Punca Kencing Berdarah

Kencing berdarah atau istilah perubatannya hematuria boleh berlaku disebabkan pelbagai sebab. Kencing berdarah bermaksud kehadiran darah dalam air kencing sama ada ia boleh dilihat menggunakan mata kasar atau tidak.

Bagi sesetengah orang, darah di dalam air kencing boleh hilang dengan sendirinya dan ada individu lain memerlukan rawatan. Wanita lebih tinggi mendapat kencing berdarah berbanding lelaki.

Hematuria terbahagi kepada dua kategori, iaitu gross hematuria dan mikroskopik hematuria. Ia tidak sama dengan masalah kencing kotor atau kurang lawas sering diperkatakan umum.

Kencing berdarah boleh dilihat jelas dengan mata kasar untuk jenis gross hematuria. Ini bermakna mereka dapat melihat kehadiran darah dalam air kencing menyebabkan ia kelihatan kemerahan seakan darah. Berbeza dengan mikroskopik hematuria, penghidap tidak dapat melihat tanda darah dan masalah ini hanya boleh dikesan menerusi penelitian mikroskop.

Walaupun tidak terlalu serius dan jarang mendatangkan komplikasi, ia boleh menjadi serius jika berlaku jangkitan dan merebak ke bahagian buah pinggang. Saluran kencing terdiri daripada organ yang mengumpul, menyimpan dan mengeluarkan air kencing daripada badan iaitu, buah pinggang, ureter, pundi kencing dan salur kencing (uretra).

Kuman penyebab jangkitan saluran kencing selalunya berasal dari kulit berhampiran dengan pembukaan uretra. Wanita lebih senang dijangkiti kerana mereka mempunyai saluran kencing lebih pendek berbanding dengan lelaki. Kuman boleh sampai ke pundi kencing dengan lebih mudah kerana jarak dekat.

Kencing berdarah boleh berlaku kerana jangkitan saluran kencing apabila mikro organisma seperti bakteria memasuki saluran kencing dan berkembang biak sehingga menyebabkan keradangan pada saluran kencing. Kehadiran bakteria itu juga boleh merebak ke organ kencing lain seperti pundi kencing, ureter atau turut mampu menyebabkan jangkitan pada buah pinggang.

Selain jangkitan saluran kencing, masalah hematuria terjadi kerana kehadiran batu dalam buah pinggang atau pundi kencing seseorang. Kumpulan garam galian dalam air kencing boleh menjadi kristal kecil bahkan membesar jika dibiarkan lama dan menyebabkan sakit pada pundi kencing.

Dalam beberapa kes, adanya darah dalam air kencing berkemungkinan memberi tanda sel kanser dalam satu sistem organ kencing. Untuk menentukan sama ada hematuria berpunca daripada kanser atau tidak, wajar berjumpa dengan pakar. Pengambilan ubatan mengandungi aspirin, heparin dan antibiotik juga boleh menjadi punca kepada masalah itu.

Apabila seseorang disahkan menghidapi masalah kencing berdarah, rawatan diberikan bergantung kepada penyebab. Dasarnya, doktor akan mendapatkan sejarah perubatan penghidap dan melakukan pemeriksaan fizikal secara menyeluruh untuk menentukan punca.

Antara contoh ujian diberikan kepada penghidap ialah ujian darah, sampel menganalisis sampel air kencing dan juga pengimejan, seperti computerized tomography (CT) scan atau magnetic resonance imaging (MRI) dan prosedur sistoskopi (cystoscopy).

Rawatan berbeza bergantung kepada punca. Contohnya, jika hematuria disebabkan jangkitan pada saluran kencing, doktor akan memberikan antibiotik. Jika tidak ada masalah kesihatan serius, mungkin tidak ada rawatan khusus diperlukan.

