Tanda, Punca Dan Rawatan Epilepsi Atau Sawan

Epilepsi atau ayan dan lebih dikenali sebagai penyakit sawan adalah gangguan otak apabila sel-sel saraf dalam otak kadang-kala mengeluarkan isyarat yang luar biasa. Corak aktiviti neuron terganggu dan menjejaskan perasaan, tingkah laku dan emosi atau kadang-kala menyebabkan kejang otot dan pengsan.

Seseorang yang mengalami sawan tidak bermakna ia mempunyai epilepsi. Hanya sekiranya seseorang kerap mengalami sawan (dua atau lebih) dikenalpasti mempunyai epilepsi. Epilepsi tidak berjangkit dan tidak disebabkan oleh penyakit atau kemerosotan mental. Epilepsi boleh dikawal, namun sesetengahnya sembuh dengan sendiri.

Epilepsi berpunca dari pelbagai faktor. Sebarang gangguan pada aktiviti normal neuron samada penyakit mahupun kecederaan otak boleh menyebabkan sawan. Sebahagian besar sawan tidak diketahui puncanya. Punca-punca epilepsi adalah seperti berikut:
1.Faktor-faktor genetik.
2.Kecederaan pranatal (sebelum kelahiran) dan masalah tumbesaran.
3.Cedera di otak.
4.Keracunan.
5.Tumor otak.
6.Pengambilan alkohol berlebihan.
7.Penyakit Alzheimer.
8.Angin ahmar (strok).
9.Jangkitan otak.

Serangan sawan juga boleh berlaku jika kurang tidur, meminum alkohol, stres atau mengalami perubahan hormon yang berkaitan dengan haid. Gejala epilepsi bergantung kepada kawasan otak yang terjejas. Sawan setempat berlaku disebabkan oleh kejadian aktiviti yang tidak normal di salah satu kawasan otak. Tanda dan gejala sawan setempat adalah:
1.Berasa gembira yang secara tiba-tiba tanpa sebarang sebab.
2.Berasa marah.
3.Berasa sedih.
4.Loya.
5.Halusinasi (mendengar, bau, rasa, melihat atau merasa perkara yang tidak benar).
6.Berlaku samada mereka sedar atau tidak sedar.
7.Mampu melakukan pergerakan berulang-ulang (automasi) seperti mengelip mata, mengenyit mata dan menggerakkan mulut.

Sesetengah pesakit mempunyai aura tersendiri dengan menunjukkan tanda luar biasa atau amaran sebelum mendapat serangan. Sawan menyeluruh berlaku akibat kejadian aktiviti tidak normal di kedua-dua belah otak.

Tanda dan gejala sawan menyeluruh adalah:
1.Tidak sedarkan diri
2.Jatuh
3.Kejang otot yang teruk
4.Kancing gigi
5.Mulut berbuih.
6.Terkencing.
7.Terbuang air besar.

Kebanyakan pesakit epilepsi boleh menjalani kehidupan yang aktif, namun berisiko kepada 2 keadaan bahaya iaitu status epileptikus dan kematian secara tiba-tiba tanpa sebab. Status epileptikus adalah serangan sawan yang berulang-ulang yang berpanjangan dan pesakit tidak sedarkan diri. Ia dirawat dengan pelbagai ubat anti-epileptik dan boleh mengancam nyawa.

Risiko kematian mengejut di kalangan penghidap epilepsi semakin meningkat, tetapi punca kematian tidak diketahui. Risiko kematian mengejut juga terdapat di kalangan orang biasa. Walau bagaimanapun, risikonya adalah dua kali ganda. Punca sebenar kejadian ini tidak diketahui.

Diagnosis yang tepat adalah penting untuk rawatan epilepsi. Rawatan ubat-ubatan anti-epilepsi masa kini boleh mengawal 80% pesakit epilepsi manakala 20% lagi sukar dirawat dan disebut sebagai epilepsi refraktori. Apabila epilepsi dikesan, rawatan perlu dimulakan secepat mungkin.

