Mati Putik Gugat Rumahtangga

‘Mati putik’ ini adalah sama dengan ‘mati pucuk’ yang dialami oleh lelaki. ‘Mati putik’ atau disfungsi seksual wanita bakal menjadi mimpi ngeri buat segolongan kaum wanita. Apatah lagi apabila mereka mula menunjukkan tanda-tanda kelewatan mengalami klimaks serta gagal untuk menghayati rangsangan seks ketika bersama suami. Bermakna seseorang wanita tidak mempunyai perasaan ghairah.

Advertisement

‘Mati putik’ terjadi disebabkan gangguan urat saraf dalam pengaliran darah ke faraj terutama klitoris menyebabkan ia tidak menegang. Walaupun dirangsang, ia tetap kendur dan tiada rasa ghairah menyebabkan wanita itu sukar mengalami klimaks dan kurang berminat pada hubungan seks.

Terdapat dua kategori besar yang menyumbang kepada masalah berkenaan iaitu fizikal dan psikologi. Masalah fizikal biasanya berkaitan dengan kesihatan seperti anemia atau kekurangan darah. Apabila seorang mengalami anemia, badan mereka mudah menjadi letih dan lemah.

Secara tidak langsung, ini akan menjejaskan keinginan untuk berhubungan intim dengan pasangan. Selain itu,penyakit kronik seperti diabetes dan jantung juga bukan saja menyebabkan mati pucuk bagi lelaki tetapi juga pada wanita.

Penyakit berkenaan akan menyebabkan gangguan kepada saraf di hujung anggota badan seperti hujung kaki dan juga kemaluan. Biasanya hujung anggota akan menjadi kebas dan tidak lagi dapat menerima rangsanga.

Trauma sakit selepas bersalin atau post baby coolness menyebabkan wanita kurang berminat untuk mengadakan hubungan intim. Sementara itu perubahan hormon semasa hamil dan selepas bersalin menyebabkan wanita tiada perasaan untuk hubungan intim dengan pasangan.

Ubat-ubatan yang diambil seperti ubat sawan, ubat anti psikotik juga menyebabkan pesakit seperti tidak mempunyai ‘perasaan’ yang menjalinkan hubungan intim. Kajian menunjukkan kekurangan hormon tertentu dalam badan seorang wanita juga boleh menyebabkan keinginan seksualnya berkurangan.

Penyalahgunaan dadah dan ketagihan alkohol juga menyumbang kepada gangguan seksual wanita. Penagih najis dadah dan alkohol masih boleh melakukan hubungan intim tetapi tidak mempunyai sebarang perasaan.

Namun adalah tidak benar mengatakan menopaus menyebabkan keinginan seksual wanita semakin menurun. Wanita yang telah menopaus, mengambil terapi hormon, sentiasa menjaga kesihatan dan melakukan senaman ringan secara berterusan dapat mengembalikan keinginan seksual seperti wanita muda.

Penyumbang yang kedua adalah berkaitan dengan psikologi seperti stres, tekanan, penat bekerja, cemas, ketakutan, mempunyai sejarah penderaan seksual atau pasangannya yang mempunyai pasangan lain. Wanita bekerjaya yang sibuk dengan tugasan pejabat selain terpaksa melayan kerenah anak dan membuat pelbagai kerja rumah akan menolak permintaan pasangan.

Wanita yang mempunyai masalah berkenaan perlu keluar daripada kepompong dan berbincang dengan keluarga, komuniti atau pakar perubatan. Jika masalah berkaitan dengan fizikal, pesakit perlu berbincang dengan doktor bagi mengatasi masalah yang dihadapi.

Jika disebabkan pengambilan ubatan akibat penyakit kronik, mungkin doktor boleh menasihatkan agar menukar atau mengurangkan pengambilan ubat. Mereka juga boleh melakukan senaman ringan selain pasangan perlu menghadiri kaunseling bagi membincangkan masalah yang dihadap.

Terdapat juga wanita mati putik yang mengambil ubat perangsang seperti viagra dengan harapan meningkatkan fungsi seksual mereka. Menurutnya, viagra hanya berfungsi untuk meningkatkan pengaliran darah di alat sulit lelaki dan tidak berkesan kepada wanita.

Saintis masih menjalankan penyelidikan mencari penawar bagi meningkatkan libido wanita tetapi masih menemui jalan buntu. Masalah berkenaan boleh diubati apabila puncanya dapat dikenalpasti. Apabila punca telah dikenalpasti, jelasnya, maka penyelesaian akan menjadi lebih mudah. Apa yang penting pesakit perlu datang jumpa doktor mendapat rawatan.

Biasanya hubungan akan menjadi hambar selepas usia perkahwinan lima tahun dan mungkin akan meningkat semula jika pasangan melakukan aktiviti bersama-sama seperti bercuti. Sokongan moral daripada suami juga penting agar isteri dapat pulih daripada masalah ini.

Advertisement