Jangkitan saluran kencing adalah penyakit biasa kepada wanita semasa hamil dan warga emas. Namun, diagnosa dan pencegahan dan rawatan untuk golongan warga emas mungkin agak susah kerana gejala jangkitan kurang ketara serta daya pertahanan badan berkurangan dengan peningkatan umur.

Secara amnya kebanyakan jangkitan saluran kencing boleh diubati dengan mudah dan berkesan kerana doktor akan mencadangkan supaya penghidap melakukan rawatan susulan bagi memastikan masalah itu sembuh sepenuhnya.

Escherichia coli adalah kuman paling kerap menyebabkan jangkitan saluran urinari. Kuman lain seperti Klebsiella, Enterobacter, Proteus, Pseudomonas. Enterococcus dan Staphylococcus juga boleh menyebabkan jangkitan. Kulat (seperti Candida) dan virus jarang menjadi punca jangkitan.

Antara gejala jangkitan saluran urinari ialah seperti sakit semasa kencing, kencing lebih kerap, terutama waktu malam (nocturia) dan selalu ke tandas. Mungkin terkencing dan kurang kawalan menahan.

Jarang demam kecuali jangkitan sudah merebak ke bahagian atas saluran kencing atau merebak ke dalam darah. Sakit di bahagian belakang atau tepi badan mungkin disebabkan jangkitan buah pinggang (pilonefritis). Kekeliruan mungkin terjadi terutama jika pesakit mempunyai demam tinggi. Air kencing mungkin berbau busuk atau kelihatan keruh atau berdarah.

Prosedur perubatan tiub dengan kaedah memasukkan ke dalam saluran kencing boleh menambahkan risiko jangkitan saluran kencing. Wanita berusia lebih mudah mendapat jangkitan saluran kencing kerana pengurangan aras hormon (estrogen) selepas putus haid boleh mengakibatkan penipisan dinding saluran kencing keluar badan (uretra) dan melemahkan pertahanannya terhadap jangkitan.

Pengaliran air kencing daripada pundi kencing mungkin menjadi luar biasa disebabkan otot pundi kencing yang mengecut dengan lemah atau saraf yang mengawal pundi kencing kurang berfungsi.

Dalam sesetengah kes, kuman merebak daripada pundi kencing melalui salah satu ureter (iaitu saluran kencing dari pundi kencing ke buah pinggang) boleh mengakibatkan jangkitan teruk pada buah pinggang. Sekali-sekala, jangkitan saluran kencing boleh merebak ke dalam darah (sepsis), mengakibatkan komplikasi dan membawa kematian.

Terdapat 3 kaedah rawatan kencing berdarah yang biasa dilakukan iaitu;

Ujian air kencing

– Pada kebiasaannya doktor mengesyaki jangkitan saluran kencing berdasar kepada gejala saja. Ujian air kencing diuji dengan kertas ujian untuk mengesan nitrites dan sel darah putih dalam air kencing.

– Air kencing dihantar ke makmal dan diperiksa di bawah mikroskop untuk mengesan kehadiran sel darah putih dan menilai pembiakan kuman bagi mengenal pasti jenis kuman.

Ujian darah

– Dilakukan untuk mengesan kehadiran bilangan sel darah putih yang banyak berkemungkinan salah satu tanda jangkitan. Ujian darah boleh dilakukan mengesan kuman merebak daripada saluran kencing ke saluran darah.

– Warga emas dengan jangkitan saluran kencing berulang memerlukan ujian tambahan seperti mengukur saki air kencing dalam pundi kencing selepas kencing. Jangkitan saluran kencing berulang perlu dinilai dengan pemeriksaan ke atas struktur sistem saluran kencing dengan ujian tertentu seperti ujian imbasan ultra bunyi. Antibiotik

– Dirawat dengan ubat antibiotik dan diberikan secara oral. Rawatan jangkitan pada buah pinggang, antibiotik melalui intravena diberikan selama beberapa hari.

Pembedahan

– Pembedahan atau prosedur lain mungkin perlu untuk melegakan sekatan fizikal pada sistem saluran kencing.