Kacang Tingkatkan Kualiti Sperma?

Adakah anda sudah lama berkahwin namun masih belum menimang cahaya mata? Atau selepas kelahiran anak pertama, sudah bertahun-tahun anda dan isteri menunggu kehadiran anak kedua pula. Jangan terus menyalahkan pasangan anda, mungkin ia berpunca daripada sperma anda sendiri!

Penemuan kajian perubatan yang terbaru menyatakan makan kacang telah meningkatkan jumlah dan kesihatan sperma secara ‘ketara’ di kalangan lelaki muda.

Penemuan itu ‘menyokong peranan bermanfaat pengambilan kacang terhadap kualiti sperma,’ kata mereka namun menegaskan, peserta kajian kesemuanya lelaki sihat dan subur.

Manfaat potensi kacang buat lelaki yang bergelut masalah kesuburan bagaimanapun belum diselidik secara lanjut.

Untuk kajian itu, penyelidik merekrut 119 lelaki berusia 18 dan 35 tahun, yang dibahagikan kepada dua kumpulan.

Satu kumpulan makan 60 gram badam, kacang hazel dan walnut setiap hari sebagai tambahan kepada diet biasa ‘ala-Barat’ sementara kumpulan kedua tidak mengambilnya.

Selepas 14 minggu, kumpulan kacang ‘mencatat perkembangan ketara dalam jumlah sperma, daya hidup, pergerakan dan bentuk,’ semuanya dikaitkan dengan kesuburan lelaki, kata satu kenyataan.

“Selain itu, subjek dalam kelompok mengambil kacang juga menunjukkan pengurangan ketara paras perpecahan DNA sperma, parameter dikaitkan rapat dengan ketidaksuburan lelaki,” katanya.

Keputusan itu konsisten dengan perkembangan sperma dipantau dalam kajian lain yang meneliti diet kaya dengan omega-3, antioksidan seperti vitamin C dan E, selenium dan zink serta folat. Kacang kaya dengan kebanyakan nutrien itu.

Keputusan kajian dibentangkan dalam mesyuarat Persatuan Reproduksi dan Embriologi Manusia Eropah di Barcelona.