Ini Tindakan Lelaki Afrika Untuk Memiliki Lamborghini

Memiliki kereta mewah adalah impian ramai manusia dan mereka sanggup melakukan apa sahaja demi mencapai cita-cita tersebut.

 

Antaranya adalah seorang lelaki di Zimbawe yang hampir mati apabila berpuasa selama 40 hari 40 malam kerana berharap amalannya itu akan membuatkan Tuhan mengurniakannya sebuah kereta sport  Lamborghini.

 

Laman berita Daily Star melaporkan Mark Muradzira yang merupakan Pemimpin Pemuda Gereja Risen Saints di Bindura, Zimbabwe bertapa di sebuah gunung bagi menghilangkan keinginan untuk makan.

 

Namun usahanya itu terhenti pada hari ke-33 apabila dia pengsan dan dia bernasib baik kerana berjaya diselamatkan.

 

Lelaki tersebut yang juga merupakan seorang penganggur terdesak untuk menghadiahkan Lamborghini tersebut kepada teman wanitanya.

 

Bagaimanapun, oleh kerana tidak mampu membeli kereta berharga £150,000 (RM879,231) itu, dia berpuasa selama 40 hari demi mengharap pertolongan Tuhan. Malangnya, tindakan tersebut tidak mendatangkan hasil sebaliknya hampir mengancam nyawa.

 

Ketua Gereja Risen Saints, Bishop Mawuru berkata Muradzira seharusnya berpuasa supaya Tuhan memberikannya pekerjaan memandangkan dia sedang menganggur.

 

Mereka yang datang ke gereja lelaki itu kemudian mendermakan wang bagi membantu Muradzira membeli kereta tersebut dan jumlah kutipan yang diterima hanya £30 (RM175). Wang tersebut digunakan bagi membiayai kos perubatan Muradzira.