Masalah Jerawat Di Kalangan Lelaki

Tanggapan ma­­­­­­­sa­­lah jerawat hanya dialami golongan remaja sahaja tidak tepat. Hakikatnya, jerawat dialami oleh sesiapa sahaja tanpa mengira usia dan jantina. Jerawat sebenarnya bermula dari pembukaan kelenjar sebum yang tersekat, menyebabkan bakteria merebak dan mendedahkan bukaan pada kotoran. Seterusnya, bukaan kelenjar akan membengkak sebelum pecah dan mengeluarkan cecair seperti nanah yang dikenali sebagai pustule.

Bagi kebanyakan orang, perubahan hormon adalah salah satu punca utama yang menyebabkan pertumbuhan jerawat. Hormon-hormon ini menghasilkan cecair berminyak yang menjadikan liang roma tersumbat, yang menggalakkan pembentukan bakteria dan akhirnya menyebabkan jerawat!

Lelaki juga mungkin mewarisi masalah jerawat daripada bapa mereka. Sesetengah ubatan juga boleh menyebabkan jerawat. Lelaki biasanya mengalami masalah jerawat pada muka dan bahagian belakang badan.

Perpeluhan akan menjadikan masalah ni lebih teruk dan nak menghilangkan jerawat ni pun sangat susah. Jerawat pada bahagian belakang badan kerap terjadi apabila cuaca panas atau selepas senaman.

Jerawat pada bahagian ini lebih susah untuk dikawal berbanding jerawat pada bahagian muka. Walaupun bahagian belakan  biasanya lebih tersorok daripada pandangan, individu tersebut tetap mengalami rasa tidak selesa.

Kesan bercukur juga kadang-kadang akan menimbulkan kesan seakan jerawat kerana akar rambut yang dicabut akan meninggalkan lubang dan mengakibatkan kotoran berkumpul.

Apa yang boleh dilakukan untuk mengelakkan jerawat? Sentiasa pastikan kebersihan kulit. Gunakan pembersih yang lembut dan elakkan pencuci muka yang berbiji-biji seakan skrub kerana ini akan membuatkan kulit semakin teruk dan sakit. Cuci muka 2 kali sehari.

Gunakan tangan atau kain yang lembut pada kulit. Pastikan anda menggunakan kain yang bersih setiap kali mencuci muka.

Berhati-hati apabila bercukur. Gunakan pencukur yang bersih. Anda mungkin boleh minta daripada doktor, sejenis buih antibiotik yang boleh dicampurkan dengan krim pencukur anda untuk mengelakkan pertumbuhan jerawat.

Jika bercukur membuatkan kulit anda jadi kemerah-merahan (shaving bumps), cuba gunakan pencukur elektrik dan jangan mencukur terlalu nipis.

Bagi bahagian belakang badan pula, gunakan berus dengan pemegang yang panjang bagi mencapai bahagian yang tidak boleh dicapai dengan tangan setiap kali anda mandi. Pakai baju daripada kain kapas lembut untuk membuatkan anda lebih selesa.

Jika tiada perubahan pada jerawat anda atau ia menjadi semakin teruk, segeralah berjumpa dengan doktor kulit sebelum ia merebak dengan lebih parah.