Optimisme Mempengaruhi Kesihatan Individu

Optimisme merupakan terma yang biasa diungkap dan digalakkan dalam pendekatan psikologi positif. Perkataan optimisme berasal daripada perkataan latin ops yang bermaksud kuasa. Secara umumnya, optimisme merujuk kepada kecenderungan individu untuk meramalkan hasil yang terbaik daripada perkara-perkara yang dilakukan dalam kehidupan seharian.

Individu yang optimis cenderung untuk melihat semua perkara yang berlaku dari sudut yang positif. Seperti aspek minda dan tingkah laku positif yang lain, bersikap optimis turut memberikan kesan yang positif terhadap kesihatan dan kesejahteraan diri individu dari sudut fizikal mahupun sudut mental.

Individu yang optimis cenderung untuk menjangka perkara yang baik bagi diri mereka berbanding perkara yang buruk. Malah, dalam situasi buruk sekalipun, mereka turut melihat perkara baik akan berlaku. Antara kualiti diri individu yang optimis ialah kecenderungan mereka untuk berusaha bagi mendapatkan perkara yang dikehendaki, tidak sekadar berharap sahaja. Mereka juga cenderung untuk melihat perkara-perkara dalam kehidupan seharian sebagai perkara boleh dikawal.

Jika ditimpa perkara buruk, individu yang optimis cenderung untuk melihatnya sebagai satu perkara berasingan yang tidak bersangkut paut dengan perkara lain dalam kehidupan. Sebagai contoh, kegagalan dalam pekerjaan tidak melambangkan kegagalan dalam hidup. Sebaliknya, ia dilihat sebagai salah satu aspek daripada fungsi kehidupan yang menyeluruh.

Satu ciri yang penting dalam pendekatan optimistik ialah penerimaan terhadap apa yang berlaku. Oleh yang demikian, bersikap optimis bukan bermaksud tidak mempedulikan atau membelakangkan realiti perkara yang berlaku. Sebaliknya, menerima keadaan yang berlaku dan berusaha untuk mengubahnya.

Banyak bukti daripada kajian saintifik yang menunjukkan bahawa bersikap optimis memberikan kesan yang positif terhadap kesihatan dan kesejahteraan diri individu. Dalam satu kajian jangka panjang yang melibatkan veteran perang yang dijalankan di Universiti Harvard Amerika Syarikat, penyelidik Bruce Bower mendapati individu yang mempunyai tahap optimisme yang lebih tinggi cenderung untuk mempunyai tahap kesihatan fizikal dan mental yang lebih baik 40 tahun kemudiannya.

Melalui satu laporan yang diterbitkan oleh universiti yang sama melalui terbitan mereka Harvard’s Men Health Watch, pesakit jantung yang mempunyai sikap yang lebih optimis cenderung untuk kekal sihat selepas pembedahan. Mereka bersikap pesimis pula cenderung untuk mempunyai risiko penyakit berulang yang lebih tinggi.

Corak yang sama turut dilihat dalam kajian oleh penyelidik Ylostalo di Finland, apabila penyelidik mendapati sikap optimis mempunyai hubungan yang kuat dengan kesihatan diri individu dan risiko penyakit jantung yang lebih rendah.

Kesan baik sikap ini dilihat bersangkut-paut dengan kepercayaan dan tingkah laku mereka yang bersikap optimistik. Dengan kata lain, mereka yang optimis cenderung untuk percaya bahawa mereka mampu untuk pulih daripada penyakit yang mereka hadapi, dan berusaha untuk mengekalkan kesihatan mereka melalui aspek perubahan gaya hidup yang lebih sihat.

Kesan positif optimisme terhadap pemulihan penyakit turut dikongsi oleh pakar-pakar onkologis yang terlibat dalam rawatan penyakit kanser. Dalam kajian yang melibatkan kumpulan ini, hampir 700 orang pakar onkologis yang telah merawat lebih 100,000 pesakit ditanya mengenai aspek psikososial yang mampu membantu pesakit melawan penyakit tersebut.

Hampir 90 peratus pakar yang terlibat percaya bahawa faktor psikososial utama yang membantu keberkesanan rawatan ialah sikap optimis. Pesakit yang bersikap optimis cenderung untuk mempunyai tahap tekanan perasaan, kebimbangan, dan kemurungan yang lebih rendah semasa menjalani rawatan bagi penyakit mereka.

Satu sebab lain yang dapat dikaitkan dengan kesan positif optimisme dalam melawan penyakit adalah hubungan minda positif dan rembesan hormon dalam badan. Minda yang positif seperti ini boleh menggalakkan pengeluaran hormon yang dikaitkan dengan ketenangan dan kegembiraan yang lebih tinggi. Selain itu, ia turut merendahkan pengeluaran hormon yang dikaitkan dengan emosi negatif seperti hormon epinephrine, norepinephrine, cortisol, dan prolactin.

Namun, sebab paling utama sikap optimis ini boleh memberikan kesan yang postif terhadap kesihatan adalah kerana mereka yang optimis cenderung untuk mengambil sikap proaktif dalam merealisasikan kepercayaan, matlamat dan kehendak mereka. Oleh yang demikian, tanamkanlah sikap ini dalam diri untuk pencapaian kejayaan dalam hidup dan kesejahteraan diri yang lebih baik.