10 Tanda Awal Barah Pankreas


- 8 Jul 18
View 459 : Today 15

Barah pankreas adalah salah satu jenis kanser yang semakin banyak dikesan di kalangan masyarakat. Kanser pankreas ini biasanya tidak menunjukkan simptom awal, dan biasanya ia dapat dikesan apabila telah berada pada peringkat bahaya. Pesakit kanser pankreas dijangka boleh hidup dalam masa 5 tahun, dan hanya 4% daripadanya saja yang boleh hidup melebihi 5 tahun.

Advertisement

Umum mengetahui bahawa bahagian hujung organ pankreas mengandungi sel yang menghasilkan insulin dan di bahagian pangkal organ pankreas pula mengandungi sel yang menghasilkan enzim penghadaman.

Jika tumor terdapat di sel yang menghasilkan insulin, ia dikenali sebagai tumor endokrina yang mudah dikesan tetapi agak jarang terjadi. Tumor yang terdapat di sel yang menghasilkan enzim penghadaman pula dikenali sebagai tumor eksokrina yang kerap terjadi tetapi agak sukar dikesan pada peringkat awalnya.

Bagaimana kita dapat mengetahui tanda amaran awal bagi kanser pankreas? Dikongsikan di sini beberapa tanda amaran awal kanser pankreas yang boleh dikesan. Di antara tanda-tanda awal ialah apabila pesakit mempunyai atau mendapat:

1. Diabetes secara mendadak – Tumor pankreas ini boleh menyebabkan pesakit kanser mendapat diabetes secara tiba-tiba/mendadak.

2. Mata dan kulit menjadi semakin kuning – Ini disebabkan tumor pankreas, walaupun bersaiz kecil, boleh menutup atau menyumbat duktus hempedu yang terletak di bahagian pangkal pankreas yang menyebabkan air hempedu berkumpul di situ kerana tersekat. Ini juga boleh menyebabkan jaundice (sakit kuning).

3. Gatal di kulit, tapak tangan dan tapak kaki – Kesan sampingan jaundice yang biasa ialah gatal-gatal di tapak tangan dan tapak kaki disebabkan oleh reaksi kulit terhadap bilirubin (bahan kimia berwarna coklat kekuningan di hati yang menyebabkan jaundice).

4. Kurang selera makan – Biasanya 6-8 bulan sebelum tumor pankreas dapat dikesan, pesakit kanser ini tiba-tiba hilang selera makan dan cepat berasa kenyang selepas makan sedikit.

5. Perubahan deria rasa – Pesakit kanser pankreas bertukar deria rasa yang biasa. Contohnya, tiba-tiba tidak suka bau kopi, rokok, atau lain-lain yang sebelum itu disukainya.

6. Sakit perut – Rasa sakit perut ini terasa sehingga ke bahagian belakang badan. Rasa sakit ini akan hilang apabila badan ditundukkan ke depan.

7. Pundi hempedu membesar – Pundi hempedu pesakit kanser ini membesar disebabkan oleh duktus hempedu yang tersumbat di mana hempedu akan membengkak/membesar di belakang duktus ini. Pundi hempedu yang membesar ini boleh dirasai oleh doktor yang memeriksa pesakit dan juga boleh dilihat pada ujian imej.

8. Najis yang pucat, terapung dan berbau busuk – Ini disebabkan tumor pankreas menghalang enzim penghadaman sampai ke pangkal usus bagi proses penghadaman lemak. Jadi, makanan berlemak tidak dapat dihadamkan yang akhirnya najis yang dihasilkan tidak padat, ringan, berbau dan terapung kerana kandungan lemak yang tinggi.

9. Najis hitam dan berdarah – Ini disebabkan oleh pendarahan di bahagian atas usus.

10. Turun berat badan secara mendadak tanpa dirancang – Ini disebabkan oleh kurangnya enzim pankreas yang dihasilkan bagi menghadamkan lemak yang diperlukan sebagai sumber tenaga. Lemak hanya melalui sistem penghadaman tanpa proses penghadaman.

Jika terdapat dua atau tiga daripada tanda-tanda berikut, silalah berjumpa doktor untuk pemeriksaan lanjut.

Advertisement