Pengambilan Dadah Mempercepatkan Gejala Sakit Mental


- 28 Aug 18
View 1 : Today 1

Tiga daripada 10 individu yang menggunakan dadah jenis amphetamine type stimulants (ATS) atau dadah perangsang terdedah mendapat penyakit mental, psikosis yang menyebabkan mereka me­ngalami halusinasi, delusi, paranoia selain berkelakuan ganas sehingga bertindak di luar kawalan.

Advertisement

Bilangan pesakit yang dimasukkan ke hospital psikiatri di Malaysia berpunca daripada dadah juga menunjukkan aliran meningkat dalam tempoh tiga tahun kebelakangan ini menurut Pengarah Hospital Bahagia Ulu Kinta, Dr Norhayati Nordin.

Beliau berkata, seramai 357 pesakit mental akibat dadah dirawat di hospital itu pada 2014 dan meningkat kepada 395 orang (2015) dan 441 orang tahun lalu. Katanya, walaupun masalah skizofrenia masih mencatatkan bilangan pesakit tertinggi dirawat di situ, ia menunjukkan aliran menurun iaitu daripada 1,093 orang (2014) kepada 1,006 orang (2015) dan 954 orang (2017).

Peningkatan pesakit mental akibat dadah ini berpunca daripada penggunaan banyak dadah sintetik sekarang yang boleh mengakibatkan penagihnya mengalami psikosis (gejala seperti halusinasi).

Risiko seseorang itu mendapat penyakit mental kekal adalah tinggi jika menggunakan dadah jenis pe­rangsang seperti syabu, ekstasi, kanabis dan pil kuda pada usia muda. Penggunaan dadah sintetik (syabu dan ekstasi) secara berlebihan atau dalam dos yang tinggi boleh menyebabkan re­maja terdedah untuk mendapat pe­nyakit mental kekal ke­rana otak mereka masih berkembang pada peringkat umur begitu.

Ini kerana dadah jenis ATS melepaskan kandungan kimia dipanggil dopamine yang me­rangsang otak menghasilkan rasa bertenaga, seronok, yakin dan berani secara berlebihan dan tidak mengantuk yang dipanggil ‘rush’.

Walau bagaimanapun, selepas 24 hingga 48 jam mengambil dadah jenis perangsang ini, penggunanya akan menunjukkan sikap berlawanan seperti murung, tidak bersemangat dan mengantuk berlebihan yang dipanggil crash.

Dadah jenis berkenaan menyebabkan penggunanya menjadi ketagihan dengan lebih cepat walaupun pengambilannya secara berkala iaitu sekali dalam seminggu. Dadah jenis syabu bukan seperti heroin atau morfin yang perlu diambil secara kerap untuk menjadi ketagihan. Walaupun diambil sekali dalam masa seminggu, mereka juga sudah boleh digelar penagih.

Kebiasaannya apabila dadah jenis ATS diambil secara berterusan, penggunanya boleh menjadi agresif selain mulai mengalami delusi atau khayalan dan berasa paranoia iaitu kebimbangan yang tidak berasas.

Mengambil contoh kes seorang pesakit di sini, seorang remaja berusia 19 tahun yang mengambil dadah ATS sejak di tingkatan tiga mula bertindak agresif terhadap ibunya sehingga sanggup mengancam dengan pisau.

Remaja itu bertindak demikian kerana mengalami delusi sehingga percaya ada seseorang merancang mencedera dan membunuhnya. Mereka yang mengalami halusinasi akan mula berprasangka buruk terhadap orang lain, sukar tidur, kurang selera makan, hilang fokus dan minat, mendengar suara-suara dan nampak benda-benda yang tidak dilihat oleh manusia normal.

Ini menyebabkan mereka menjadi tidak rasional dan akhirnya bertindak di luar batasan sehingga sanggup mencederakan diri sendiri atau mereka yang rapat dengannya.

Perkara itu boleh terjadi kerana kandungan dopamine yang dihasilkan terlalu tinggi sehingga menyebabkan individu tersebut boleh mendapat gejala psikosis yang mempunyai ciri seperti pe­nyakit mental, skizofrenia. Keadaan tersebut disebabkan berlaku kerana berada di bawah pengaruh dadah. Apabila berhenti mengambil dadah, mereka dapat kembali normal seperti orang lain.

Tetapi terdapat juga kes setelah berhenti mengambil dadah, simptom-simptom skizofrenia kekal dalam diri mereka. Ini sebenarnya disebabkan dalam diri mereka memang telah ada penyakit mental. Pengambilan dadah hanya akan mempercepatkan lagi seseorang yang mempunyai genetik skizofrenia mendapat penyakit mental paling serius.

Pesakit boleh mengalami delusi atau keyakinan terhadap khayalan sendiri akibat kegagalan membezakan dunia sebenar dengan dunia khayalan yang terbit daripada gangguan skizofrenia.

Biasanya, lelaki lebih awal mendapat skizofrenia iaitu pada usia 18 hingga 35 tahun manakala wanita pada usia antara 25 hingga 35 tahun. Sekiranya individu lelaki mengambil dadah dalam usia 18 tahun, penyakit skizofernia yang sepatutnya datang pada usia 25 tahun akan datang lebih awal disebabkan pengambilan dadah.

Ini akan menyebabkan kebergantungan dan beban kepada keluarga lebih awal. Sekiranya individu tersebut masih dalam pengajian pada usia sebegitu, mungkin pengajiannya tidak dapat diteruskan lagi atau yang sudah bekerja terpaksa berhenti kerja disebabkan sakit mental.

Penyakit mental harus dirawat pada peringkat awal dengan mengambil ubat anti psikortik dan kaunseling bagi membolehkan mereka dapat kembali kepada penghidupan asal. Jika dapat dirawat pada peringkat awal, potensi untuk dia dapat kembali kepada kehidupan asal sebelum ini lebih tinggi. Tetapi kebanyakan pesakit yang datang berada di peringkat agak lewat yang menyebabkan mereka sukar dipulihkan sepenuhnya.

Stigma masyarakat terhadap mereka yang mempunyai masalah mental ini masih lagi tinggi menyebabkan tidak ramai yang ingin tampil mendapatkan rawatan ketika peringkat awal. Apabila keadaan sudah tidak dapat dikawal seperti sudah mencederakan diri dan orang lain hingga ada yang di peringkat membunuh baharu datang mendapatkan rawatan.

Jika ibu bapa melihat per­ubahan tingkah laku anak mereka, segeralah bawa berjumpa doktor supaya boleh dirawat. Pesakit yang mendapat rawatan awal boleh menjalani kehidupan seperti orang lain berbanding mereka yang dibiarkan begitu sahaja yang boleh membahayakan nyawa orang di sekelilingnya.

Advertisement