Seimbangkan Makanan Asidik Dan Alkalin Untuk Kesihatan

Bagi mendapatkan kesihatan tubuh badan hingga ke usia emas, pakar pemakanan dari Amerika Syarikat iaitu Dr Ragnar Berg mencadangkan setiap individu untuk mengambil makanan beralkali sebanyak 80 peratus dan selebihnya 20 peratus makanan berasid.

Mungkin ada yang keliru dengan menyangka bahawa makanan berasid mengandungi asid.  Namun sebenarnya makanan berasid terhasil daripada proses pencernaan dan penggabungan makanan di dalam badan.

Contohnya lemon, pada awalnya lemon mempunyai asid namun selepas proses pencernaan makanan, ia menghasilkan alkali. Namun ini hanya terjadi sekiranya lemon dipetik ketika sudah masak. Sekiranya buah itu belum masak (hijau) dan bertukar kepada warna kuning kerana rosak, buah ini akan menjadi berasid selepas proses pencernaan.

Secara fakta, ia tidak hanya terjadi kepada lemon saja tetapi buah-buahan lain seperti nanas, mangga dan epal. Untuk itu, pastikan anda membeli buah yang sudah masak dan bukannya rosak.

Kajian menunjukkan bahawa individu yang mempunyai kandungan asid yang tinggi di dalam badan mempunyai kadar penyembuhan yang lebih rendah jika diserang penyakit berbanding mereka yang mempunyai kandungan asid lebih rendah dalam badan.

Badan yang mempunyai kandungan asid berlebihan akan mempercepatkan proses penuaan, merendahkan imuniti seterusnya menjadi penyebab kemerosotan sistem badan. Antara makanan berasid yang elok dikurangkan termasuk:

* Semua makanan yang berasal daripada haiwan seperti ayam, lembu, kambing, telur dan ikan.

-Produk tenusu dan susu pasteur, keju, keju lembut dan mentega.

-Semua bijirin dan kekacang termasuk gandum, jagung dan beras.

-Roti putih, biskut dan produk bakeri.

-Teh, kopi, alkohol, tembakau dan minuman ringan.

-Semua lemak dan minyak.

-Semua makanan goreng dan pedas.

-Semua makanan bergula.

Manakala terdapat beberapa jenis makanan beralkali tinggi yang patut diambil setiap hari untuk hidup lebih sihat dan bertenaga. Namun jika anda mengambil makanan bersifat asid dengan banyak, anda juga harus memilih makanan bersifat alkali dengan kadar yang tinggi supaya diet anda kelihatan lebih semula jadi.

Contoh makanan bersifat alkali yang boleh dipertimbangkan dalam diet anda seperti:

1. Sayur-sayuran jenis ubi contohnya lobak merah dan keledek. Mengikut tradisi Cina, tumbuh-tumbuhan jenis ubi mempunyai sifat penyembuhan terbaik dan mengandungi lebih mineral berbanding sayur-sayuran lain.

2. Sayur-sayuran hijau seperti kubis putih, bunga kubis, brokoli dan kubis hijau bukan saja beralkali tetapi sedap dan mempunyai antioksidan yang tinggi. Ia juga bagus sebagai makanan antikanser terbaik.

3. Bawang putih sememangnya banyak memberi kesan kepada kesihatan secara menyeluruh.

4. Bayam kaya vitamin K dan kandungan folat yang tinggi. Sayuran hijau ini juga penuh dengan vitamin, mineral, fitokimia, antioksidan dan serat. Ia membantu untuk meningkatkan pencernaan dan penglihatan.

5. Lemon, sejenis makanan beralkali yang paling bagus. Ia membantu untuk merancakkan fungsi hati dan membantu dari segi pembuangan toksin dengan lebih baik.

6. Cili merah mengandungi enzim penting untuk fungsi endokrin. Ia dikenali kerana ciri-ciri antibakteria dan makanan beralkali yang kaya dengan vitamin A, menjadikannya ejen membantu dalam melawan radikal bebas yang berbahaya yang membawa kepada tekanan dan penyakit.

7. Semua buah-buahan segar atau kering termasuk buah-buahan sitrus.

Bagi mereka yang mengekalkan diet seperti ini, badan menjadi lebih bertenaga dan peluang untuk mengekalkan keseimbangan nilai pH alkali dalam badan sangat tinggi.