Adakah Kutil Kelamin Berbahaya?


- 11 Aug 18
View 1 : Today 1

Kutil kelamin atau dikenali dalam istilah perubatan sebagai condyloma acuminata bukan sahaja menjejaskan daya seksual lelaki dan wanita yang aktif pada semua peringkat usia, bangsa dan kelas sosial di seluruh dunia.

Advertisement

Ia juga dikaitkan dengan gangguan emosi. Mereka yang dijangkiti penyakit ini lebih cenderung menjadi murung dan rendah diri serta kurang berminat terhadap hubungan seks.

Lebih membimbangkan, jika tidak diberi rawatan sewajarnya, risiko mendapat kanser pangkal rahim di kalangan wanita, manakala lelaki akan menghidap barah prostat adalah tinggi.

Kutil alat kelamin boleh tumbuh sama ada di luar atau bahagian dalam tubuh. Ketumbuhan pada bahagian luar alat kelamin mudah dikenal pasti dan kebiasaannya ia tumbuh seperti ketumbuhan atau benjolan pada vulva (bibir faraj) di dalam dan di sekitar faraj atau dubur.

Bagi lelaki ia tumbuh pada zakar, kerandut zakar, ari-ari atau peha. Keadaan kutil berkenaan mungkin berbentuk benjol atau rata, tunggal atau banyak dan pelbagai saiz. Ada kalanya, ia berkumpul dan berbentuk seperti bunga kobis.

Simptom dan penyebab penyakit ini boleh dikaitkan dengan jangkitan sejenis virus yang dinamakan human papillomavirus (HPV). HPV adalah nama yang diberikan kepada sekumpulan lebih 70 jenis virus yang berkait rapat tapi hanya dua daripada virus-virus itu, iaitu HPV6 dan HPV11 diketahui penyebab penyakit ini.

Walau bagaimanapun, bukan semua orang yang dijangkiti HPV ini menghadapi masalah ketumbuhan kutil alat kelamin. Malah ramai yang tidak mengetahui langsung mereka mempunyai jangkitan tersebut. Jangkitan HPV boleh berlaku terhadap lelaki dan wanita yang masih aktif mengadakan hubungan seks.

Penyakit tersebut tersebar melalui sentuhan langsung dari kulit ke kulit ketika melakukan hubungan seks melalui faraj, dubur atau secara oral dengan seseorang yang telah pun dijangkiti penyakit tersebut.

Selain itu jangkitan penyakit ini turut dikaitkan dengan perkongsian barangan penjagaan kulit, alat-alat yang diperbuat daripada logam seperti nikel pada tali jam dan duit syiling, aluminium di dalam teko atau kuali.

Kutil tersebut biasanya akan timbul dalam tempoh sekurang-kurangnya, tiga minggu selepas mengadakan hubungan kelamin dengan seseorang yang telah dijangkiti penyakit ini. Oleh kerana tempoh ‘menetas’ agak panjang, kutil berkemungkinan timbul hanya dalam beberapa bulan atau tahun atau ada yang tidak timbul langsung.

Selain berasa gatal, seseorang yang dijangkiti penyakit itu juga berasa panas, perit dan seperti terbakar di bahagian kutil tersebut. Mengesan kutil alat kelamin dalaman agak sukar dilakukan kerana ia mungkin terletak dalam saluran kencing atau faraj atau dalam dubur.

Di samping itu penyakit ini sering mengikut warna kulit dan tidak menyakitkan. Bagi mereka yang mendapati terdapat walau sedikit kelainan kepada mana-mana bahagian kulit, dinasihatkan berjumpa doktor bagi mendapatkan penjelasan mengenai sebarang penyakit yang mungkin dijangkiti.

Pilihan rawatan masalah kutil alat kelamin yang ada sekarang kebanyakannya ditumpukan kepada tujuan untuk menghilangkan kutil yang ketara dan bukan terus kepada penyebabnya.

Rawatan yang diberikan kepada pesakit adalah berbeza mengikut saiz, lokasi dan bilangan kutil serta jantina. Antara jenis rawatan yang dicadangkan ialah membekukan kutil tersebut atau dikenali sebagai Cryotherapy, yang dianggap antara rawatan yang berkesan.

Selain itu kaedah podophyllin iaitu menggunakan sejenis tumbuhan yang boleh memusnahkan tisu di tempat yang dijangkiti di permukaan kulit.

Rawatan lain ialah sapuan sejenis kimia di permukaan kutil yang dikenali sebagai Asid Trichloracetic (TCA) bagi menyembuhkan penyakit ini. Doktor juga mungkin mencadangkan rawatan Electrocautery bertujuan menghapuskan tisu yang dijangkiti, menggunakan laser terapi atau pembedahan.

Menyuntik ubat terus kepada kutil yang dinamakan Interferon juga turut digunakan untuk merawat penyakit ini.

Turut dicadangkan ialah sejenis krim yang dinamakan krim Imiquimod yang boleh dibeli di kebanyakan farmasi yang dikenali sebagai pemulih tindak balas daya tahan atau immune respone modifiers.

Krim ini adalah kaedah rawatan alternatif terbaik berbanding terapi pemusnahan tisu kerana ia lebih selamat, berkesan dan mudah digunakan.

Antara cara-cara bagi mengurangkan risiko jangkitan pemindahan penyakit tersebut melalui hubungan seks termasuk penyakit kutil alat kelamin ialah mengamalkan hubungan seks yang selamat dan menggunakan kondom.

Penggunaan kondom secara tidak langsung memberi sebahagian perlindungan jika ia menutup bahagian yang terkena jangkitan HPV.

Apa yang lebih penting, seseorang itu perlu menjalani pemeriksaan kesihatan terutama bagi wanita iaitu dengan menjalani pemeriksaan pap smear bertujuan mengesan sebarang kelainan kepada alat kelamin.

Pengesanan awal perubahan yang diperoleh daripada ujian ini adalah langkah pencegahan terbaik bagi mengelakkan kanser rahim.

Advertisement