LRT Bertembung, I.s.r.a.x.l Balas Dendam?

Pelbagai tanda tanya kedengaran di kalangan rakyat Malaysia apabila pesawat pengintip prototaip Israel dilaporkan merentas ruang udara Putrajaya sebelum mendarat di Singapura.

 

Pesawat jenis Boeing 737-400 bernombor 4X-A00 itu adalah milik Israel Aerospace Industries-Elta (IAI-Elta) iaitu sebuah syarikat kontraktor berlepas dari Tel Aviv dan sedang menjalankan penerbangan ujian selama 4 jam.

 

Ada hantaran di media sosial yang mengaitkan kehadiran jet Israel tersebut dengan kejadian dua buah gerabak LRT yang bertembung di laluan Kelana Jaya, di terowong antara Stesen Kampung Baru dan Stesen KLCC pada 25 Mei, pukul 8.45 malam.

 

 

Kemalangan pelanggaran bagi Tren 40 dan Tren 81 di antara Stesen KLCC dan Kampung Baru (arah selatan) adalah yang pertama dalam tempoh 23 tahun operasi LRT bermula sejak tahun 1996.

 

Menurut komen-komen netizen, tidak mustahil sistem operasi LRT telah dicerobohi oleh perisikan tentera Israel untuk membalas dendam kepada rakyat Malaysia yang aktif menunjukkan sokongan moral kepada Palestin di media sosial.

Sokongan rakyat Malaysia kepada Palestin mendapat perhatian warga Israel sehingga hashtag #israelkoyak menjadi tular di peringkat antarabangsa dan perkataan ‘koyak’ yang digunakan untuk mengejek Israel dimasukkan ke dalam daftar perkataan kamus laman web antarabangsa.

 

Kumpulan penggodam dari Malaysia Dragon Force juga turut mendakwa telah menggodam banyak laman sesawang dan cctv milik rakyat Israel. Oleh itu, terdapat kemungkinan pihak Israel melancarkan pula serang balas kepada sistem pengangkutan awam Malaysia.

 

Teori konspirasi mengenai Malaysia bakal menjadi sasaran berikut oleh kumpulan kuasa besar dunia telah tersebar sejak beberapa tahun lalu. Antaranya adalah  komik Extinction Parade yang menjadikan Malaysia sebagai latar tempat dalam cerita tersebut.

 

 

Pada 20 Mei, pesawat Israel tersebut telah tiba di utara Selat Melaka pada pukul 6 pagi waktu Malaysia. Seterusnya, ia melalui ruang udara Kuala Lumpur pada ketinggian 28,975 kaki 17 minit kemudian.

 

Yang menarik curiga ramai penganalisis pertahanan dan orang awam adalah pesawat tersebut dilengkapi dengan perkakasan perisikan elektronik.

 

Menurut seorang penganalisis, Zaki Salleh, pesawat berkenaan berkemungkinan sedang melakukan ujian sistem terbaharu dan penerbangan jarak jauh yang dilaksanakan adalah bagi melihat keberkesanan perkakas yang diuji.

 

“Pesawat ini digunakan sebagai platform ujian peralatan radar dan elektronik. Ia direka untuk menampung sistem perisikan semboyan rondaan maritim, perisikan imej, sistem amaran awal udara (AEW) dan sistem perlindungan misil pesawat komersil,” tambahnya.

 

Kemalangan LRT pada malam Isnin lalu menyebabkan 3 penumpang masih kritikal dan baki 209 penumpang yang lain mendapat pelbagai tahap kecederaan.