Pedofilia – Adakah Anda Penghidap Penyakit Ini?


- 2 Jul 18
View 273 : Today 1

Di laman-laman sosial sekarang sedang hangat diperkatakan isu perkahwinan antara lelaki berusia 41 tahun dan anak gadis yang berusia 11 tahun sedang hangat diperkatakan. Walaupun perkahwinan tersebut sah dari segi hukum syarak, dari segi moral dan undang-undang ia dilihat sebagai mengambil kesempatan ke atas kanak-kanak yang belum mempunyai kemahiran berfikir dan membuat keputusan seperti orang dewasa.

Advertisement

Suami kanak-kanak tersebut pula dianggap sebagai pemangsa yang mengambil peluang ke atas ketidakmampuan kanak-kanak tersebut untuk berfikir secara matang. Lelaki dan wanita dewasa yang memanipulasi kanak-kanak untuk tujuan kepuasan seks mereka termasuk dalam kategori Chronophilic Disorder.

Chronophilic Disorder (nafsu seks terhadap individu lingkungan umur tertentu) terbahagi kepada tiga;

1. Pedophilia – Terhadap kanak-kanak sebelum baligh (bawah 11 tahun).

2. Hebephilia – Terhadap kanak-kanak selepas baligh (11-14 tahun).

3. Ephebophilia – Terhadap remaja yang mula masuk dewasa (15-18 tahun).

Tetapi mengikut norma kita sekarang, pedofilia dianggap mana-mana kes jenayah seksual berkaitan kanak-kanak bawah umur 18 tahun. Syarat untuk dikatakan jenayah itu Pedofilia mestilah meliputi ciri-ciri ini;

1. Pemangsa mestilah berumur 16 tahun dan ke atas.
2. Mangsa mestilah berbeza umur sebanyak 5 tahun lebih muda daripada pemangsa.

Pedophilic Disorder telah termaktub dalam DSM-5 (sebuah kitab rujukan sedunia mengenai kesihatan mental) sebagai sejenis penyakit/kecelaruan mental. Simptom-simptom yang hadir pada penghidap ini ialah;

1. Tempoh masa mempunyai perasaan seksual itu berterusan minimum 6 bulan.

2. Penghidap mempunyai stress dan tekanan untuk bertindak kepada tindakan tersebut (rasa tak tenang, asyik terbayang, mahu bertindak tetapi masih dapat bertahan).

3. Tidak semestinya perlu sudah bertindak baru digelar Pedofil.

4. Pelaku mesti berumur 16 tahun dan ke atas, mangsa pula minimum 5 tahun berbeza umur.

Susah sebenarnya mahu diagnosis penyakit ini, kerana alatan (tools) untuk menguji juga boleh jadi kontroversi. Takkan kita nak menggunakan video pronorgrafi kanak-kanak sebagai ujian kepada pelaku, kan? Memilikinya bahan tersebut sudah menjadi jenayah besar, walaupun untuk tujuan kajian sekalipun.

Malah kita perlu tahu, jenayah ini tidak semestinya berlaku persetubuhan antara pemangsa dan mangsa, tetapi tindakan menyentuh (general touch) itu juga sudah dikira. Termasuklah memandang (dengan bernafsu), membuka pakaian, menyentuh dan menyuruh sentuh.

Pemangsa biasanya orang yang dikenali (atau berautoriti) dan rapat dengan keluarga. Mereka ini seperti ayah, abang, pakcik, atuk, saudara-mara dan lain-lain. Mereka pandai berselindung dan tak disyak apa-apa oleh ahli keluarga lain. Mangsa pula, ialah kanak-kanak yang kadang-kadang, belum tahu apa-apa mengenai dunia ini. Mereka masih mengenal hidup, dan bayangkan trauma bagaimana akan meninggalkan kesan pada emosi mereka.

Nisbah mangsa mengikut jantina kanak-kanak, Lelaki:Perempuan pula lebih kurang 1:2.

