7 Pilihan Sihat Untuk Makan Di Luar


- 6 Oct 18
View 1 : Today 1

Ramai yang merasakan lebih mudah untuk untuk makan di luar apatah lagi terdapat banyak kedai yang menjual makanan 24 jam sehari di serata tempat. Namun begitu, jika anda makan di luar perlulah berpada-pada kerana makan secara berlebihan atau pilihan yang salah akan mendatangkan kemudaratan pada tubuh badan lebih-lebih lagi dengan penggunaan minyak dan santan yang sangat lazim dalam masakan kita.

Advertisement

Terdapat beberapa jenis makanan yang boleh anda pilih jika anda mementingkan kesihatan dan apa yang lebih menarik, makanan-makanan ini tidak sukar untuk didapati. Terdapat tujuh makanan dan minuman yang sihat yang boleh anda pesan jika makan di luar.

1.Ulam-ulaman
Usah dipandang pada salad semata jika anda terfikir untuk mula makan secara sihat. Sejak dulu lagi, masyarakat Melayu terutamanya mengamalkan ulam-ulaman apabila memakan nasi dan lauk. Daun selom, ulam raja, pegaga, tenggek burung adalah beberapa jenis ulam yang mudah didapati di gerai-gerai menjual nasi campur. Ulam-ulaman lazimnya tumbuh melata dan harganya tidak mahal. Kaya dengan pelbagai khasiat, ulam-ulaman mempunyai nutrisi untuk kesihatan manusia. Contohnya daun pegaga, ia mampu merawat kulit secara tradisional dan melancarkan pergerakan darah. Daun pegaga juga boleh dikisar dan dibuat jus. Sebelum anda menceduk kobis masak lemak apabila ke gerai nasi campur, cuba gantikan sayur yang dimasak dengan ulam-ulaman yang segar.

2.Rojak buah
Cara yang amat menarik untuk menikmati buah-buahan tempatan semestinya dengan rojak buah. Buah mangga muda, kedondong, mangga masak, jambu air dan jambu batu bagaikan buah-buahan wajib untuk rojak buah. Potongan buah-buahan segar itu sendiri kaya dengan serat dan boleh membantu penghadaman yang sihat. Keistimewaan rojak buah terletak pada kuahnya yang masam, manis, pedas dan masin. Namun begitu, hati-hati dengan kuah rojak buah kerana terdapat kandungan gula yang agak tinggi. Kurangkan pengambilan kuah rojak untuk memastikan anda tidak terlebih kalori yang tidak sepatutnya.

3.Ikan bakar
Jika anda berkunjung ke gerai-gerai nasi campur, pasti ada gerai yang menjual ikan bakar. Ikan bakar adalah pilihan yang bijak untuk makan tengahari kerana makanan yang dipanggang tidak menggunakan minyak yang banyak, sekaligus menjadikan kandungan lemaknya kurang. Nutrisi makanan yang dipanggang juga kekal di dalam makanan tersebut. Antara jenis-jenis ikan yang popular dibakar adalah ikan talapia, ikan pari, ikan kembung dan ikan keli. Cuba padankan ikan bakar bersama sesenduk kecil nasi putih dan ulam-ulaman. Anda boleh mengambil kuah asam dan kicap cili yang dihidangkan bersama ikan bakar untuk rasa yang lebih lazat. Satu lagi pilihan yang baik ialah ikan kukus. Menu ikan masak stim senang didapati di gerai-gerai makan terutama pada waktu makan malam. Seperti ikan panggang, ikan yang dikukus juga menggunakan kurang minyak dalam masakan. Ikan adalah sumber Omega-3 yang amat baik untuk kesihatan.

4.Dhal dan Chapati
Sememangnya kedai mamak popular dengan roti canai tetapi pilihan yang lebih baik adalah capati dan kuah dhal. Dhal diperbuat daripada lentil, sejenis kekacang yang tinggi dengan kandungan zat besi, protein dan asid folik. Capati pula adalah sejenis roti yang tidak menggunakan minyak untuk dimasak. Padanan kedua makanan ini adalah lebih sihat daripada roti canai dan kuah kari yang digoreng dan berkalori tinggi.

5.Sup
Makanan bersup amat bagus untuk kesihatan kerana nutrisi yang masih terkumpul di dalam air rebusan itu. Sama ada anda memilih sup ayam, sup daging, mahupun sup sayur, pasti ia lebih baik daripada makanan yang digoreng. Jangan bimbang jika anda melihat minyak yang terapung di dalam sup ayam atau daging, lazimnya minyak itu adalah hasil semulajadi daripada protein tersebut apabila direbus. Anda juga boleh menggunakan sudu untuk mengeluarkan minyak itu daripada air rebusan. Anda boleh memilih untuk menjamah sup dengan segenggam nasi putih atau bihun.

6.Tosai
Satu lagi pilihan sihat yang boleh dinikmati di kedai mamak adalah tosai. Lazimnya diperbuat daripada tepung beras dan lentil, bancuhan tosai ditapai (fermented) terlebih dahulu sebelum ia sedia untuk dimasak atas kuali leper. Tosai juga amat mudah dihadam perut. Kandungan kalori dan lemak yang rendah menjadikannya sesuai bagi mereka yang menjaga badan. Kami cadangkan agar tosai dipadankan dengan kuah dhal untuk kandungan nutrisi yang tinggi.

7.Air kosong
Mungkin ini kedengaran mudah, tetapi berapa ramai di antara kita yang masih memesan minuman manis atau bergas ketika makan di luar? Pilihan yang paling baik adalah air kosong kerana ia menghidratkan badan tanpa menambah kalori. Jika anda sedang duduk minum petang bersama rakan-rakan dan tidak mahu hanya meminum air kosong, anda boleh memesan minuman tanpa gula atau kurang manis. Mengurangkan jumlah gula di dalam pemakanan dan minuman anda adalah amalan yang sihat dan boleh membantu mengurangkan berat badan.

Pemakanan yang sihat tidak sukar jika anda memahami kandungan yang terdapat dalam makanan dan kesannya pada tubuh badan. Tidak salah jika anda mahukan gulai lemak cili api atau kari yang dimasak dengan santan namun pilihan tersebut perlu ada hadnya. Di samping mengamalkan gaya hidup yang aktif, amalkan dan lebihkan tujuh pilihan yang kami cadangkan sekiranya anda memilih untuk makan di luar.

Advertisement