Makanan Punca Pedih Hulu Hati


- 18 Sep 18
View 1 : Today 1

GERD adalah gangguan penyakit pencernaan kronik yang berlaku apabila asid dalam perut atau ada kala kandungan perut mengalir semula ke dalam saluran esofagus (laluan antara mulut dan perut).

Advertisement

Ramai tidak menyedari, makanan pedas, berasid, berlemak dan berangin memberi kesan tidak baik dalam tubuh. Namun, sukar meninggalkannya disebabkan sudah menjadi budaya terutama dalam masyarakat Asia. Memang enak makanan seperti itu, apatah lagi sememangnya selera Asia.

Namun, tahukah anda makanan berkenaan boleh menyebabkan seseorang itu diserang simptom pedih hulu hati atau Gastro Esofagus Refluks Disease (GERD).

GERD akan beransur menjadi teruk jika tidak dirawat. Ia berpunca daripada struktur dalaman badan dan gaya hidup. Oleh itu pesakit perlu mengambil langkah proaktif bagi menanganinya dengan berkesan.

Ia umpama luka yang boleh melarat dan membahayakan nyawa jika tidak diubati. Hakikatnya GERD menjejaskan kehidupan seperti keseronokan menikmati makanan, tidur yang cukup dan kepuasan bekerja.

Apabila makan, makanan akan disalurkan dari mulut ke perut melalui tiub dipanggil esofagus. Pada penghujung esofagus iaitu sebelum bukaan perut, ada satu lingkaran otot dikenali sebagai sfinkter esofagus bawah (LES).

Sekiranya fungsi LES terjejas atau otot esofagus menjadi lemah, sfinkter (pencerut) tidak dapat tertutup dengan sempurna. Ini menyebabkan asid dan kandungan dalam perut naik semula (refluks) ke dalam esofagus.

Asid perut mempunyai pH yang hampir sama dengan asid bateri. Apabila asid perut terkena esofagus dan ada kalanya naik semula ke mulut, ia akan menghakis saluran ini dan menyebabkan kesakitan.

Kebanyakan orang tidak menyangka GERD akan membawa perubahan drastik dalam hidup mereka. Menurut data klinikal, GERD boleh menyebabkan kerisauan dan kemurungan begitu juga sebaliknya. GERD juga berupaya mengganggu produktiviti dan tidur seterusnya menjejaskan kehidupan harian.

Tahap teruk GERD bergantung kepada kegagalan fungsi LES dan jenis serta jumlah cecair yang dirembes daripada perut dan kesannya boleh meneutralkan air liur. Gejala GERD seperti pedih ulu hati dan memuntahkan semula asid perut biasanya dirawat dengan pelbagai ubat bergantung kepada tahap keterukan yang dialami pesakit.

Kekerapan GERD didapati meningkat di Asia Tenggara sehingga 20 peratus berbanding data yang direkodkan selepas 2005. Kebanyakan orang yang mengalami GERD menganggap keadaan ini berpunca daripada tekanan atau makanan pedas dan berasid.

Menurut kajian, tekanan bukan punca sebenar GERD, namun ia antara faktor yang boleh memburukkan lagi penyakit itu. Saintis mendapati pengeluaran asid perut amat sensitif terhadap keadaan emosi kita.

Selain tekanan, obesiti juga antara faktor pencetus GERD. Berat badan yang terkumpul pada bahagian perut akan menekan diafragma dan LES hingga menyebabkan otot LES menjadi longgar.

Tidak memeranjatkan jika diberitahu bilangan orang yang menderita GERD kian meningkat di negara ini memandangkan Malaysia tersenarai sebagai negara yang mempunyai paling ramai penduduk gemuk di Asia.

Merokok turut menjadi faktor risiko GERD kerana nikotin berpotensi mengendurkan otot LES, seterusnya menolak asid perut naik semula ke dalam esofagus. GERD bukan mudah ditangani. Namun langkah awal untuk mencegah GERD bermula daripada pemakanan yang lebih sihat, iaitu mengurangkan pengambilan makanan berasid, pedas dan berlemak yang dinyatakan.

Advertisement