Ejakulasi Pramatang Tidak Mengenal Usia


- 22 Sep 18
View 1 : Today 1

Menurut Kaji Selidik Tingkah Laku dan Kepuasan Seksual 2013, sebanyak 45 peratus lelaki dan 71 peratus wanita dilaporkan mengalami masalah ejakulasi pramatang (PE) dan tidak puas dalam hubungan mereka. Sebanyak 89 peratus lelaki dan 81 peratus wanita yang mengalami masalah PE pula menyatakan, ia memberi impak negatif terhadap hubungan dengan pasangan masing-masing.

Advertisement

Mengapa sesetengah lelaki sukar bertahan di ranjang, sedangkan situasi ini menimbulkan tekanan emosi kepada mereka dan pasangan? PE (premature ejaculation) bermaksud seseorang lelaki mengalami ejakulasi dengan rangsangan seksual minimum dan lebih awal daripada diingini. Bagi pasangan yang kehidupan seksual mereka aktif, masalah ini boleh menjejaskan hubungan intim.

Ia juga memberi impak negatif kepada kualiti hidup dan kepuasan seksual pasangan secara keseluruhan. Ia boleh menyebabkan kekecewaan dan mengganggu keintiman yang juga komponen penting dalam kepuasan hubungan orang dewasa.

Ini sekali gus menyebabkan berlaku tekanan dan kekecewaan ketika melakukan aktiviti itu yang akhirnya memberi kesan kepada kualiti hidup. PE adalah masalah yang sering dialami satu daripada tiga lelaki di negara ini.

Ia boleh berlaku pada semua tanpa mengira usia. Kekurangan pendidikan dan kesedaran menyebabkan ramai lelaki menganggap ia perkara biasa sedangkan sebenarnya boleh mengganggu kualiti kehidupan mereka bersama pasangan.

Masyarakat juga sering menganggap perkara ini sebagai tabu (pantang-larang) yang seolah-olah menjadi satu kesalahan jika dibincangkan secara umum. Sebenarnya, PE boleh dirawat bagi membantu meningkatkan kualiti hidup setiap pasangan.

PE masih dianggap ‘pantang ‘di Asia disebabkan pesakit malu berkongsi masalahnya dengan orang lain. Secara umumnya, lelaki mempunyai jangkaan tidak realistik mengenai prestasi seksual mereka. Dalam kes tertentu, ia menimbulkan kebimbangan secara berlebihan.

Wanita pula kebanyakannya sukar meluahkan keperluan seksual mereka yang mengakibatkan kedua-dua pihak tertekan dan bimbang secara bersendirian.

Golongan lelaki boleh mengalami PE walaupun pada kali pertama melakukan hubungan intim atau ia boleh terjadi dalam kehidupan mereka selepas beberapa tahun tidak pernah berdepan masalah itu.

Perasaan dialami pesakit PE boleh disamakan dengan bersin, iaitu mereka menyatakan tahu ia akan berlaku tetapi tidak dapat melakukan apa-apa untuk menahannya.

Sehingga kini, pesakit PE sukar dirawat secara terus, malah ramai menderita dalam diam dengan mengelak melakukan hubungan intim dan bergantung pada rawatan kurang berkesan atau membeli produk tidak terkawal secara dalam talian (online).

Dalam satu kajian diterbitkan oleh Journal of Sexual Medicine, hampir 5,000 lelaki berusia 18 hingga 65 tahun di rantau Asia Pasifik menyatakan, masalah PE lebih ketara berbanding mati pucuk atau erectile dysfunction (ED). ED memberi kesan kepada 20 peratus lelaki, berbanding PE sehingga 31 peratus.

Berdasarkan kaji selidik, satu daripada tiga responden beranggapan masalah PE akan hilang dan percaya ia tidak boleh dirawat. Kaji selidik turut mendedahkan, PE ialah kondisi perubatan yang biasa berlaku di rantau Asia Pasifik dengan satu daripada tiga lelaki mengalami beberapa bentuk PE sebagaimana didiagnosis oleh Alat Diagnostik Ejakulasi Pramatang (PEDT).

Sebanyak 38 peratus responden lelaki Malaysia yang mengalami PE cenderung mengelak melakukan hubungan intim manakala 20 peratus lagi rasa terpinggir daripada pasangan. Kira-kira 14 peratus wanita menyatakan PE boleh menyebabkan hubungan terputus atau berlaku perceraian.

Perbezaan PE (ejakulasi pramatang) dan ED (mati pucuk)

1.Menegangkan alat kelamin
PE: Tiada masalah untuk tegang dan sesuai untuk hubungan intim.
ED: Sukar tegang atau mengekalkan ketegangan yang sesuai bagi tujuan hubungan intim.

2.Mengekalkan ketegangan
PE: Kekal tegang sehingga berlaku ejakulasi.
ED: Lembik sebelum ejakulasi atau sebelum hubungan intim berakhir.

3.Ejakulasi
PE: Ejakulasi berlaku sebelum lelaki mahukannya dengan rasa kawalan yang lemah menyebabkan perasaan tertekan.
ED: Lelaki mungkin cuba melakukan ejakulasi dengan cepat sebelum alat kelamin hilang ketegangan atau mungkin ejakulasi ketika lembik.

4.Siapa yang terkesan
PE: Biasa berlaku kepada lelaki tiada had umur.
ED: Lebih biasa berlaku pada lelaki berusia.

Advertisement