Kebaikan Menderma Darah Kepada Kesihatan


- 14 Sep 18
View 1 : Today 1

Naik berat badan, proses yang menyakitkan dan penyakit boleh merebak antara kepercayaan atau andaian yang menyekat kerjasama masyarakat untuk menderma darah.

Advertisement

Pakar perubatan menyangkal andaian sedemikian sebaliknya menegaskan bahawa menderma darah baik untuk kesihatan selain dapat merangsang pertumbuhan sel-sel darah baru. Penderma darah atau mereka yang sudah melalui proses ini juga mengakui ia bukan sesuatu yang menyakitkan.

Proses menderma darah adalah selamat kerana sebelum menderma, bakal penderma dikehendaki mengisi borang soal selidik tentang status kesihatan mereka selain menjalani ujian tekanan darah dan pengenalan jenis darah.

Selepas itu, bagi setiap unit darah yang diderma, sampel darah diambil untuk ujian semula kumpulan ABO dan ujian saringan bagi menentukan darah yang diderma selamat digunakan.

Ujian saringan yang dilakukan ialah bagi mengesan virus hepatitis B, hepatitis C, HIV, siflis dan malaria. Jika mereka dikesan mempunyai simptom-simptom ini, mereka tidak dibenarkan menderma darah.

Mitos bahawa menderma darah menyebabkan penyakit merebak juga tidak benar kerana setiap jarum yang digunakan untuk suntikan akan dibuang manakala peralatan perubatan yang digunakan juga akan disteril semula.

Wujudnya tanggapan yang salah berhubung jangka hayat darah hingga menyebabkan kurang aktiviti menderma darah. Ramai yang masih menganggap bahawa darah yang didermakan itu boleh tahan lama, maka mereka ingat hanya perlu mendermanya sekali sahaja atau mereka rasa tidak perlu menderma kerana sudah ada yang menderma.

Walhal, jangka hayat darah adalah terhad, darah merah boleh digunakan dalam tempoh 42 hari sahaja manakala platelet hanya boleh bertahan lima hari.

Bekalan darah bukan sahaja untuk kegunaan mangsa kemalangan tetapi juga diperlukan untuk kes-kes kronik yang memerlukan tranfusi darah seperti talassemia, buah pinggang, kanser dan leukaemia serta kes-kes pembedahan.

Sekiranya penderma darah mengalami kenaikan berat badan, ia bukan berpunca daripada aktiviti menderma darah tetapi melibatkan faktor berpengaruh yang lain. Masalah kegemukan selepas menderma tak benar, jika ini berlaku, ia berkemungkinan dari faktor genetik, emosi, cara pemakanan, kurangnya aktiviti sukan atau persekitaran seseorang itu.

Menderma darah mampu mengurangkan risiko penyakit jantung. Kecekapan badan penderma menggunakan zat besi akan bertambah kerana garam galian ini diperlukan untuk menghasilkan sel darah merah baru dan proses ini boleh membantu badan mengawal kandungan zat besi dalam badan dan mengelak masalah pengumpulan zat besi berlebihan pada jantung.

Menderma darah juga membawa kebaikan dari aspek sosial kerana amalan itu dapat menolong mereka yang memerlukan dan ia termasuk dalam sebahagian tuntutan fardu kifayah.

Advertisement