Teknologi Rendang Daging Dan Sate Ayam Tiruan

Sebuah makmal berteknologi tinggi di Singapura, Makmal ADM, berjaya menghasilkan replika hidangan Asia yang popular, bermula dari sate ayam tiruan hingga rendang daging tiruan, dengan memberi alternatif daging berasaskan tumbuhan bagi menerapkan matlamat pemakanan lestari.

 

Permintaan untuk makanan lestari di Asia masih kecil dibandingkan dengan Barat, namun ia meningkat seiring dengan kesedaran mengenai pemakanan yang sihat dan kebimbangan mengenai kesan persekitaran akibat pengambilan daging berlebihan.

 

Pakar dan saintis makanan bekerja melakukan kajian dengan ekstrak tumbuhan di fasiliti mereka yang baru dibuka untuk menghasilkan versi vegetarian dari hidangan berdaging tradisional namun mampu memberi rasa seperti hidangan sebenar.

 

Burger dan nugget ayam berasaskan tumbuhan bukan perkara baharu di rantau ini, tetapi gergasi pemprosesan makanan Amerika Syarikat, ADM memfokuskan usahanya pada hidangan yang mempunyai tarikan tempatan.

Tegas Dirk Oyen, Naib Presiden dan Pengurus rantau Asia Tenggara, “Kami bekerja dengan chef tempatan dan pelanggan tempatan untuk memastikan cita rasanya sesuai dengan apa yang diperlukan di Asia. Itu rahsia untuk mencipta rasa yang disukai orang tempatan,” tambahnya.

 

 

Makmal ADM telah berjaya menghasilkan sate dan rendang versi sayuran. Mereka berharap dapat menyempurnakan ramuan asas untuk makanan istimewa ini dan memasarkannya kepada pengguna.

 

Para saintis menggunakan teknologi canggih untuk menggabungkan pemakanan, tekstur, aroma dan rasa untuk mencipta alternatif daging bersifat vegetarian yang kaya dengan protein, terutamanya menggunakan kacang soya dan kacang polong.

 

Mereka menghasilkan replika daging lembu, daging babi, ayam dan makanan laut dan boleh digunakan dalam pelbagai jenis hidangan siap. Mereka juga mencipta produk daging yang diproses, seperti sosej.

 

Singapura setakat ini sudah berjaya menjadi tuan rumah bagi sejumlah syarikat pemula tempatan yang memfokuskan pada pemakanan lestari, termasuk makanan laut “makmal” dan dumpling yang dihasilkan daripada buah-buahan tropika.