4 Punca Gigi Sensitif Dan Cara Rawatan


- 24 Sep 18
View 1 : Today 1

Bagaimana mahu mengenal pasti anda mempunyai gigi sensitif? Jika anda terasa tidak selesa seperti cucukan tajam pada gigi setiap kali mengunyah, anda mungkin mempunyai masalah gigi sensitif. Terdapat beberapa penyebab kepada punca gigi sensitif. Antara faktor gigi sensitif ialah;

Advertisement

1.Kemerosotan gusi yang berlaku apabila individu semakin berusia, yang mana sehingga 80 peratus orang mengalami kemerosotan gigi menjelang usia 65 tahun.

2.Selain itu, hakisan enamel iaitu kehilangan enamel gigi boleh menyebabkan gigi sensitif. Ini biasa berlaku apabila terlalu banyak mengambil makanan serta minuman berasid.

3.Memberus gigi terlalu lama dan kuat juga mempercepatkan kemerosotan gusi serta hakisan enamel, seterusnya menyebabkan gigi sensitif. Mengisar gigi iaitu tabiat mengetap dan mengisar gigi bersama-sama juga boleh menyebabkan enamel terhakis.

4.Gigi berlubang, tampalan lama pada gigi yang retak atau renggang serta pembedahan gusi yang mendedahkan akar gigi turut menjadi penyebab kepada masalah gigi ngilu.

Dasar dentin gigi ialah lapisan yang mengelilingi teras ngilu disaluti enamel pada korona dan gusi yang mengelilingi gigi. Dari semasa ke semasa, lapisan enamel menjadi haus dan mengurangkan perlindungan untuk gigi anda.

Gusi juga boleh menyusut dari semasa ke semasa dan menjadikan permukaan akar yang mendasari dentin terdedah. Dentin mengandungi sejumlah besar liang atau tubul daripada bahagian luar gigi ke teras gigi.

Apabila dentin terdedah, tubul ini boleh dirangsang oleh perubahan suhu atau sesetengah jenis makanan dan minuman. Apabila seseorang yang mengalami gigi sensitif mengambil makanan atau minuman sejuk, panas, manis atau masam, rangsangan ini akan bergerak melalui saluran kecil daripada tubul. Ini kemudian akan mengganggu teras gigi serta mencetus sensitiviti gigi anda, seterusnya menyebabkan rasa cucukan tajam yang tidak selesa.

Langkah merawat gigi sensitif

Antara langkah yang boleh diambil untuk merawat gigi sensitif ialah mengetahui puncanya dengan mendapatkan rawatan profesional. Mendapatkan diagnosis tepat mengenai sensitiviti gigi membolehkan anda menerima rawatan berkesan untuk menghapuskan ketidakselesaan dialami.

Doktor akan memeriksa bagi mencari punca gigi sensitif seperti gigi yang berlubang atau gusi yang menurun sehingga mendedahkan akar gigi. Mereka juga akan mengenal pasti permukaan bahagian gigi yang terhakis.

Bagi pesakit mengalami masalah muntah akibat gangguan pemakanan, permukaan bahagian belakang giginya yang akan haus, manakala kebiasaan mengetap gigi menyebabkan permukaan atas gigi menjadi rata.

Rawatan awal perlu dilakukan pesakit sendiri di rumah seperti mengubah tabiat buruk yang menyebabkan gigi sensitif seperti mengambil pemakanan sihat, teknik memberus gigi, menukar berus gigi yang selamat dan menukar ubat gigi yang mempunyai kandungan untuk merawat gigi sensitif.

Kandungan mineral dalam ubat gigi sensitif akan membina lapisan perlindungan pada gigi yang terhakis dan membantu menutup liang tubul yang terdedah, sekali gus tidak berlaku pergerakan cecair yang menimbulkan rasa ngilu.

Sekiranya penggunaan ubat gigi sensitif gagal bantu melegakan kesakitan selepas dua hingga empat minggu, barulah rawatan di klinik dilakukan terhadap pesakit. Rawatan profesional dilakukan termasuk melapis kemasan berflorida pada gigi, tampalan resin komposit, sapuan gel permukaan gigi, pancaran laser dan rawatan akar gigi.

Selain itu, memilih ubat gigi yang betul juga boleh membantu mengatasi masalah sensitiviti gigi. Sesetengah ubat gigi menyediakan penyelesaian sementara, yang mana ia hanya mengebaskan gigi daripada ketidakselesaan dari semasa ke semasa. Oleh itu, adalah sangat penting mendapatkan ubat gigi yang menyasarkan punca sensitiviti gigi.

Mereka yang sudah mengalami tanda gigi sensitif ia­itu rasa ngilu ketika mengambil makanan atau minuman panas, sejuk, manis atau masam, perlu segera mendapatkan pemeriksaan dan rawatan sewajarnya kerana gigi kekal apabila sudah rosak teruk sehingga perlu dicabut tidak akan tumbuh lagi.

Advertisement