Terdapat pelbagai ubat-ubatan pencegah epilepsi yang mempunyai manfaat serta kesan sampingan tersendiri. Pilihan ubat pencegah epilepsi bergantung kepada umur dan sifat sawan, gaya hidup pesakit, kekerapan sawan dan bagi wanita- samada hamil atau tidak. Semua pesakit perlu mematuhi regimen rawatan dan berbincang dengan doktor sekiranya mengalami kesan sampingan dari ubat yang diambil.

Kebanyakan pesakit dirawat dengan sejenis ubat sahaja. Walau bagaimanapun, sesetengah pesakit memerlukan kombinasi ubat-ubatan anti-epilepsi. Kesan sampingan kecil ubat termasuklah pening, berat badan bertambah dan keletihan. Kadang-kala pesakit mengalami kesan sampingan yang lebih serius seperti kesan buruk alergi yang boleh membawa maut seperti Steven Johnson Syndrome.

Ubat epilepsi juga boleh menyebabkan pesakit menjadi murung atau tidak berupaya untuk berfikir secara rasional. Ubat epilepsi boleh juga berinteraksi dengan ubat-ubatan lain dengan cara yang berbahaya. Oleh itu pesakit perlu memberitahu doktor ubat-ubatan lain yang diambil.

Ubat epilepsi biasanya bermula pada dos yang rendah dan meningkat secara beransur-ansur. Ia mungkin mengambil masa untuk mencari dos yang sesuai untuk merawat pesakit di samping mengurangkan kesan sampingan.

Ubat-ubatan boleh dihentikan setelah mendapat nasihat dan pengawasan doktor. Doktor akan menghentikan ubat jika pesakit tidak mengalami sawan melebihi 2 tahun. Sesetengah pesakit pula antara 3 hingga 5 tahun.

Apabila sawan tidak dapat dikawal dengan kaedah ubat-ubatan, doktor boleh merujuk pesakit untuk membuat penilaian pembedahan. Ini biasanya dilakukan oleh pakar. Keputusan untuk pembedahan adalah bergantung kepada jenis epilepsi dan kawasan otak yang terjejas.

Kaedah lain untuk merawat epilepsi adalah makanan ketogenik (makanan yang menggalakkan pembentukan bahan-bahan dalam tisu) untuk kanak-kanak. Cegah trauma di kepala, dengan memakai topi keledar dan tali pinggang keledar. Menjaga peringkat pranatal dengan baik, termasuk merawat tekanan darah tinggi dan jangkitan dalam kehamilan. Merawat penyakit kardiovaskular, jangkitan penyakit, tekanan darah dan gangguan lain yang boleh menjejaskan otak.

Kebanyakan penghidap epilepsi boleh menjalani kehidupan normal. Walau bagaimanapun, keadaan ini boleh menjejaskan kehidupan harian penghidap epilepsi, keluarga mereka dan rakan-rakan. Kebanyakan penghidap epilepsi menghadapi masalah tingkah laku dan emosi. Ini disebabkan oleh rasa takut, malu dan kecewa dengan penyakit yang dihidapi.

Kaunseling boleh membantu pesakit dan juga keluarga yang mengalami epilepsi. Penghidap epilepsi juga berisiko tinggi menjadi murung, membunuh diri dan mempunyai jati diri yang rendah.

Penghidap epilepsi dilarang memandu kecuali tidak mengalami serangan sawan dalam tempoh yang lama. Mereka juga dilarang membuat terjunan udara dan berlumba motor. Aktiviti seperti belayar dan berenang memerlukan pengawasan manakala berjoging, bola sepak dan sukan lain adalah aktiviti yang agak selamat.

Sebahagian besar individu dengan epilepsi telah berjaya dalam pelajaran dan pekerjaan, bagaimanapun sebilangan individu dengan epilepsi sukar menamatkan pengajian kerana serangan sawan dan masalah ingatan dan tumpuan. Sebahagian penghidap epilepsi menganggur kerana tekanan sosial, salah faham serta kesan ubat sedatif yang menyebabkan mengantuk.