walau pun dipaksa untuk melakukan sesuatu, tetapi tidak berdaya lagi, kecuali hanya tidur seperti bangkai terbuang. Diceritakan bahawa Nabi Yahya as pernah bertemu dengan iblis sedang membawa sesuatu serupa joran (alat memancing). Nabi Yahya bertanya; “Untuk apa engkau bawa alat ini”. Jawab iblis; “Inilah syahwat untuk aku pancing anak-anak Adam”. Tanya Nabi Yahya lagi; “Adakah aku juga hendak engkau pancing?”. Jawb iblis; “Tidak ada peluang. Tetapi pernah pada suatu malam, engkau makan agak banyak. Maka aku dapat memancing kamu sehingga engkau terasa berat untuk mengerjakan solat”. Kata Nabi Yahya; “Kalau macam itu, mulai hari ini aku tidak lagi mahu makan kenyang sepanjang hidup aku”. Kata iblis dengan penuh kesal; “Betapa menyesalnya aku kerana membuka rahsia ini. Mulai hari ini kami golongan iblis tidak akan menceritakan lagi rahsia ini kepada sesiapa pun”. Ada pun kisah Nabi Yahya terlebih makan itu cuma berlaku sekali sahaja dalam hidupnya. Cubalah bayangkan, bagi orang yang sentiasa kenyang pada setiap malam. Tentu sekali bukan sahaja malas, bahkan terasa rugi untuk bangun beribadah malam. Bila terjaga pada waktu malam sayang sekali untuk tinggalkan kain selimut dan tilam empuk untuk bangun beribadah kepada Allah.

5. Seperti seorang seniman yang sedang asyik menumpukan kepada kanvas lukisannya, ia pasti lupa alam sekelilingnya. Setelah selesai dihasilkan lukisannya, ia akan terasa suatu kepuasan. Demikian juga dengan badah yang dilakukan dengan takun dan khusyuk, akan terasa sedap dan nikmat. Selesai ibadah akan terasa suatu kepuasan. Saidina Abu Bakar berkata; “Sejak aku menganut Islam, belum pernah perut aku kenyang dengan makanan. Kerana aku ingin mendapat kemanisan dan kepuasan dalam beribadah. Juga belum pernah aku kenyang dengan minuman, kerana aku sangat rindukan Allah”. Saidina Abu Bakar ialah salah seorang sahabat Nabi SAW yang mendapat maqam (tingkatan) mukasyafah. Ini seperti mana diakui oleh Nabi SAW sendiri, maksudnya; “Tiada yang melebihi kamu Saidina Abu Bakar dalam rasa mekanisan beribadah puasa dan solat. Sesungguhnya ia ialah kerana sesuatu yang tersimpan di dalam dadanya (takwa)”. Inilah tanda dan sifat orang yang telah mendapat maqam mukasyafah kerana mengurangkan makan dan minum.