Singapura Cipta Alat Pengesan Virus Ganti Swab Test

Singapura dilaporkan akan menggunakan satu alat ujian pernafasan bagi mengesan virus Kobido Sembilan Belas yang memberikan keputusan tepat dalam seminit.

 

Sistem Ujian Pernafasan BreFence Go Covid-19 itu dibangunkan Breathonix Pte Ltd, sebuah syarikat terbitan Universiti Nasional Singapura (NUS).

 

Mesin penguji yang dibangunkan NUS akan berfungsi seperti ujian pernafasan standard yang digunakan polis untuk mengesan pemandu mabuk.

 

Individu menghembuskan nafas ke dalam saluran mulut injap sehala, dan sebatian di dalam nafas itu akan dibandingkan dengan perisian mesin yang boleh mengesan sama ada pernafasan terbabit daripada seseorang yang positif COVID-19.

 

Breathonix diasaskan tiga siswasah NUS, Dr Jia Zhunan, Du Fang dan Wayne Wee Shi Jie, bersama penasihat PhD Dr Jia, Prof T. Venky Venkatesan dengan sokongan Program Inovasi Penyelidikan Siswazah NUS (GRIP).

Individu yang diuji positif dalam ujian nafas itu akan disaring bagi ujian Real-Time Reverse Transcription-Polymerase Chain Reaction (RT-PCR).

 

Singapura ketika ini melakukan pemeriksaan dengan ujian Kit Ujian Rapid Antigen (RTK-Ag), yang akan berlanjutan di samping alat pernafasan.

 

Ujian tepat yang cepat boleh membantu membuka semula sektor pelancongan yang terhenti. Ujian Breathonix setakat ini menjalani tiga ujian klinikal, dua di Singapura dan satu lagi di Dubai. Di Singapura, sistem ujian menerusi hembusan nafas kini digunakan di pintu masuk menerusi Johor.

 

Ia mencapai keputusan kepekaan sehingga 93 peratus dan pengkhususan sehingga 95 peratus dalam satu ujian rintis awal di Singapura yang membabitkan 180 individu.

 

Kini MYEG mengumumkan pula mereka telah menandatangani perjanjian dengan Breathonix untuk menawarkan peranti ujian ini untuk pasaran Malaysia.

 

Peranti Breathonix mampu memberikan keputusan ujian Covd-19 dalam masa 60 saat sahaja dengan ketepatan sekitar 90%. Sebagai pengedar eksklusif rasmi Breathonix di Malaysia, MYEG kini sedang melakukan permohonan dan kelulusan dari pihak berkuasa bagi membolehkan peranti ujian menggunakan nafas ini boleh digunakan untuk pasaran Malaysia.

 

Ujian menggunakan hembusan nafas dilihat lebih mampu milik, pantas dan mudah digunakan berbanding ujian RT-PCR yang menyakitkan kerana proses calitan dan mengambil masa beberapa jam sebelum keputusan diterima.

 

Penggunaan peranti ujian hembusan nafas diharapkan akan mempercepatkan proses saringan khususnya di pintu masuk sempadan negara.