Ahli Politik Mohon Maaf, Tidak Berbaju Dalam Parlimen

Seorang ahli politik memohon maaf selepas dilihat tidak berpakaian ketika berlangsungnya sidang Parlimen secara maya, pada Rabu.

CNN melaporkan Will Amos yang juga Ahli Parlimen untuk Pontiac, Quebec dari Parti Liberal dilihat tidak berpakaian sehingga imejnya ditangkap layar.

Lebih memalukan, imej tidak berpakaian itu sudah tular di media sosial negara berkenaan. Rakan Ahli Parlimen itu, Claude DeBellefeuille dari Parti Quebecois menyedari tindakan itu ketika sesi pertanyaan.

“Kita dapat melihat seorang daripada ahli tidak berpakaian dengan sempurna dalam sesi pertanyaan.

“Jadi ini adalah ingatan kepada ahli lain terutamanya lelaki agar memakai sut dan tali leher dengan sempurna,” katanya.

Katanya, ahli parlimen juga diminta untuk diingatkan agar lebih berwaspada dan mengawal kameranya.

Speaker Parlimen, Anthony Rota yang memberi respons kepada kenyataan DeBellefeuille berterima kasih atas keprihatinan ahli mesyuarat.

Amos menerusi Twitter memohon maaf atas kesilapan yang dilakukan dan mengakui malu dengan kejadian itu.

“Kamera saya secara tiba-tiba dalam keadaan berfungsi dan merakam perbuatan saya yang ketika itu menukar pakaian untuk keluar berjoging.

“Saya dengan ikhlas memohon maaf kepada semua rakan ahli mesyuarat yang lain, dan berjanji ia tidak akan berulang,” katanya.