Tanda-Tanda Sakit Mental

Memiliki kesihatan mental yang baik adalah sama penting seperti kesihatan anggota badan dan seksual anda. Akhir-akhir ini banyak kes jenayah melibatkan kesihatan mental terjadi di kalangan lelaki dan wanita.

Sama ada masalah mental yang dihadapi masih dalam peringkat permulaan atau sudah kritikal, anda perlu tahu tanda-tanda awal masalah mental sama ada untuk diri sendiri, keluarga atau rakan-rakan. Merawat masalah mental dari awal adalah lebih baik berbanding pesakit mental yang sudah kritikal.

Pesakit mental kritikal mampu mencederakan diri sendiri, keluarga atau orang lain. Oleh itu, tindakan awal untuk merawat daripada pesakit mental adalah sangat digalakkan supaya mengurangkan kadar pesakit mental selain meningkatkan kadar kesihatan dan kualiti hidup di negara ini.

Kebanyakkan masyarakat di negara ini tidak mengambil perhatian serius berkenaan perkara ini dan kesedaran terhadap tanda-tanda awal masalah mental tidak dikesan dengan baik.

Beberapa faktor yang menyumbang kepada masalah mental boleh berlaku kepada diri seseorang seperti faktor biologi seperti genetik atau kegagalan bahan kimia otak. Faktor biologi amat sukar dielakkan namun masih boleh dirawat melalui kaedah rawatan psikologi dan sebagainya bagi pesakit-pesakit mental.

Pengalaman hidup seperti trauma atau penderaan juga adalah penyumbang kepada permasalahan ini selain daripada sejarah keluarga yang mengalami masalah kesihatan mental.

Agak sukar untuk kita menilai seseorang yang kita kenali sama ada mereka hidup dengan mengalami masalah kesihatan mental. Beberapa tanda awal seseorang yang dikatakan mempunyai masalah mental adalah seperti yang dinyatakan di bawah ini:

-Oleh kerana terdapat banyak gangguan pada otaknya, mereka akan makan atau tidur terlalu banyak atau terlalu sedikit.
-Menjauhkan diri dari orang di sekeliling dan juga aktiviti rutin biasa dilakukannya.
-Mempunyai tenaga yang terlalu rendah atau tidak ada tenaga langsung. Boleh dikatakan nampak lemah sahaja.
-Merasa mati rasa (numb) atau tidak seperti apa-apa.
-Mempunyai sakit dan rasa yang tidak dapat dijelaskan.
-Rasa tidak berdaya atau tiada harapan.
-Merokok, minum, atau menggunakan dadah lebih daripada biasa.
-Merasa keliru berlebihan, marah, kecewa, bimbang, atau takut.
-Berteriak atau bergaduh (besar) dengan keluarga dan rakan-rakan.
-Mengalami perubahan mood yang teruk yang menyebabkan masalah dalam hubungan.
-Mempunyai pemikiran dan kenangan yang berterusan, mereka sentiasa memikirkannya dan tidak boleh dibuang daripada pemikiran mereka. Umpama tidak boleh move on dari perkara tertentu.
-Mendengar suara asing atau mempercayai perkara yang tidak benar.
-Berfikir untuk membahayakan diri sendiri atau orang lain.
-Hilang keupayaan untuk melakukan tugas harian

Perkara-perkara di atas adalah sebahagian daripada tanda-tanda awal masalah mental sedang berlaku pada diri anda, keluarga atau orang di sekeliling anda. Oleh kerana perkara-perkara di atas dianggapkan sebagai biasa pada pandangan masyarakat di negara ini, agak sulit untuk mengatakan bahawa seseorang sedang mengalami masalah mental kecuali pegawai perubatan hospital mengesahkan perkara ini.

Tujuan rawatan masalah mental adalah untuk membantu individu yang mengalami masalah mental supaya mereka mampu meningkatkan tahap kesihatan dan kesejahteraan hidup, mampu hidup dengan kehidupannya sendiri serta berusaha untuk mencapai potensi penuh mereka. Paling utama adalah bebas daripada masalah pesakit mental sepenuhnya.

Masalah mental adalah masalah yang boleh diatasi selagi tidak mencapai peringkat gila sepenuhnya. Tanda-tanda awal masalah mental juga perlu diatasi segera kerana ianya boleh membawa mudarat yang lebih besar jika tiada langkah-langkah proaktif daripada orang yang paling rapat dengan seseorang yang mempunyai potensi sebagai pesakit mental. Rujuk segera ke hospital adalah langkah paling mudah untuk anda lakukan.