Pelajar Cipta ‘Mata Ketiga’ Untuk Golongan Ini

Seorang pelajar rekaan industrial menemui penyelesaian untuk mereka yang mata sentiasa tertumpu pada telefon bimbit tidak kira ke mana mereka pergi.

Minwook Paeng mencipta “Third Eye” atau Mata Ketiga yang boleh diaktifkan secara automatik apabila pengguna tunduk ke bawah memandang telefon bimbit mereka dan mengesan halangan di sepanjang laluan mereka.

Rekaan Minwook itu adalah sebahagian daripaa tugasannya demi memperolehi ijazah dalam bidang Kejuruteraan Inovasi Rekaan di Kolej Imperial dan Kolej Diraja Seni London.

Mata robotik tersebut membolehkan pengguna telefon yang obses dengan media sosial bergerak ke pelbagai lokasi tanpa bimbang terjatuh atau tersepak dan terlanggar apa-apa halangan di hadapan mereka.

Telefon bimbit telah berasimilasi begitu mendalam dengan kehidupan moden sehingga agak mustahil untuk menidakkan proses evolusi penggunaannya dengan lebih selamat.

Berbanding cuba mengubah tabiat manusia, dia berkata masyarakat dunia perlu menerima hakikat bahawa telefon bimbit adalah sebahagian daripada diri dan perlu mencipta teknologi yang kurang berbahaya kepada manusia.

Mata Ketiga ciptaannya akan menganalisa dan mengawasi sebarang halangan untuk menghalang daripada kemalangan yang memalukan dan berbahaya. Komponen hitam yang kelihatan seperti anak mata adalah sensor ultrasonik untuk mengesan jarak.

Apabila terdapat halangan di hadapan pengguna, sensor ultrasonik akan mengesannya dan memberitahu pengguna melalui pembunyi isyarat yang dipasang.

Minwook berharap projek ciptaannya itu, walaupun mungkin tidak menghasilkan keputusan yang diharapkan, akan menjadi peringatan bahawa obsesi manusia terhadap penggunaan telefon bimbit tidak membawa kebaikan.