Ada tiga jenis taste pelaku Pedofilia ini, iaitu;

1. Exclusive – Hanya bernafsu pada kanak-kanak sahaja.

2. Non-Exclusive – Bernafsu normal pada dewasa dan abnormal pada kanak-kanak.

3. Incest – Bernafsu pada kanak-kanak yang ada pertalian darah.

Seperti kecelaruan mental yang lain, tiada jawapan mutlak dapat menerangkan punca dan penyebab perasaan abnormal sebegitu muncul. Namun beberapa teori yang dipeloporkan ialah;

1. Genetik – Warisan daripada ibu bapa, perasaan dan fitrah yang hadir diwarisi (tetapi teori ini agak lemah).

2. Penderaan seksual – Si pelaku dikatakan mempunyai sejarah hitam pernah didera secara seksual juga, menyebabkan berlaku chain of violence, iaitu mereka melakukan perkara yang sama kepada kanak-kanak lain apabila mereka dewasa, seperti mana mereka kena ketika kecil dahulu.

3. Behavioural Learning Theory – Tingkahlaku keganasan yang dipelajari melalui pemerhatian di sekeliling. Contohnya, ketika kecil pernah melihat ayah mendera mak (atau sebaliknya), abang mendera adik dan lain-lain. Tingkahlaku agresif tersebut dipelajari secara tidak langsung, menjadikan personaliti mereka ketika dewasa kelak.

Agak sukar untuk menjalankan kajian dan mencari jawapan kepada punca munculnya tingkahlaku abnormal ini, kerana;

– Kita susah untuk jumpa orang yang nak mengaku secara sukarela dia mempunyai penyakit tersebut.
– Kes yang berlaku juga biasanya kes kecelaruan mental komorbiditi, iaitu pelaku itu mempunyai dua atau lebih kondisi serentak.

Pedophilic Disorder dan Depression, Pedophilic Disorder serta PTSD, dan sebagainya.

Rawatan Bagi Penghidap Pedofilia.

1. Melalui ubatan tertentu, tujuannya untuk rendahkan pembuatan hormon testosteron. Ini bertindak untuk merendahkan libido, iaitu Sexual Drive seseorang itu.

2. Pelaku melalui sesi terapi bersama Psikiatris atau Psikologis untuk memulihkan kondisi mental mereka.

Rawatan ini lebih efektif apabila ia melalui sukarela oleh pelaku (bukan paksaan atau arahan mahkamah) dan digabungkan bersama antara perubatan dan psikoterapi. Malah, lebih efektif apabila disertakan dengan latihan sosial (social training) oleh pekerja sosial (social worker).

Peranan Sebagai Keluarga.

1. Ajar anak-anak kita mengenai personal safety, iaitu bahagian mana yang langsung tidak boleh disentuh oleh orang lain. Seperti bibir, dada, punggung dan kemaluan.

2. Didik anak-anak kita untuk tidak berahsia dengan kita, dan sering tanya mengenai perhubungan mereka dengan orang lain. Mereka ini kadang-kadang tak tahu pun perbuatan dilakukan oleh pedofil itu merupakan perbuatan salah dan satu jenayah.

3. Jangan upload gambar anak sesuka hati di media sosial. Terutama gambar tidak berpakaian, gaya duduk yang tidak sopan atau sebagainya.

4. Kenalpasti pedofil yang ada di negara. Negara kita patut ada senarai pedofil yang boleh diakses oleh orang awam. Ini bukan isu buka aib, tetapi isu keselamatan kanak-kanak.

5. Laporkan kepada pihak berkuasa sekiranya kita syak dengan seseorang, atau apabila kanak-kanak itu sudah pun mengadu. Jangan ambil mudah aduan/rengekan mereka

————————————————————-

Sekiranya anda syak yang diri anda menghidap kecelaruan mental ini, dapatkan bantuan segera daripada kaunselor, psikologis klinikal atau psikiatris. Selagi mana anda ada rasa etika dan nilai moral yang kelakuan ini satu jenayah besar, maka menghidap penyakit ini bukan salah anda. Anda boleh merawatnya. Tetapi andai anda bertindak terhadap nafsu tersebut, maka itu memang salah anda.

Kredit: Aiman Psikologis.

Advertisement