Adakah Degupan Jantung Kencang Berbahaya?


- 16 Sep 18
View 1 : Today 1

Jantung pantas berdegup, rasa sesak nafas selain mudah penat sehingga rasa mahu pitam antara simptom yang dialami penghidap hipertensi pulmonari (PHT) apabila pesakit terlalu kerap berjalan atau ketika mendaki anak tangga.

Advertisement

Penghidap PHT  sering berdepan dilema khususnya membabitkan aspek psikologi dan sosial. Mereka tampak seperti orang normal tetapi banyak perkara yang tidak dapat dilakukan.

Selain tidak boleh terbabit dalam aktiviti lasak dan berat seperti larian mahupun bersukan, mereka juga perlu mengawal pengambilan makanan tertentu antaranya air dan garam kerana boleh menjejaskan tahap kesihatan.

Jika tidak dikawal atau tidak menuruti saranan doktor, ada kemungkinan berlaku masalah jantung dan paru-paru kronik. Sebaiknya pesakit PHT perlu didiagnosis awal bagi mengelak masalah menjadi serius.

Penyakit PHT sukar dikesan melainkan mereka mempunyai sejarah penyakit jantung atau paru-paru ketika lahir. Bagi individu normal, penyakit ini amat sukar dikesan sehinggalah mereka didapati mengalami masalah pada jantung atau paru-paru. Biasanya apabila dikesan, ia sudah terlalu lewat untuk dibendung menerusi terapi atau pengambilan ubat.

Gejala PHT sukar difahami individu normal, biasanya mereka berjumpa doktor apabila mengalami serangan seperti sesak nafas atau sakit jantung. Tidak dinafikan, ada juga doktor yang terlepas pandang masalah PHT kerana menyifatkan ia gejala biasa akibat terlalu penat bekerja.

Jadi pihak hospital berharap lebih ramai memantau tahap kesihatan dari semasa ke semasa agar gejala PHT dapat disaring pada peringkat awal dan mereka tidak perlu melalui proses rawatan rumit seperti mendapat bekalan oksigen berterusan ataupun pembedahan jantung dan paru-paru pada kadar segera.

PHT merujuk pada tekanan darah tinggi dalam sistem jantung ke paru-paru yang menyebarkan darah segar (yang mengandungi oksigen) ke jantung serentak darah sudah digunakan (tidak mengandungi oksigen) kembali ke paru-paru.

Ia berbeza dengan tekanan darah tinggi yang disebabkan saluran darah sempit sehingga menyebabkan tekanan pada jantung. PHT ialah tekanan darah dalam paru-paru menyebabkan jantung terbeban.

Bagi kaedah merawat ia berbeza mengikut tahap dan keadaan pesakit. Pakar perubatan yang mengendalikan PHT sentiasa mencari alternatif terbaik dalam meningkatkan kualiti hidup pesakit. Antaranya memberi peluang kepada akses ubat lebih baik seperti sildefil atau tadafil yang dilihat memberi impak lebih baik kepada pesakit.

Setakat ini ubat jenis ini mempunyai akses sangat terhad dan kementerian kesihatan berharap kerajaan memberi kelonggaran kepada polisi membawa masuk ubat berkenaan agar dapat membantu pesakit PHT di Malaysia. Malah sudah ada pesakit yang menggunakan ubat terbabit dan terbukti kesan positif terhadap kualiti hidup mereka apabila dapat menjalani rutin seperti individu normal.

Para doktor berharap pesakit PHT di Malaysia tidak terus hidup dalam tahap kronik yang memerlukan mereka bergantung penuh pada tangki oksigen sekali gus menjejaskan kualiti hidup. Gejala awal hipertensi pulmonari termasuk:

• Sesak nafas ketika aktiviti rutin

• Keletihan

• Sakit dada

• Denyutan jantung pantas seperti berlumba

• Sakit di bahagian atas sebelah kanan abdomen

• Kurang selera makan

Gejala susulan:

• Merasa ringan, terutamanya ketika aktiviti fizikal

• Pengsan

• Bengkak di pergelangan kaki atau kaki

• Bibir dan kulit pucat kebiru-biruan

Advertisement