Bahaya Penyakit Tibi

Penyakit tibi tidak mengenal usia, namun ia boleh dipulihkan jika dirawat selepas dikesan awal menggunakan kaedah mudah iaitu alat imbasan dada atau penilaian klinikal oleh kakitangan kesihatan terlatih.

Advertisement

Seperti demam selsema , tibi disebarkan melalui udara apabila penghidap tibi batuk atau bersin dengan bakteria dipindahkan ke udara yang kemudiannya menjangkiti orang lain. Dikenali juga sebagai tuberculosis, ia merupakan penyakit berjangkit yang berpanjangan.

Hanya mereka yang menghidap penyakit tibi boleh menjadi punca jangkitan kepada orang lain. Pesakit yang dijangkiti oleh penyakit tersebut akan membekalkan kuman tibi di udara apabila mereka batuk, bersin, bercakap dan meludah. Kanak-kanak biasanya terdedah dan dijangkiti tibi akibat berdekatan dengan orang yang rapat seperti ahli keluarga yang menghidap tibi.

Simptom atau gejala penyakit tibi adalah batuk berpanjangan melebihi dua minggu, kurang selera makan, demam, gangguan suara, berpeluh di waktu malam dan batuk berdarah. Mereka yang mempunyai simptom itu perlu mendapatkan saringan dengan segera di klinik berhampiran.

Sekiranya sejarah pesakit berhubung kait dengan anggota keluarga yang menghidap tibi, ia dinamakan `Kontek Tibi’. Dalam kes ini risiko jangkitan adalah terlalu tinggi dan pemeriksaan perlu dilakukan segera.

Jangkitan tibi pada organ paru-paru melebihi 90 peratus pesakit. Ini bermakna tanda-tanda dan gejala umum penyakit ini lebih berkait rapat dengan paru-paru. Tibi juga boleh berjangkit pada bahagian-bahagian lain badan manusia seperti kelenjar lymph, otak, jantung, tulang dan saluran gastrointestinal (pemakanan).

Tanda-tanda dan gejala jangkitan mempunyai hubung kait dengan organ yang telah dijangkiti seperti bengkak kelenjar, pening kepala, bengkak tulang dan keadaan kurang selesa di saluran usus.

Tibi paru-paru atau Pulmonary TB merupakan jangkitan yang kerap berlaku jika dibandingkan dengan organ-organ lain manusia. Sehubungan itu, pemeriksaan kahak melalui mikroskop perlu dijalankan bagi membolehkan basillai tibi dikesan di dalam kahak pesakit.

Proses berkenaan digunakan 100 peratus untuk mengesan jangkitan penyakit tibi. Bagaimanapun, hanya satu contoh kahak pesakit tidak mencukupi untuk mengesan penyakit itu. Biasanya proses tersebut memerlukan sebanyak tiga contoh pemeriksaan untuk digunakan sebagai perbandingan keputusan.

Selain itu, pemeriksaan X-ray pada bahagian dada juga perlu dilaksanakan bagi memastikan tahap jangkitan dan kerosakan sel paru-paru yang telah dijangkiti.

Apa yang menjadi kebimbangan kini ialah sebahagian klinik swasta tidak memiliki kemudahan pemeriksaan tersebut bagi tujuan mendiagnosa penyakit tibi dan akhirnya pesakit terpaksa dirujuk di hospital kerajaan.

Satu lagi cara untuk menyiasat jangkitan penyakit tibi ialah dengan cara ujian Mantoux. Ujian itu dijalankan dengan menyuntik cecair Tuberculin dengan dos yang rendah di bahagian kulit tangan kiri.

Selepas 72 jam pesakit dikehendaki datang ke klinik untuk menentukan sama ada berlaku sebarang reaksi pada bahagian yang disuntik. Sekiranya pesakit telah terdedah dengan jangkitan di bahagian kulit berkenaan ia akan menampakkan tanda kemerahan yang lebarnya lebih 10mm (1cm).

Sementara itu, bagi mengesan tibi untuk organ yang lain pula, tisu organ yang dijangkiti diperlukan bagi tujuan Biopsy. Sekiranya ada tanda-tanda bengkak di sisi leher, maka tisu pada bahagian tersebut diperlukan.

Rawatan penyakit tibi memerlukan tempoh yang lama. Ia disebabkan oleh Mycobecteriam Baccillai yang sukar untuk dihapuskan kerana ia akan menjadi kebal. Rawatan bagi penyakit tibi memerlukan pengambilan antibiotik dalam tempoh enam bulan bagi menyembuhkan pesakit.

Penghidap tibi yang mendapatkan rawatan awal tidak akan mengalami komplikasi kerana kerosakan di bahagian sel, paru-paru adalah rendah.

 

Advertisement