Bahana Ipar Duai Tinggal Sebumbung!

Lagi kes Mahkamah Syariah. Bahana ipar duai tinggal sebumbung. Dapat panggilan seorang suami bertanyakan hukum Li’an di Mahkamah Syariah (suami hendak menafikan anak yang dikandung isteri sebagai darah dagingnya).

 

Isteri baru sahaja bersalin 12 hari, dan hari ini buat pengakuan ini bukan anak suami, tapi anak adik kandung suami (adik ipar). Si suami minta penjelasan si adik tentang apa yang berlaku, si adik pun mengaku memang kerap lakukan hubungan atas dasar suka sama suka.

 

Kelahiran pertama cahaya mata mereka, tempoh perkahwinan baru mencapai usia setahun lebih. Sepatutnya dalam tempoh ni masing-masing sedang seronok layan baby.

 

Kisahnya mereka ipar duai kedua-duanya sudah berumahtangga dan atas persetujuan bersama untuk kurangkan kos sewa rumah, mereka berempat tinggal sebumbung dalam satu rumah dua tingkat di Selangor. Disebabkan PKP, suami lama terkandas di Perak tak boleh rentas negeri. Maka tinggallah isteri dengan ipar dan biras bertiga.

 

Entah bila dan bagaimana, isteri hari ini mengaku sudah beberapa kali terlanjur dengan adik ipar sendiri semasa ketiadaan suami dan biras. Sehinggalah apabila diketahui dia mengandung, beriya-riya dia minta suami rentas negeri untuk cover line (kehamilan).

 

Apabila anak lahir, isteri sedar sifat dan raut wajah anak memang ikut muka adik ipar. Tak sanggup lagi menipu suami dan menyesal dengan dosa tersebut, dia akhirnya buat pengakuan bahawa anak yang baru lahir bukan benih hasil perkahwinan dengan suami.

 

Separuh gila si suami, berada di Perak dan dimaklumkan isteri dengan berita ‘malang’ sebegini. Buntu, hendak buat penafian nasab yang tidak pernah sedikitpun dia ragui di samping kesan Li’an itu sendiri terlalu besar ke atas status perkahwinan mereka nanti.

 

Dia bertanya bagaimana status anak tersebut jika dia setuju tu bukan anak benih dia sendiri? Saya jelaskan Li’an ada tempoh tertentu dan antara pandangan muktabar di sisi mazhab Syafie hendaklah dilakukan ketika anak masih dalam kandungan hingga sejurus sahaja lahir. Kena rujuk Hakim, saya tiada authority.

 

Cuma, ada saya bertanya..

“Tuan yakin atau tidak nak li’ankan anak tersebut?”, Dia sudah menangis di hujung talian.

“Bagi saya tu anak saya, Puan.”

Aduhai ujian.

 

Sabda Nabi SAW:-

إيَّاكُمْ والدخول على النساءِ فقالَ رجلٌ منَ الأنصار يا رسولَ الله أفرأيتَ الْحَمُو قالَ الْحَمُو الموت

Bermaksud : “Janganlah kamu memasuki tempat para wanita. Maka berkata seorang lelaki dari kaum Ansar: “Wahai Rasulullah, bagaimana pula dengan ipar?”, Baginda berkata: “Ipar adalah kematian.”_ Hadis riwayat Bukhari dan Muslim.

 

“Kematian” menurut Imam al-Thobari adalah merujuk kepada sesuatu perkara yang buruk dan tidak disukai, yang mana mereka menyamakan sifat itu dengan berdua-duaannya seorang lelaki dengan isteri saudaranya sendiri. (Kitab Fathul Bari)

 

Wanita, isteri, jagalah maruah dan harga diri sendiri. Kita adalah golongan yang paling ramai mengikut Dajjal. Perbanyakkanlah ilmu agama dan hindari kelalaian. (17:32)

 

Naudzubillah.

Mohon jangan tinggalkan komen tidak Syar’ie. Suami beri izin saya kongsi kisah sebagai iktibar. Doakan beliau.

Kredit : FB Nur Fatihah Azzahra