Mati Pucuk Boleh Menyebabkan Mati Awal


- 25 Aug 18
View 1 : Today 1

Mati pucuk bukan sahaja masalah seks apabila lelaki gagal mencapai tahap ketegangan untuk memuaskan pasangannya.

Advertisement

Mati pucuk, atau erectile dysfunction (ED), juga dikaitkan dengan masalah kesihatan lebih serius yang menyebabkan seseorang mati lebih awal.

Satu kajian baru menunjukkan lelaki yang mengalami masalah tenaga batin 70 peratus lebih berkemungkinan mati awal, menurut laporan portal The Independent.

Penyelidik-penyelidik di Universiti Mississippi, Amerika Syarikat berkata puncanya berkaitan masalah-masalah saluran darah dan jantung.

Mereka mencadangkan lelaki yang mengalami masalah ketegangan menjalankan pemeriksaan untuk mengesan masalah-masalah kesihatan lain yang boleh memendekkan usia.

Walaupun sering dikaitkan dengan lelaki tua, menurut kajian itu lagi, ED juga dialami oleh 20 peratus lelaki yang berusia bawah 40 tahun.

Hasil kajian itu, diterbitkan dalam jurnal Journal of Sex Medicine, menunjukkan mereka yang mati pucuk lebih berisiko mendapat penyakit-penyakit yang mengancam nyawa.

Ahli-ahli sains itu menyemak data-data 1,790 lelaki berusia antara 20 hingga 85 tahun daripada Tinjauan Pemeriksaan Pemakanan dan Kesihatan Kebangsaaan selama tujuh tahun.

Seramai 557 orang yang terlibat dalam kajian itu mengalami masalah lemah tenaga batin, lapor portal itu lagi.

Data-data ini digunakan bersama sijil kematian daripada Indeks Kematian Kebangsaan sehingga 21 Disember 2011.

Keputusan kajian mendapati risiko kematian meningkat sehingga 70 peratus di kalangan mereka yang menderitai ED.

Seramai 244 peserta kajian itu mati dalam tempoh penyelidikan: 61 daripada kematian itu akibat penyakit kardiovaskular, 64 lagi akibat barah, dan 12 akibat penyakit berkaitan paru-paru.

“Dapatan ini membawa kesan klinikal dan kesihatan awam yang penting, bahawa ED menjadi petunjuk kuat bagi kematian sebelum masanya,” kata kajian itu seperti dipetik oleh The Independent lagi.

Penyelidik-penyelidik juga menyebut kajian lanjut harus dijalankan untuk mengetahui kesan-kesan jangka panjang masalah mati pucuk.

Advertisement