Guna Alasan “Nasi Di Kedah Lebih Sedap”…

“Nasi di Kedah lebih sedap…” Itu antara alasan lucu dan remeh yang diberikan individu yang didapati merentas negeri menggunakan lorong tikus dalam sebuah ladang kelapa sawit di Kampung Selamat, Tasek Gelugor, Seberang Perai ke Padang Serai, Kedah.

 

Seramai 17 individu ditahan polis apabila didapati merentas negeri tanpa kebenaran. Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd. Noor berkata, pihaknya mengesan individu terbabit melakukan kesalahan itu semasa pemeriksaan kira-kira sejam yang bermula pukul 4 petang.

 

Mereka ditahan polis di sempadan Kedah-Pulau Pinang semasa operasi mengejut yang dijalankan polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU) di tiga laluan lorong tikus di Kampung Selamat, Tasek Gelugor di sini hari ini.

 

“Ada yang dari Pulau Pinang kata nak merentas negeri sebab nak beli nasi di Padang Serai di Kedah sebab nasi di sana lebih sedap. Padahal di Pulau Pinang (Tasek Gelugor) ada banyak kedai makan.”

“Kita juga tidak boleh menerima alasan mahu membeli barangan keperluan sedangkan banyak kedai di Tasek Gelugor. Alasan remeh ini tidak dilayan oleh polis dan mereka ditahan untuk tindakan lanjut,” katanya lagi.

 

Noorzainy berkata, polis mengenal pasti terdapat tiga lorong tikus dalam daerah Seberang Perai Utara yang sering digunakan bagi mengelak perbuatan mereka diketahui pihak berkuasa.

 

“Ketiga-tiga laluan tikus yang dikenal pasti adalah dua di jalan Kampung Selamat-Padang Serai dan satu lagi di jalan utama yang bersempadan dengan Pulau Pinang dan Kedah.

 

“Kita anggap jalan ini sebagai laluan tikus yang sering digunakan oleh mereka yang enggan mengambil permit kebenaran daripada polis,” katanya.

 

“Dalam operasi ini seramai 15 orang didapati merentas negeri di laluan jalan tanah (semak) ini kerana tiada permit kebenaran rentas negeri, manakala dua lagi ditahan di satu lagi laluan.

 

“Selain itu, kita turut mengesan individu yang menggunakan surat kebenaran rentas negeri yang tidak mengikut format (yang dikeluarkan) Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan kita akan siasat,” katanya kepada pemberita ketika melakukan tinjauan operasi itu hari ini.

 

Beliau berkata, kesemua mereka yang ditahan dibawa ke Balai Polis Tasek Gelugor di sini bagi siasatan lanjut.