Telefon Bimbit Dirampas Polis, Syed Saddiq Bimbang

Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, Bekas menteri belia dan sukan, mendakwa polis merampas telefon bimbitnya sebagai sebahagian daripada keperluan siasatan ke atas hantaran Instagram berhubung kematian A Ganapathy.

 

Dakwa ahli Parlimen Muar itu, meskipun dia memberi kerjasama penuh dengan menyerahkan telefon tersebut, kata kunci kepada akaun media sosial dan kad simnya, rampasan itu disifatkan sebagai tidak perlu.

 

“Soalannya, kenapa hendak ambil keseluruhan telefon kalau siasatan hanya berdasarkan hantaran Instagram?  Sebab saya sudah dengan rela hati membenarkan mereka mengakses Instagram saya, kerana mereka kata (penyiasatan) hanya ke atas Instagram, tak ada yang lain.

 

“Pada masa itu juga saya telah pun membenarkan mereka untuk mengambil data daripada Instagram (saya) pada hantaran tersebut. Jadi soalannya, kenapa hendak ambil keseluruhan telefon?” soalnya.

 

Kenyataan itu dikeluarkan Syed Saddiq selepas keluar dari Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi tengah hari tadi apabila ditanya pemberita. Sebelum itu dia memberikan keterangan selama kira-kira dua jam kepada pegawai penyiasat.

 

Dalam hantaran dibuat pada bulan lalu, Syed Saddiq mendesak keadilan diberikan untuk mendiang Ganapathy yang meninggal ketika dirawat di hospital setelah ditangkap pada 24 Feb.

 

Dilaporkan Ganapathy ditangkap untuk membantu siasatan berhubung adiknya yang dikehendaki oleh polis. Namun pada 11 Mac ibu mendiang, S Thanaletchumy, 60 mendakwa anaknya itu dipukul dalam tahanan.

Dakwaan itu dibuat selepas dia dihubungi seorang polis pada 8 Mac yang memaklumkan bahawa anaknya telah dibebaskan dan dirawat di unit rawatan rapi Hospital Selayang.

 

Ekoran hantaran yang dibuatnya itu Syed Saddiq kini disiasat mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan Seksyen 505 (b) Kanun Keseksaan.

 

Meskipun faham bahawa polis hanya menunaikan tanggungjawab untuk menjalankan siasatan, kata Syed Saddiq, dia bimbang apabila dimaklumkan pegawai penyiasat bahawa arahan rampasan itu datang daripada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).

 

Menurutnya, sebagai bekas anggota kerajaan dia mempunyai “pengalaman” bagaimana penyalahgunaan boleh berlaku di SKMM untuk tujuan gangguan politik dan kempen sabotaj.

 

“Kami tahu ada segmen khas dalam SKMM yang dikhususkan untuk politik, gangguan politik (political intrusion), kempen sabotaj dan lain-lain – yang ditutup serta-merta oleh PH di bawah menteri Gobind Singh Deo (menteri KKMM pada zaman PH).

 

“Soalannya, selepas pertukaran kerajaan (kepada PN), adakah mereka mengaktifkan semula unit bermatlamat politik ini? Itu kebimbangan saya.

 

“Saya percaya kepada Polis Diraja Malaysia dalam hal ini, tapi mereka kata arahan datang daripada SKMM pada saat-saat akhir. Itu benar-benar mewujudkan kesangsian,” katanya lagi.

 

Kata Syed Saddiq sebagai ahli parlimen dia mempunyai tanggungjawab ke atas rakyat berbilang kaum di negara ini, dan mesej utama hantaran videonya itu adalah untuk mendesak penubuhan Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC).

 

Kata presiden penaja parti Ikatan Demokrati Malaysia (Muda) itu, rang undang-undang IPCMC sepatutnya dibentangkan untuk bacaan kali pertama di parlimen pada Mac tahun lalu namun ia ‘dimatikan’ selepas kerajaan bertukar.

 

Katanya, soal kematian dalam tahanan boleh ditangani melalui pembaharuan dasar awam dan hal itu, katanya, dapat dicapai dengan penubuhan IPCMC bagi memastikan amalan semak dan imbang dalam pasukan polis.

 

Menerusi IPCMC juga, tambahnya, pengumpulan data akan menjadi lebih telus dan adil, serta dapat diakses oleh media dan pengkaji dasar – sekali gus memudahkan penyelesaian isu kematian dalam tahanan.