Polis Sahkan, Khairuddin Nafikan, Fizo Pula Tak Tahu!

Berkenaan satu mesej yang tular mendakwa Ahli Parlimen PAS Kuala Nerus, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali ditahan di sekatan jalan raya (SJR) Perasing bersama seorang usahawan selebriti tudung Mawar Karim, beliau dan polis mengeluarkan kenyataan masing-masing pada hari ini.

 

Ketua Polis Terengganu, Datuk Roslee Chik mengesahkan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi itu diperiksa semasa SJR pada 16  Mei di Perasing, Kemaman.

 

Berkaitan : Khairuddin Nafi Kahwini Mawar Karim, Ditahan Bersama Di SJR

 

Menurut Datuk Roslee, Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) Bukit Aman sedang melakukan siasatan berhubung kes ini. Rabu lalu tular maklumat menerusi aplikasi WhatsApp berhubung penahanan Khairuddin di SJR Perasing.

 

Polis akan membuat siasatan penuh termasuk menyiasar semua mesej berangkai yang ditularkan sejak minggu lepas bagi merungkai khabar angin dan dakwaan yang tersebar.

 

Namun begitu, kenyataan polis disanggah Khairuddin di laman Facebook beliau. Beliau menafikan ditahan polis di SJR Perasing bersama Mawar Karim.

 

Khairuddin menegaskan akan mengambil tindakan undang-undang kepada mana-mana pihak yang didapati menulis, menyiarkan atau menyebarkan cerita palsu serta tidak benar.

 

 

Kisah mengenai pemimpin Pas yang dikatakan berkahwin dengan seorang wanita berstatus janda itu hangat diperkatakan di media sosial sejak semalam.

 

Sementara itu, Fizo Omar bekas suami Mawar Karim memberitahu dia tidak mengetahui langsung tentang gosip yang sedang melanda ibu kepada anak tunggalnya, Wan Maryam.

 

“Saya tak tahu apa-apa pun tentang kes Mawar dengan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Dr. Mohd. Khairuddin Aman Razali. Saya tak tahu apa-apa pun tentang mereka dan baru dengar mengenai kes itu semalam, ” respon pelakon dan usahawan tersebut apabila dihubungi wartawan.

 

Mawar juga seperti menafikan gosipnya dengan Khairuddin melalui balasan komen kepada pengikutnya di laman instagramnya. “Letih nak baca, baik cari nasi kandar, perut pun kenyang. Macam-macam cerita keluar. Saya kat KL je.”

 

 

Fizo dan Mawar berkahwin pada November 2013 dan dikurniakan seorang cahaya mata perempuan, Wan Maryam yang kini berusia empat tahun. Bagaimanapun pasangan itu telah bercerai pada Julai 2019.